Friday, January 13, 2012

BELASUNGKAWA : Perginya 'Pak Syed' pejuang tanpa nama

WAN NORDIN WAN YAACOB

Jam 8.30 Tanggal 13 Januari 2012, tercatat satu lagi kisah sedih mendampingi kamus perjuangan aktivis dan ahli PAS dengan pemergian 'Orang Kuat' Pejabat Agung PAS, Drs Syed Mohammad Syed Hassan pulang menemui PenciptaNya.

Syed Mohammmad yang memiliki perwatakan sederhana menghembuskan nafasnya yang terakhir seusai membersihkan diri dalam keadaan yang cukup mudah.

Isterinya, Saribah Salleh memaklumkan kepada Harakah, Syed Mohammad atau lebih mesra digelar 'Pak Syed' menghembuskan nafasnya selepas keluar dari bilik air di rumahnya di Taman Melewar, Gombak.

"Tiba-tiba sahaja beliau duduk 'congok' tidak bergerak.Saya cuba mengejutnya, tetapi tiada reaksi.Cepat-cepat saya telefon seorang doktor (kenalannya), Dr Rahman untuk datang melihat keadaan Allahyarham," katanya.

Setibanya doktor di rumahnya, doktor mengesahkan bahawa Pak Syed telah meninggal dunia.

Ditanya samada Pak Syed dikesan menghidapi sebarang penyakin, Saribah menyatakan, Arwah suaminya itu hanya demam dan batuk-batuk sahaja.

Namun, keadaannya cukup lemah selepas solat subuh dan menjelang jam 8.00 pagi, kelihatan cukup ketara, kata Saribah yang menitiskan airmatanya tatkala berceritakan tentang Arwah Pak Syed.

Sebelum ini kata Saribah, Pak Syed pernah menghadapi 'minor stroke' pada tahun 2000, tetapi telah menjalani rawatan dan berjkaya mengatasi penyakitnya itu.

"Suami saya pergi dengan mudah, tiada tanda-tanda beliau sakit yang parah.Saya sendiri tidak menyangka. namun saya redha atas ketentuan-Nya," kata Saribah yang ditemui di rumahnya sewaktu penulis menziarahi jenazah Pak Syed sebelum dibawa ke Masjid Ar Rahimah, Taman Greenwood Gombak.

Jenazah beliau kemudiannya dimandikan di masjid tersebut sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam berhampiran selepas solat Jumaat.

Turut menziarahi jenazah ialah, Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustaffa Ali; ahli Parlimen Tumpat, Dato' Kamarudin Jaffar; AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dan veteran PAS, Subkhy Latiff.


Pak Syed mampu tegur semua pimpinan PAS


Menceritakan tentang perwatakan bekas Penolong Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat ini, Subky yang juga rapat dengan Allahyarham semasa di Harakah berkata, Pak Syed memiliki keistimewaan yang jarang ada pada petugas parti yang lain.

Pak Syed seorang yang cukup berani dalam menegur kepimpinan tertinggi PAS, walaupun dalam nada yang perlahan, namun ianya memberi kesan, kata Subkhy.

Sepanjang hayatnya, Pak Seyd menghabiskan masanya berbakti kepada seluruh kepimpinan PAS, pernah beliau menjadi pemandu kepada beberapa pimpinan PAS termasuk Almarhum bekas Presiden PAS, Ustaz Dato' Mohd Fadzil Noor dan Almarhum Ustaz Yusof Rawa.

Mengimbas zaman awal pembabitkan Allahyarham Pak Syed dalam PAS, Subkhy berkata, beliau pernah bersama dalam Jabatan Penerangan PAS Pusat dengan Harakah sebagai unit yang dianggotainya.

Allahyarham Pak Syed yang berkelulusan daripada sebuah Universiti di Bogor Indonesia sering menjadi rujukan dan melakukan kerja-kerja penyelidikan kepada PAS seawal pembabitannya, katanya.

Hingga kini, Allahyarham Pak Syed ramai yang sukar melupai Allahyarham seorang yang sering kelihatan di majlis-majlis sebagai 'orang penting' yang terkadang menjadi pemudahcara kepada sesiapa sahaja untuk bertemu dengan kepimpinan.

Kelibatnya di Muktamar PAS Pusat seringkali menjadi perhatian termasuk kalangan media untuk bertanyakan sebarang kemusykilan.


Kenal sejak di Abim


Sementara itu, Kamarudin yang juga Pengarah Urusan Harakah pula menceritakan bahawa beliau mengenali Allahyarham sejak masih di dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) lagi.

"Pak Syed seorang pejuang Islam yang sejati.Saya kenali beliau sejak saya di Abim lagi.Allahyarham sering menjadi rujukan kepada orang-orang baharu yang menyertai PAS dan duduk di Pejabat Agung PAS," katanya.

Selain itu Kamarudin turut menyatakan, keistimewaan Allahyarham antaranya cukup cekal menjadi pekerja parti yang komited, walaupun dua tiga tahun kebelakangan ini Allahyarham sudah mula sakit-sakit kaki dan terpaksa berjalan dengan tongkat.

Kelibatnya sangat-sangat menghiburkan, dengan perwatakan menarik bersongkok ala tarbus, Kamarudin menjadikan Allahyarham juga salah seorang rujukan sewaktu ahli Parlimen Tumpat itu menjadi Setiausaha Agung PAS.

Pemergian Allahyarham Pak Syed amat-amat dirasai lebih-lebih lagi yang mengenali beliau.Sekalung Al-Fatihah dari meja editorial Harakah kepada Allahyarham Pak Syed agar rohnya dicucuri rahmat dan di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.

No comments: