Thursday, November 19, 2009

Memali, peristiwa hitam 'dikenang' sebagai sejarah 'kezaliman'!

WAN NORDIN WAN YAACOB
(wnordin@harakah.net.my)

Tanggal '19 Nov 1985' hingga 19 November 2009, genap 24 tahun terjadinya peristiwa berdarah Memali yang berlaku di kawasan pedalaman di Baling mengorbankan para pejuang agama Allah dalam sekelip mata.

Ketika kejadian, lebih 3000 anggota polis ditugaskan menggempur kumpulan yang kononnya didakwa menganjurkan ajaran sesat, maka 'Operasi Angkara' diberi jolokan untuk mencabut nyawa rakyat yang tak berdosa.

Peralatan ala tentera digunakan ketika itu oleh pihak berkuasa hanya untuk memerangi sejumlah tidak sampai 100 pengikut Ustaz Ibrahim Mahmud (Libya).

Operasi itu bermotifkan untuk menahan Ustaz Ibrahim di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana beberapa kontroversi ucapan-ucapannya dalam memangkinkan semangat pejuang agama Allah.

Tan Sri Musa Hitam selaku Timbalan Perdana Menteri Malaysia menjelaskan Operasi Angkara bertujuan menangkap dan menghapuskan penjenayah. Ibrahim Libya memang dikehendaki pihak polis di bawah ISA.

Ibrahim Libya dituduh mengancam keselamatan negara dengan kegiatan memecah-belahkan masyarakat Islam. Selain itu, dalam sidang akhbar New Straits Times bertarikh 21 November 1985 Musa Hitam turut menyanggah kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Kedah yang mengatakan Ustaz Ibrahim hanyalah memberikan ceramah agama.

Ibrahim Libya juga dituduh melindungi penjenayah yang sangat dikehendaki oleh Polis iaitu Yusof Che Mit dan Ramli Che Mit. Sebelum polis menyerang, penduduk kampung yang berkumpul di rumah Ibrahim Libya diminta menyerahkan Yusuf dan Ramli, tetapi mereka berdua tidak ada di situ. Beberapa hari kemudian Ramli ditangkap, tetapi tidak pula dibicarakan di mahkamah kerana dia ditahan di bawah ISA.

Ibrahim Libya lahir dan tinggal di Kampung Memali,mukim Siong, Baling, Kedah.
Lulusan Universiti Al Azhar, Mesir. Kemudian menyambung pengajiannya di India dan Libya. Bekerja sebagai pegawai pendakwa di Bahagian Agama di Jabatan Perdana Menteri Malaysia.

Beliau kerap berceramah di RTM 1, kemudian memulakan kelas agama dan sekolah agama di kampungnya di Kampung Memali. Beliau ingin meneruskan usaha tuan-tuan guru pada masa yang dahulu yang membuka sekolah pondok atau sekolah agama. Perjuangannya sealiran dengan PAS dan menyertai PAS kemudiannya.

Pada tahun 1978, atas tiket PAS bertanding di kawasan Bayu-Baling. Beliau memperoleh 5,081 undi berbanding 6,169 undi yang dimenangi Barisan Nasional.

Tragedi Berdarah memali berlaku tatkala Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, malah ketika kejadian beliau melakukan lawatan ke China, entah mengapa 'hanya Allah yang tahu'.

Sementara menteri yang bertanggungjawab dalam soal keselamatan ketika itu ialah Tan Sri Musa Hitam yang dibantu Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar.

Rakyat ketika itu dikhabarkan bahawa kerajaan mahu melakukan operasi menjejaki pengganas komunis, namun kemudiannya apabila 'terhidu' operasi ditukar wajah dengan tajuk membasmian ajaran sesat.

Maka beberapa akhbar milik Umno/BN ketika itu memutarbelitkan laporan-laporan mereka dengan menuduh Ustaz Ibrahim Libya membawa ajaran sesat dan kerajaan perlu memerangi ajaran ini.

Maka berlakulah pertempuran hebat antara 'wakil kerajaan' dengan kumpulan yang diketuai Ustaz Ibrahim Libya, yang akhirnya tanpa sebarang senjata atau senapang, nyawa mereka direntap tanpa 'izin' pemilikNya.

Berlinangan darah membasahi perkarangan rumah Ibrahim Libya, kanak-kanak bertempiaran, balu-balu menangis disamping mayat suami yang kaku membisu tanpa sebarang 'isyarat' akan roh masih berada dalam jasad.

Semuanya bagaikan 'padang jarak padang terkukur' direntap musnah, dalam laungan Allahuakhbar, 13 pejuang agama Allah syahid mempertahankan diri, keluarga dan perjuangan membela agama Allah.

Status mereka sebagai syahid disahkan oleh ahli Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Kedah, Tuan Guru Haji Yahya Junid dan Ustaz Azahari Abdul Razak berdasarkan mereka yang mempertahankan diri dan harta mereka adalah syahid. Bagaimanapun mereka yang mengeluarkan fatwa berkenaan disingkirkan daripada menganggotai badan fatwa berkenaan.

Mereka yang terkorban ialah, Ustaz Ibrahim Mahmud (libya), Kampung Charok Puteh, Siong, Baling, Kedah 45 tahun, guru dan pendakwah Islam.

Beliau meninggalkan seorang balu yang juga telah ditahan beberapa minggu dalam kem tahanan di markas Polis Hutan Sungai Petani, kemudian dipindahkan ke Penjara di Alor Setar sehingga dibebaskan. Beliau meninggalkan lima orang anak, dua orang sedang bersekolah dan tiga orang lagi masih kecil.

Ahmad Hassan, Kampung Alor Melentang, Gunung, Alor Setar, 30 tahun, kerja sendiri, bekas pegawai LPN, bekas ketua Dewan Pemuda PAS Kuala Kedah 1979-1981, bekas Setiausaha Kerja DPPN Kedah 1981-1983. Beliau meninggalkan seorang balu dan empat orang anak yang masih belum bersekolah.

Syafie Dahaman, Sekolah Menengah Siong, Baling, 30 tahun, guru Sekolah Menegah Siong, meninggalkan seorang balu dan seorang anak.Abdullah Abdul Rahman, Mukim Siong Baling, 72 tahun, penoreh getah. Beliau meninggalkan seorang balu dan tujuh orang anak.

Abdul Manaf Waden, Kampung Becah Sawa, 58 tahun, penoreh getah, meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.Ghazali Mohd Saman, Kampung Becah Sawa, 36 tahun, merinyu malaria, meninggalkan seorang balu dan 3 orang anak.

Mohd Radzi bin Ahmad, Kampung Ubi Memali, 27 tahun, penoreh getah, meninggalkan empat orang anak dan isterinya telah meninggal sejak beberapa lama.

Wan Abdullah @ Idris Lebai Kadir, Kampung Charok Bunting, Siong, Baling, 32 tahun, penoreh getah; meninggalkan seorang balu dan enam orang anak sebahagiannya masih bersekolah.
Mohd Aroff Hashim, Kampung Becah, Siong, 36 tahun, penoreh getah; meninggalkan seorang balu dan enam orang anak.Zamri bin Md Isa, Kampung Charok Puteh, 37 tahun, pemandu; meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.

Abdullah Yasin, Kampung, Guar Reban, Kupang, 33 tahun, berniaga; meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.Mohd Daud bin Kadir, Kampung Becah Sawa, 53 tahun, penoreh getah; meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.

Ahmad Ismail, Kampung Cepir, Sik, 30 tahun, mekanik motosikal; meninggalkan seorang balu dan 4 orang anak.Abdul Rahmah Jusoh, Siong, Baling, 69 tahun. Beliau cedera parah dan akhirnya meninggal dunia kerana kecederaan tersebut pada 31 Jan 1986.

Sebaik selesai operasi memautkan kumpulan Ustaz Ibrahim Libya, media-media pro kerajaan ketika itu melagukan semula lagu-lagu fitnah tanpa henti, kononnya untuk membenarkan segala tindakan mereka.

Peristiwa memali menyayat hati sesiapa sahaja yang hidup ketika itu dan turut mengalaminya termasuk balu-balu mereka yang Syahid, lantas selang beberapa hari selepas peristiwa berdarah di Baling itu, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang yang Awang berucap di Markas PAS Taman Melawar mengecam keras tindakan zalim itu.

Nada ucapan Ustaz Hadi amat memilukan, sebak suarannya tak mampu ditahan lagi, air mata membasahi wajahnya dan sesekali teresak-esak menahan kesedihan.

Masih segar dalam ingatan, akan untaian kata-kata Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat " Kita akan mengingati peristiwa pembunuhan beramai-ramai ini seumur hidup. Akan kita ingat dan sebut terus menerus. Akan kita perkatakan hingga Hari Kiamat."

Peristiwa hitam dan tragedi berdarah yang membabitkan ahli PAS itu sebenarnya belum pudar dihati para penyokong dan ahli PAS hingga kini.Tangisan anak-anak kecil masih 'basah' ditelinga para amilin dan pejuang.

Mana tidaknya, Perdana Menteri yang 'wujud' ketika peristiwa berdarah itu (Dr Mahathir) kini masih hidup lagi, dan masih segar untuk membungkam kenyataan-kenyataan yang liat politiknya.

Hingga kini, mulutnya tidak pernah menukilkan 'maaf' kepada keluarga mangsa Memali, lantas hal ehwal mangsa juga tak pernah dipedulikan Mahathir yang merejimkan Malaysia sehingga 22 tahun dengan dihujung pemerintahannya, Dato' Seri Anwar Ibrahim menjadi mangsa terakhirnya.

Malah selepas bersara dari kerajaan pun, Mahathir giat memangsakan Tun Abdullah Ahmad Badawi hingga 'longlai' kaki tidur itu yang akhirnya berundur dari jawatan nombor satu dalam negara.

Memali tetap akan menjadi satu titik hitam dalam demokrasi di negara ini, rakyat yang 'lemah' mudah ditindas hanya kerana 'aspirasi' berbeza, malah kekejaman menjadi 'bahan' memuaskan nafsu penguasa.

Peristiwa ini tetap akan segar diingatan balu dan anak-anak mangsa selagi pihak-pihak yang terbabit dengan memohon maaf atau melafaskan 'keinsafan' di atas kezaliman yang dilakukan, nescaya Allah akan membalasnya walaupun di hujung usia.

Thursday, November 12, 2009

Kereta wartawan Harakah dipecah, 'LapTop' dicuri

Kereta wartawan Harakah dipecah, 'LapTop' dicuri

KUALA LUMPUR : Kereta Iswara milik Wartawan Kanan Harakahdaily, Azamin Amin dipecah kira-kira jam 2.45 petang pada 12 November lalu Jalan Raja Alang, Kampung Baru.

Menurut Azamin, kejadian tersebut disedari apabila beliau bersama-sama Wartawan Kanan Harakah, Wan Nordin Wan Yaacob selesai menjamu selera di sebuah restoran di kawasan berkenaan.

"Sebaik sampai ke kereta, cermin tingkap pecah dan but kereta telah dibuka,"jelasnya.
Tambahnya, antara barang yang hilang adalah sebuah komputer riba berjenama F-Tec bersaiz mini milik Wan Nordin, yang diletakkan dalam sebuah beg berwarna putih.

"Lebih merumitkan dalam beg berkenaan juga turut mengandungi kunci kereta Wan Nordin dan beberapa barangan peribadi termasuk surat perjanjian sewa beli rumah dan perakam suara,"katanya.

Ketika kejadian, pembantu ahli Parlimen Titiwangsa juga sedang makan bersama kedua-dua mereka.

Orang ramai diminta berwaspada sekiranya dihampiri oleh individu yang mencurigakan dengan membawa beg putih dan cuba untuk menjual komputer riba berkenaan. Sekiranya berdepan dengan situasi tersebut, sila hubungi Azamin di talian; 019-6479080 atau Wan Nordin; 013-3376271.

Kedua-dua mereka telah membuat laporan polis di Balai Polis Dang wangi pada jam 5.00 hingga 6.15 petang, dengan nombor report DANG WANGI/041036/09.Pegawai yang menerima laporan ialah, Mohd Soffian Abu Bakar.

Dalam pada itu, Azamin turut melahirkan rasa kesal kerana kejadian tersebut boleh berlaku di kawasan yang sibuk.

"Pengguna seolah-olah tidak lagi berasa selamat di kawasan yang terbuka dan lebih malang berlaku di siang hari,"katanya.

Sunday, November 8, 2009

Kenapa [erlu emosi dengan pembentangan Aziz Bari, Presiden perlu dibela tetapi bukan dengan 'ampu'!

Exco Dewan Ulama PAS, Zolkharnain Abidin al-Hafiz mengibaratkan seminar politik PAS sabtu lalu seperti "gulai yang pernah dimakan sebelum ini".

"Kalau tiada (Prof) Dr Abdul Aziz Bari dan Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah, tiada yang baru kepada seminar itu, kecuali mengulangi komitmen lama yang memang telah diketahui umum," tulis bekas exco Pemuda PAS itu dalam blognya semalam.

Menurutnya, sebahagian pembahas dikuasai emosi termasuk seorang pembahas dari kalangan ahli jawatankuasa PAS Pusat. "Istilah ‘tidak mahu tengok muka', rasanya kurang manis diungkapkan di hadapan tetamu seperti Aziz Bari.

Kita menjemputnya, kemudian kita ‘tidak mahu tengok muka'nya," tulis beliau yang juga bekas ADUN Santan, Perlis."Benar, presiden perlu dibela apabila ada usaha mencemarkan wibawanya, tetapi rasanya bukan begitu. Bela dengan hujah dan fakta, bukan dengan serangan melulu.

"Kalau Aziz pernah menyerang presiden dengan serangan yang ‘kita sukar menerimanya', itu terpulang kepadanya. Dibimbangi, bukan serangan itu yang menjejaskan Presiden, tetapi pembelaan sembrono yang akan menjatuhkan reputasinya."Kata orang Melayu, ‘sokong yang membawa rebah'," tulis Zolkharnain yang juga ketua penerangan PAS Padang Besar, dalam blognya itu.

Tiada penegasan menyakinkanDi samping itu, katanya, beliau dan rakan-rakannya menyertai seminar itu dengan harapan yang menggunung, tetapi sebaliknya penegasan baru yang lebih menyakinkan - bukan ahli PAS sahaja tetapi juga penyokong PAS.

"Penegasan melalui ucapan dan resolusi sahaja dalam menangani isu yang selama ini menghantui PAS tidak memadai. Itu sudah berulang kali dibuat."Apa yang saya maksudkan dengan penegasan meyakinkan ialah penegasan dalam bentuk tindakan seperti pecat, gugur, amaran dan sempamanya.

"Penegasan yang boleh menimbulkan kewaspadaan dan kegerunan kepada mana-mana pemimpin atau ahli yang ‘menyiram, membaja atau mengairi' kembali isu yang menjadi agenda seminar itu.

"Saya ingin mendengar penegasan itu dalam ucapan penutup presiden, tetapi saya pulang dengan hampa," tulis Zolkharnain.Beliau juga berpendapat tidak perlu bagi pengerusi jawatankuasa disiplin PAS turut serta dalam forum bersama Abdul Aziz dan Dr Hassan bagi mengimbangi pandangan mereka yang agak kritikal terhadap PAS.

"Bagi saya itu tidak perlu kerana banyak pembahas yang bakal mengimbangi pandangan kedua-dua penalis itu.

"Tuan Ibrahim adalah pengerusi jawatankuasa disiplin. Keberadaannya di situ boleh mengganggu tugasnya.

Bayangkan kalau ada ketika itu pembahas yang mempersoalkan orang yang bakal disiasat, apa sikapnya?"Samada dia mengulasnya atau tidak, persepsi sebahagian audiens terhadapnya bakal serong," katanya yang juga bekas exco Dewan Pemuda PAS pusat.

Friday, November 6, 2009

Wang Ehsan, gula-gula Umno mahu tawan Kelantan

WAN NORDIN WAN YAACOB

Sekonyong pada 4 November lalu Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun
Razak yang juga Presiden Umno mengumumkan Kelantan akan menerima 'wang ehsan'
hasil petroleum negeri itu.

Walhal, sebelum ini kerajaan negeri bukanlah meminta 'ehsan', sebaliknya hak
mendapatkan royalti Minyak untuk membangunkan negeri dan membawa semarak
faedahnya kepada rakyat terbanyak.

Pelayaran selama 30 jam ke pelantar Minyak Cakerawala oleh beberapa ahli Parlimen
Kelantan dan aktivis rakyat menyuntik semangat bagi menyatakan tuntutan kepada
kerajaan pusat bahawa rakyat Kelantan mempunyai hak mutlak ke atas royalti minyak
itu.

Nah akhirnya, misi 'royalti' hanya dibalas oleh kerajaan pusat dengan 'wang ehsan' yang
pada lazimnya seperti kata Exco Kerajaan Kelantan, Dato' Paduka Husam Musa ianya
satu 'pengkhianatan' terhadap perjanjian dan penganiayaan kepada rakyat Kelantan.

Benar apa yang ditamsilkan Husam, dengan keputusan pemberian Wang Ehsan itu
membawa khabar bahawa Umno Kelantan kini memiliki dana yang cukup hasil wang
ehsan untuk menjalankan dakyah menawan Kelantan semula.

Pembelitan fakta oleh Najib sudah jelas seperti kata ahli Parlimen Kuala Terengganu,
Mohd Abdul Wahid Endut bahawa pembelitan itu bertujuan menipu kerajaan negeri
dan rakyat, lantas menganiaya hak rakyat.

Sepatutnya dia lebih berdedikasi dengan percaturan politiknya jika ingin berpolitikpun,”
kata seorang eksekutif di jabatan perkhidmatan awam.

Najib tahu, kerajaan negeri telah membuat tuntutan royalti minyak terhadap kerajaan
pusat pada awal tahun 2009, selepas menerima laporan daripada Bank Data Malaysia
2007 yang menyenaraikan Kelantan sebagai negeri utama dalam industri petroleum
bersama Sabah dan Terengganu dengan nilai pertumbuhan sebanyak 62.5 peratus
berbanding Sarawak 37.5 peratus sejak 2004.

Berdasarkan kepada fakta perjanjian yang ditandatangani sekitar tahun 70-an oleh
pengerusi Petronas ketika itu, Tengku Razaliegh Hamzah, dengan kerajaan-kerajaan
negeri lain berhubung perkara berkenaan dipersetujui oleh Perdana Menteri, Tun Abdul
Razak, bahawa negeri berhak menerima royalti sebanyak 5 peratus hasil daripada
pengeluaran petroleum yang merangkumi onshore (daratan) serta offshore (lautan).

Hasilnya, Najib dalam perancangannya menawan Kelantan tanpa rasa segan dan silu b
mengumumkan pemberian wang ehsan kepada Kelantan hasil daripada pengeluaran
minyak negeri itu mulai tahun depan dan ianya akan disalurkan dalam bentuk projek
pembangunan.

Hakikatnya hak rakyat diakui, tetapi hak itu tak disampaikan kepada rakyat,
sebaliknya akan hanya berlegar kepada konglomerat, umnoputera dan kroni sahaja
yang akan membolot 'dana khas' itu.

Laporan Ketua Audit bagi Negeri Terengganu sendiri ada mendedahkan 'taktik' ini
yang akhirnya menimbulkan pelbagai 'masalah' termasuk projek tak siap, projek
bermasalah, dan runtuhan bangunan.

Telahan Adun PAS Perupok, Dato' Omar Mohammad mudah, keputusan Najib nyata
bertentangan dengan Akta Petroleum 144 di mana di dalam perjanjiannya tidakpun
menyebut wang ihsan, tetapi ia disebut dengan royalti.

Lantas Omar menjustifikasikan tindakan Najib ini jelas umpama mendera anak sendiri
apabila cuba meragut hak mutlak milik rakyat untuk kepentingan politik Umno.

Dalam kata lain, kerajaan BN mempunyai strategi yang sama dalam merampas
Kelantan seperti mana mereka lakukan ke atas Terengganu sebaik PAS memerintah
pada tahun 1999 hingga 2004.

Tuesday, October 27, 2009

Terkini!!!! Dun Perak ditangguh persidangan selama sejam

10.20am Speaker Dun Kerajaan 'tidak sah' BN Perak, Dato' R Ganesan menangguhkan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak selama sejam sehingga jam 11.20 pagi.

10.05am: Ganesan memulakan sidang dengan membuat pengumuman mengenai larangan penggunaan alat-alat rakaman dan telefon bimbit di dalam Dewan. Pengawal keselamatan dewan diberi kuasa merampasnya.Katanya, jumlah pengawal keselamatan telah ditambah - sekurang-kurangnya 22 orang di dalam Dewan - bagi menghalang berulang kekecohan seperti yang berlaku pada 7 Mei lalu.Dewan bertafakur sebenar berhubung kejadian seorang peserta perkhemahan 1Malaysia yang lemas di Kampar malam kelmarin, apabila jambatan gantung yang dilalui peserta runtuh.

10.00am Sesi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak bermula dengan bacaan doa. Kerusi pembangkang masih kosong, ekoran spekulasi ADUN Pakatan masih melalui pemeriksaan ketat.
9.50am Semua ADUN Pakatan Rakyat masuk ke bangunan sekretariat kerajaan negeri selepas melalui dua sekatan polis. Polis membiarkan mereka masuk.

9.45am Para ADUN Pakatan Rakyat mula bergerak dari pejabat DAP untuk menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak. V Sivakumar kelihatan memakai jubah Speaker.

9am: Masih tidak nampak sebarang perhimpunan tetapi ADUN mula memasuk bangunan sekretariat. Antara yang awal tiba ialah pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham Thomas Su tetapi mereka tidak dibenar masuk ke dalam bangunan, menyebabkan berlaku pertengkaran antara kedua mereka dengan polis. Akhirnya, polis membenar Ngeh dan Su masuk.Laporan awal:Polis mengawal ketat di luar bangunan sekretariat kerajaan negeri di Ipoh pagi ini menjelang sidang DUN untuk pembentangan bajet.

Helikopter polis kelihatan berlegar-legar di udara di atas bangunan sekretariat. Para wartawan masuk ke dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas pemeriksaan ketat.Sidang tersebut dipanggil oleh kedua-dua Speaker BN, Datuk R Ganesan dan Speaker Pakatan Rakyat, V Sivakumar.

Ganesan sebelum ini menggantikan Sivakumar ekoran kontroversi BN mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Mei lalu.Ekoran Pakatan masih terus mempertikaikan kesahan kerajaan negeri BN, maka sidang hari ini dijangka panas.

Bagi mengelak sebarang kekecohan, pihak polis juga telah mendapatkan perintah mahkamah lewat semalan untuk melarang sebarang perhimpunan dalam jarak 50 meter dari bangunan sekretariat. Perintah itu berkuatkuasa hari ini sehingga 11 malam Jumaat ini.

Awal pagi ini, polis telah menempatkan sekurang-kurangnya lapan trak, sebuah van, dua jib, dua tarik Unit Simpanan Persekutuan dan dua trak meriam air di luar bangunan sekretariat.

Kenderaana pertama polis tiba di bangunan itu pada kira-kira jam 6.20 pagi. Beberapa anggota polis juga ditempat di dalam bangunan tersebut.pada jam 7 pagi, anggota polis mula memasang benteng dan dawai berduri untuk menghalang orang ramai yang tidak berkenaan masuk ke bangunan tersebut. Kira-kira 450 anggota polis berkawal di bangunan itu.

Sidang dewan dijadual bermula jam 10 pagi tetapi pintu bangunan sekretariat dijangka dibuka pada jam 9 pagi untuk membolehkan ADUN Bn masuk ke dewan.

Difahamkan ADUN Pakatan hanya akan dibenarkan masuk ke dewan pasda jam 9.55 pagi, bagi mengelak berlaku insiden merebut kerusi Speakar.

Friday, October 23, 2009

Ketelusan kerajaan Pakatan berbanding BN bukti pakatan lebi baik?




Tidak dinafikan, wujud persepsi negatif terhadap Pakatan Rakyat, khususnya natijah daripada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang yang memihak kepada Barisan Nasional.


Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail membuat kupasan yang jujur terhadap persoalan yang berlaku, sekaligus memberi jawapan yang meyakinkan bahawa kerjasama dan keutuhan Pakatan Rakyat tidak pernah goyah.


Ikuti wawancara ekslusif wakil Pengarang, MOHD RASHIDI HASSAN, Wartawan Kanan, WAN NORDIN WAN YAACOB dan Wartawan, IRWAN MUHAMMAD ZAIN bersama Pengarah Pilihan Raya KeADILan itu, di Parlimen 22 Oktober lalu.


Soalan : Melihat kepada keputusan Bagan Pinang, Pakatan Rakyat menerima satu tamparan hebat, seolah-olahnya ia petanda permulaan penolakan rakyat dan menjejaskan kredibilitinya, apa pandangan saudara?


Saifuddin : Saya melihat keputusan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang ini, dari dua kerangka. Satu kerangka Pakatan Rakyat dan satu lagi kerangka Barisan Nasional.
Dalam konteks Pakatan Rakyat, kita anggap ini satu 'wake-up call' yang cukup tepat pada masanya, yang seharusnya disusuli dengan beberapa tindakan, untuk memperbaiki dan perkemaskinikan, bagi mengukuhkan lagi kerjasama dan gerak kerja, strategi dan pendekatan politik pakatan rakyat.


Termasuklah persoalan membina satu imej yang lebih baik. Akhirnya kita akan lihat politik satu permainan anggapan, persepsi dan saat ini saya lihat Pakatan Rakyat sedang menguruskan persepsi.


Pada masa yang sama banyak perkara yang sebenarnya boleh dijalankan dalam lingkungan tanggungawab Pakatan Rakyat, yang sebenarnya tidak membabitkan aspek luaran.
Perkara-perkara asas yang kita boleh selesaikan dalam persoalan pilihan raya khasnya proses pendaftaran pemilihan baru, persiapkan organisasi parti, tenaga kerja dana perhebatkan gerak kerja dan program bersama.


Aspek yang ini tiada siapa boleh sekat kita, dalam kerangka Pakatan Rakyat keputusan Bagan Pinang itu saya istilahkan sebagai suatu signal yang cukup jelas kita guna untuk diteliti balik.
Itulah yang saya perhatikan, berlaku selepas PRK Bagan Pinang di mana kepimpinan Pakatan Rakyat, segera melakukan post-mortem di peringkat Majlis Presiden yang dibuat 20 Oktober lalu.Saya sendiri anggota mesyuaratnya, mengikuti perbincangan itu, objektif perjalanan mesyuarat cukup terbuka, satu pentanda baik maknanya Pakatan Rakyat segera respons terhadap keputusan PRK Bagan Pinang dan segera pula putuskan hal-hal yang saya sebutkan tadi.

Bagaimana pula keputusan PRK Bagan Pinang dalam konteks BN?


Saifuddin : Melihat kepada kerangka BN, kita harus akui jujur walaupun gelanggang permainan tidak sama, seperti biasa penggunaan jentera kerajaan dan penggunaan media dan segala macam itu.Tetapi saya lihat bahawa itu merupaka satu suntikan semangat yang sangat luar biasa yang sedang dinikmati oleh Umno-BN.


Setelah tujuh PRK berturut-turut, tiba-tiba di Bagan Pinang mereka mendapat kemenangan yang luar biasa, sudah tentu ini semangat kepada Umno-BN.
Bagan Pinang juga memberi isyarat Najib (Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak) secara sendirian, dilihat berupaya kembalikan semula sokongan bukan Melayu khususnya Cina dan India kepada BN.


Ini berlaku di sebalik malapetaka MCA, dan ketakstabilan MIC, PPP dan Gerakan yang mana empat parti ini sebagai penyumbang kepada sokongan bukan Melayu kepada BN sebelum ini, empat parti ini bergelut.


Tetapi BN mampu dapat kemenangan besar di Bagan Pinang di bawah 'leadership' Najib. Inilah 'spin' yang dibuat oleh BN, tanpa komponen BN yang diwakili Cina India sekalipun Najib boleh capai kemenangan.Sama ada ia bertahan lama atau tidak ini soalan lain, sebab ini satu suntikan semangat kepada Najib dan BN.


Saya juga melihat bahawa Bagan Pinang juga saksikan politik di Malaysia ini sangat bersifat tempatan, iaitu pemilihan berkaitan populariti calon, kekemasan jentera PRK, dana yang mencukupi, justeru mana parti yang berjaya menguruskan hal ini dengan baik sudah tentu boleh menang.Dalam kes ini walaupun gelanggang permainan tidak sama, tetapi di Bagan Pinang BN berjaya uruskan dengan baik.


Wujud kekangan antaranya, andaian umum bahawa ketidakstabilan antara parti di Kedah, Selangor dan sebagainya, apakah ini diambil kira oleh pimpinan Pakatan Rakyat dan adakah ini mengwujudkan situasi kurang senang rakyat terhadap Pakatan Rakyat?


Politik adalah satu seni uruskan tanggapan, apa yang ditanggap oleh rakyat itu yang penting berbanding realiti, hal yang dibangkitkan soal kebelakangan ini iaitu wajah Pakatan Rakyat.
Dilihat persepsi rakyat, sebagai satu pakatan yang tidak dapat menguruskan masalah dalaman, hal-hal yang dipalitkan disiplin anggota parti dan kepimpinan, hal kejayaan uruskan perjalanan pemerintahan kerajaan yang dikuasai, hal-hal berkaitan hak agama, kaum dan bahasa.
Hal-hal seperti inilah yang kemudiannya, dikorekkan oleh jentera media BN, dengan memberikan wajah hodoh kepada Pakatan Rakyat.


Saya harus mengakui bahawa proses membina kerjasama pakatan ini satu proses yang panjang. Jika dibandingkan pada bulan Mac 2008, kemudian berakhir dengan adanya Pakatan Rakyat, dengan keadaan sekarang ternyata Pakatan Rakyat melalui proses yang menarik dan peningkatan ketara.


Awal Mac 2008 ianya cuma satu kerjasama yang sangat longgar, cuma ditahap kita ketika itu, bersama sahaja, tetapi kali ini kita dah ada struktrur teras iaitu struktur Majlis Presiden, sekretariat PR dan beberapa sub-commitee pilihan raya, sub-comitee penerangan dan sub-comitee dasar yang Azmin Ali, Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Dr Tan Seng Giaw kendalikan.
Diwujudkan omitee pemuda dan wanita, dari segi organisasi dan struktur kita dah semakin mantap, namun ini satu proses yang panjang yang kita kena lalui.


Seterusnya bagaimana kerjasama diperkukuhkan?


Kita (Pakatan Rakyat) telahpun ada Majlis Presiden, yang mana pada 20 Oktober lepas, diterima cadangan satu kerangka polisi yang akan mengikat Pakatan Rakyat. Kerangka ini jadi acuan bagaimana kerjasama diteruskan.


Kemudian di negeri Pakatan Rakyat yang kita jadi kerajaan, commitee seperti di Kedah selepas isu kandang babi, Menteri Besar telah umumkan penubuhan comitee ini.


Di Selangor ianya juga dibentuk dengan pertemuan yang lebih kerap, begitu juga di Pulau Pinang dan Perak dan Kelantan, ini satu proses membina pakatan yang memakan masa,
Tetapi jika dibandingkan dengan Mac 2008, sejurus Pilihan Raya Umum ke-12, ternyata kemajuan itu dari segi organisasi dan kerangka dasar bersama dan sub-commitee negeri yang uruskan perjalanan dasar negeri itu.


Ini satu pencapaian baik jauh lebih baik berbanding kerjasama dengan Barisan Alternatif pada PRU 1999, itu saya anggap satu permulaan yang baik, cuma cabaran ialah untuk Pakatan Rakyat uruskan kerjasama dengan lebih baik, disiplin harus jadi ukuran utama.

Maknanya masalah yang timbul ialah Pakatan Rakyat dilihat tidak mampu disiplinkan pimimpin, wakil rakyat di peringkat negeri untuk jadi orang yang berkualiti dan pentingkan pakatan, bagaimana saudara melihat aspek ini?


Secara jujurnya saya tidak ambil sikap 'denial syndrom' dalam akui bahawa wujudnya beberapa halangan dalam kita membina kekuatan pakatan terutamanya dari sudut disiplin.
Namun kerjasama Pakatan Rakyat sekarang ini, buat masa ini, lebih berteraskan pendekatan saling hormat, mengambil hati dan pendekatan tidak mahu dilihat campur tangan dalam parti sahabat.


Kerana pendekatan ini, satukan kita buat masa ini. Tetapi tahap seterusnya kita harus atasi tahap ini. Tahap politik ini kita mesti dilepasi jika tidak ia tiada peningkatan, satu keberanian uruskan soal pelanggaran disiplin.


Apa yang kita sepakati jika ada pelanggaran disiplin, walaupun dalam pakatan ada uruskan aspek ini, tetapi aspek itu diuruskan oleh parti di mana ahli tebabit dalam parti itu akan diuruskan oleh parti itu sendiri, apabila ada ahlinya melanggar disiplin.
Hal ini kita buat kerana kita tak mahu dilihat bahawa Pakatan Rakyat sebagai satu coalition yang memasuki wilayah parti sahabat yang lain, jadi keputusan yang kita buat serahkan keputusan disiplin kepada parti berkenaan.
Ini penyelesaian yang unik tetapi jangka masa panjang kena ada keberanian ubah, jika ianya satu pelanggaran disiplin, hasil kenyataan itu memperhodohkan lagi persepsi kepada wajah Pakatan Rakyat.


Kenapa kita kena menyumbang kepada propaganda memburukkan wajah kita melalui kenyataan dan tindak-tanduk kita, hanya kerana kita mahu tarik perhatian atau kelompok kita sahaja?


Saya rasa sikap yang ada di kalangan pimpinan Pakatan Rakyat,harus merasai akibat daripada perbuatan dan kenyataannya itu sebenarnya beri kesan kepada kerjasama Pakatan Rakyat yang sekarang ini sedang diberi harapan besar oleh rakyat.


Tidak mungkin pemimpin yang waras boleh hakiskan kepercayaan rakyat ini hanya kerana hendak pastikan kepentingan kelompoknya berjaya diuruskan. Atas apa sebab sekalipun saya lihat misi pakatan yang lebih besar ialah uruskan BN, untuk bersedia gantikan kerajaan.
Bukan memperuntukkan masa yang banyak uruskan hal-hal yang menjadi titik bengit antara parti, kerana akibatnya mahu tidak mahu Majlis Presiden terpaksa atasi hal ini.
Terpaksa memperuntukkan masa itu kepada soal itu, sedangkan sepatutnya masa digunakan untuk memupuk kerjasama adalah penting. Ia tidak membantu imej baik kepada Pakatan Rakyat.


Saya harap hal ini boleh menjadi satu perkara yang boleh dihayati oleh pimpinan Pakatan Rakyat di segenap peringkat dari pusat ke peringkat negeri


Adakah tindak-tanduk ini akan hanya merugikan pakatan dan memberi kesan kepada kepercayaan rakyat kepada Pakatan Rakyat?


Tidak syak lagi tindak-tanduk sedemikian tidak langsung, memberikan sumbangan negatif kepada pertumbuhan pakatan. Apakah tindak-tanduk sedemikian satu tindakan yang hanya boleh membina sokongan kita sahaja bukan Pakatan Rakyat.
Namun saya membicarakan kebijaksanaan kepimpinan yang mampu melihat perkara pokok, itu satu perkara yang patut menjadi keutamaan, cuma mereka istilahkan, hak ini bila berlaku ia melambatkan perjalanan pakatan, sedangkan sokongan rakyat semakin baik kepada Pakatan Rakyat.


Masuk fasa kedua, bagaimana pula saudara melihat perjalanan pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat yang cuba dinegatifkan oleh media, kononnya BN lebih baik apakah unsur yang ada baik kepada PR yang boleh menjadi sandaran kepada rakyat untuk melihat Pakatan Rakyat lebih baik sebenarnya?


Dalam sidang parlimen kali ini, kita dibekalkan dengan dokumen Ketua Audit Negara yang melaporkan prestasi jabatan kerajaan pusat dan prestasi kerajaan negeri, laporan Audit badan berkanun, GLC dan Menteri Kewangan Yang Diperbadanakan dan agensi berkaitan.
Laporan ini secara keseluruhannya ada kredibiliti dan sesuai dengan fungsi ketua audit negara yang lakukan kerja yang berasaskan kepada arahan Yang di-Pertuan Agong secara prinsipnya.
Laporan terbaru ini menilai pretasi kerajaan negeri dari segi laporan kewangan, kecekapan pentadbiran, menguruskan hasil negeri, kawalan perbelanjaan. ternyata dalam laporan audit negara itu mereka memuji pentadbiran negeri Pakatan Rakyat antaranya Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan.


Kerajaan Kedah misalnya,berjaya meningkatkan hasil kepada 205.5 peratus, selepas hanya setahun memerintah. Peningkatan ini dipuji, dan keduanya polisi penjimatan dua komponen ini secara terang-terang diberi pujian dan penghargaan oleh Ketua Audit Negara dalam menilai prestasi Kerajaan Negeri Kedah.


Inilah jawapan terhadap serangan propaganda jahat BN yang cuba menggambarkan, Kedah kita (Pakatan Rakyat) tidak mampu jadi kerajaan bersih, ini dinilai oleh jabatan kerajaan iaitu audit secara profesional.


Mereka tidak dapat elak iktiraf dua perkara yang sangat positif dan rakyat Kedah bijak dalam menilainya.


Membicarakan pula kerajaan Kelantan. Kelantan kekal sebagai kawasan yang mana satu-satunya negeri dilindungi hutan yang paling luas sekali di Malaysia. Sebanyak 51 peratus berbanding negeri lain seperti Johor hanya tinggal 18 peratus dalam laporan audit, Melaka hanya tinggal 4 peratus sahaja.


Yang sudah 52 tahun Umno-BN perintah, Johor dengan hanya tinggal 18 peratus sahaja kawasan yang diliputi hutan mengakibatkan kemusnahan kepada hidupan laut, menjejaskan pendapatan nelayan cemar alam sekitar, jerebu hakisan semua ini di negeri BN.


Tetapi seperti yang disebut tadi media kerajaan tidak akan ketengahkan. Mereka hanya 'zoom-in' kepada Kelatan dalam aspek yang tiada asas sebenarnya untuk dikritik.
Sejak 19 tahuh PAS memerintah Kelantan, kerajaan negeri berjaya mempertahankan 51 peratus kawasan hijau ini, selepas 50 tahun memerintah Kelantan mempunyai hutan paling luas di Malaysia berbanding negeri BN.


Ini pencapaian tinggi nilai, di sebalik serangan tanpa asas dan propaganda kononnya Kelantan gunakan balak semborono, tidak cekap gunakan hasil hutan, tetapi hakikatnya Kelantan masih luar lagi bumi hijaunya.


Turut mendapat pujian Selangor iaitu dari segi ketelusan yang dimodelkan Tan Sri Khalid Ibrahim selaku MB, dengan seluruh pimpinan Selangor yang menggabungkan tiga parti KeADILan, DAP dan PAS yang dianggap dari kaca mata Audit Negara dinilai negeri yang dapat uruskan kecekapan perbelanjaan, kawalan ketirisan, dan juga memastikan perbelanjaan itu sampai kepada kumpulan sasaran.


Ini benar dalam pakej merakyatkan ekonomi, soal bantuan 'one off ' kepada pelajar yang masuk universiti, bantuan khairat kematian dan sebagainya, ini sebagai pro kebajikan rakyat.
Saya berpandangan ini satu jawapan kepada propaganda jentera media BN yang memperlekehkan keupayaan negeri-negeri Pakatan Rakyat dalam urusan kerajaan negeri.


Bagaimana kita boleh mengenengahkan hasil laporan audit yang membuktikan pentadbiran

kerajaan Pakatan Rakyat, jauh lebih baik berbanding BN, untuk dinilai dan disokong rakyat?


Saya setuju laporan audit kekal sebgaia audit, sebab persepsi rakyat ialah jika ianya bersifar teguran kepada agensi kerajaan ianya sekadar dilakukan oleh kementerian dan pegawai kerajaan.Kononnya ini tiada tindakan oleh pihak yang berkaitan, SPRM sebagai, contoh tidak akan terliur untuk mengambil siasatan walaupun faktanya jabatan yang terlibat angka yang disebutkan kebocoran, tetapi tidak pernah ada satu hasil siasatan yang dibuat bagi mengheret pihak bertanggungjawab.


Ini yang mengakibatkan rakyat ada tanggapan bahawa laporan ketua audit sebagai lengkapkan rangka tugasan mereka. Bagi Pakatan Rakyat, kita kena ambil kebanggaan kepada pandangan ketua audit yang berikan kredit kepada kita sepanjang setahun, isunya mudah 50 tahun BN perintah terbukti banyak penyelewengan dan juga ketirisan, tetapi setahun kita perintah, kita dapat tingkatkan hasil negeri dan menguruskan perbelanjaan dengan cekap hingga dipuji Ketua Audit.

Saya berpandangan sukses kualiti ini, kita harus rayakan sebab inilah kejayaan kita sebenarnya.
Justeru, kini peranan kita adakah untuk menerangkan kepada rakyat kejayaan ini yang mana tentunya akan digelapkan oleh media propaganda BN.

Apa rumusan saudara perihal kejayaan Pakatan Rakyat ini?


Apa yang penting secara rumusannya, ialah kejayaan kita di negeri yang kita perintah ialah, pertama; Kita berjaya menguruskan perbelanjaan dengan baik. Kedua; memberi bantuan kepada rakyat tanpa mengira sempadan warna, agama dan fahaman. Ketiganya; diketiga-tiga negeri yang kita jadi kerajaan, kita berupaya mempertingkatkan polisi penjimatan, ini sukses kepada kita, ini menusuk ke dalam hati rakyat.
Justeru saya amat meyakini, walaupun kita sering ditohmah tidak mempunyai kesepakatan, tetapiianya hanyalah propaganda BN semata-mata.
Kita telah membuktikan kepada rakyat bahawa kita boleh memerintah negeri dan negara suatu hari nanti, jauh lebih baik daripada BN.
Saya yakin, Pakatan Rakyat mempunyai masa depan yang cerah dan cemerlang. Terima kasih.

Tuesday, October 13, 2009

Bagan Pinang, tsunami, manipulasi atau tradisi?

Bagan Pinang, Tsunami, manipulasi atau tradisi?
WAN NORDIN WAN YAACOB(analisis)Bising seluruh akhbar arus perdana mendendangkan lagu kemenangan Umno/BN
sebaik keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Bagan Pinang diumumkan, dan lebih
menarik ada yang menyifatkan ia 'tsunami'.
Tidak kurang yang menyatakan inilah ledakan sokongan kepada Umno/BN semula
bertapa rakyat kembali kepada hakikat yang sebenar.
Ramai yang tidak mengerti akan dampak sebenar politik di Bagan Pinang yang mana
inilah kubu kuat Umno/BN yang tercipta sejak berpuluh tahun lamanya, dengan
masyarakat yang sudah dididik dengan hiburan dan mementingkan material dari soal
integriti.
Rakyat di Bagan Pinang sejak dahulu hidup di tepi pantai dengan pusat peranginan
yang berderetan. hotel-hotel mewah, resort-resort yang dipenuhi pengunjung setiap
hujung minggu dan cuti umum.
Kehidupan di tepi pantai bagaikan syurga 'dunia' yang mana segala hiburan yang ada
dihadam oleh setiap entiti yang berada di sana.Kehidupan yang telah dihadapkan
Umno/BN dengan 'material' dan suapan amat sukar dikikis dengan hanya kempen
Pakatan Rakyat selama kira-kira 2 minggu sahaja.
Suatu yang mustahil untuk membuka minda manusia-manusia yang telah dibiasakan
dengan hiburan, keseronokan dan janji-janji yang manis dari seorang bekas MB yang
kini menjadi wakil rakyat. Namun, ada juga yang menyatakan telah berlaku 'Tsunami politik' di Bagan Pinang, dan
ia dilebelkan sebagai trend baru sekarang bahawa rakyat sudah mula menerima
kembali Umno/BN dan menolak pembangkang.
Media utama cengkaman Umno/BN mula berperanan dan dijangka ia akan mengambil
masa yang panjang untuk menghebahkannya dengan pagi, petang dan malam
mengulang-ulang perkara yang sama untuk mempengaruhi pendengar dan penuntun.
Apakah benar berlaku Tsunami seperti yang dikatakan? Atau sebenarnya ia satu
keputusan yang telah dijangka, dan PAS atau Pakatan Rakyat hanya masuk sebagai
syarat untuk bertanding dan mengekalkan 'mood' di peringkat nasional.
Tertarik dengan kupasan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub sewaktu sembang
petang dengannya di Jalan Pahang, beliau menyatakan bahawa 'ia sekadar kemenangan
yang sementara, bukan bersifat panjang, ia kemenangan Isa bukan kemenangan BN
secara total'.
Benar sekali telahan Salahuddin, dengan bukti bahawa kegembiraan penyokong BN,
tidak kelihatan sewaktu pengumuman dibuat, hanya penyokong Isa Samad sahaja yang
bersungguh menjulang bakal MB Negeri Sembilan itu.
Apa yang terlihat hanya penyokong Umno/BN berkumpul sesama sendiri dan tidak
menunjukkan riak gembira dan sorak sorai tanda kemenangan.
Apakah itu Tsunami untuk Umno/BN, bila berlaku Tsunami bermakna ia akan melanda
semua yang berkaitan, termasuklah kebanjiran penyokong dalam kempen, merayu undi
dan merai kemenangan, tetapi ini tidak, ia hanya berlaku diatas kertas undi.
Ramai yang tertanya-tanya apa sebenarnya yang telah berlaku?
Apakah semudah itu pengundi Bagan Pinang boleh dirasuah mahupun diugut sehingga
calon BN meraih undi melebihi 8 ribu itu dan meningkatkan majoriti kemenangan
sebelum ini?
Apakah sebodoh itu pengundi Bagan Pinang boleh menerima calon BN yang pernah
terpalit dengan pelbagai skandal itu? Apakah selemah itu Tentera yang gagah perkasa
boleh menerima calon BN dengan menyapu bersih undi Pos?
Adakah ini manipulasi seperti yang dikatakan beberapa bekas tentera termasuk Briget
General (b), Muhammad Arshad yang menyifatkan bertapa manipulasi berlaku dalam
pilihan raya kecil Dun Bagan Pinang.
Ini semua menjadi persoalan yang perlu dicari jawapannya. Sudah diketahui umum,
bahawa Bagan Pinang adalah kubu kuat Umno/BN dan Isa Samad sendiri.
Masuk ke Bagan Pinang umpama masuk ke Dun Cempaka di Kelantan yang diwakili
Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, justeru PAS dan
Pakatan Rakyat dari awal lagi menjangkakan kekalahan bakal berlaku.
Cuma kempen agresif BN yang kelihatan sejak awal lagi sebenarnya adalah lahir dari
rasa bimbang jika mereka kalah di Bagan Pinang, maka mala petaka besar akan
berlaku kepada Umno/BN.
Bagan Pinang bolehlah dikatakan tempat tradisi Umno/BN yang mana lebih sinonim
dengan kawasan Isa Samad, dan kemenangannya sudah dijangkakan sejak dari awal
lagi...