Sunday, January 15, 2012

NFC, heret sama Najib dan Muhyiddin untuk disiasat!

WAN NORDIN WAN YAACOB

KUALA LUMPUR : Siasatan skandal penyelewengan dalam Perbadanan Fidlot Negara (NFC) harus melibatkan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kata Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar.

Ini kerana, dua individu ini adalah pihak yang bertanggungjawab dalam meluluskan projek berkenaan dan menganugerahkan kepada sebuah syarikat yang tiada pengalaman dalam sektor perladangan, katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media di Pejabat Agung PAS dekat sini 16 Januari lalu.

PAS mahu satu Suruhanjaya DiRaja yang bebas ditubuhkan bagi menyiasat skandal penyelewengan RM250 juta dengan mengutamakan persoalan asas bagaimana projek itu boleh diluluskan, katanya.

Menurut Mahfuz, projek berkenaan diluluskan oleh Jawatankuasa Projek Berimpak Tinggi yang dipengerusikan Najib ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Selain itu, selaku Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pula, Muhyiddin pula terbabit secara langsung dalam mesyuarat yang sama mewakili kementerian, katanya.

Justeru, siasatan harus melibatkan dua individu ini yang nyata gagal melihat bahawa pengurniaan projek dan pinjaman RM250 juta kepada NFC ini akan membawa padah kepada kerugian, katanya.

"Kita lihat, siasatan yang berjalan hari ini (oleh SPRM) hanya tertumpu kepada operasi NFC semata-mata, dan bukannya soal bagaimana projek ini diluluskan dan siapa yang meluluskan, dan bagaimana prosedur pinjaman dilakukan," katanya.

Apa yang menjadi kemusykilan kepada rakyat adalah, persoalan kelemahan kerajaan yang gagal menyediakan dokumen pinjaman semasa pinjaman diberikan kepada NFC, katanya.

Hanya selepas beberapa tahun barulah dokumen itu disediakan, katanya lagi.

Beliau juga berpandangan, pembekuan aset NFC yang diumumkan kerajaan bukanlah suatu jalan yang membolehkan kerugian yang dialami dalam projek ini dikembalikan semula.

"Sekiranya semasa pembekuan, aset yang tinggal hanyalah kandang lembu dan tahi lembu sahaja, ia akan menyebabkan kita gagal memperolehi pinjaman RM250 juta yang telah diberikan kepada NFC.Yang kita dapat mungkin sekali tahi lembu dan kandang lembu
sahaja, bukan RM250 juta," katanya.

Lebih dari itu, dalam aspek pengurusan pembekuan aset sebenarnya membawa makna bahawa ada sesuatu penyelewengan atau kes yang berlaku dalam NFC, katanya.

Justeru, beliau menggesa kerajaan mendedahkan kes tersebut kepada umum kerana pinjaman RM250 juta adalah wang rakyat yang mana rakyat harus tahu ke mana alirannya.

Sementara itu, Mahfzu turut memuji langkah Shahrizat bercuti untuk membiarkan penyiasatan skandal NFC berjalan dengan baik.

Begitupun beliau turut mencadangkan beberapa individu lain yang terbabit dalam meluluskan projek dan memberi pinjaman bercuti bagi siasatan dijalankan secara telus.

Pada 15 Januari lalu, Perdana Menteri mengumumkan bahawa aset NFC telah dibekukan sementara menunggu siasatan daripada pelbagai pihak termasuk dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis.

Pada tahun 2007, syarikat itu dilantik untuk menjalankan projek ternakan lembu tetapi prestasinya dibidas oleh Laporan Ketua Audit Negara 2010.

Ia kemudiannya didedahkan bahawa syarikat itu dimiliki oleh keluarga Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Anak Shahrizat, Wan Shahinur Izmir Dato' Seri Dr Mohammad Salleh adalah salah seorang pemegang saham dan menjadi Ketua Eksekutif (CEO) syarikat berkenaan.

Syarikat itu mengundang pelbagai kontroversi apabila PKR berjaya membuktikan bahawa ia telah membuat beberapa ‘pelaburan’ yang boleh dipersoalkan, termasuk menggunakan pinjaman mudah RM250 juta daripada kerajaan untuk membeli kondominium mewah, tanah di Putrajaya dan juga kereta mewah.

Pada 12 Januari, Shahrizat mengeluarkan kenyataan menyatakan bahawa beliau akan bercuti selama tiga minggu sementara menunggu siasatan dijalankan.


Berikut adalah skandal penyelewengan yang membabitkan keluarga

Shahrizat Jamaluiddin.

Info : National Feedlot Corporations (NFC).

Pengerusi : Dato' Dr Muhammad Salleh Ismail (suami Shahrizat)

Pemegang Saham :

1) Dato' Dr Mohammad Salleh Ismail (249,999 unit);

2) Wan Shahinur Izran Mohammad Salleh (250,000 unit)

3) Wan Shahinur Izmir Mohammad Salleh (1 Unit)

Modal oleh kerajaan : RM250 juta

-Syarikat milik keluarga Shahrizat juga dikatakan menggunakan

dana melalui National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) untuk

membeli satu unit kondominium mewah dengan bayaran berjumlah

RM9.8 juta di Bangsar (One Menerung).

-Shahrizat dan keluarganya untung lebih RM600,000 menggunakan

wang rakyat yang disalur menerusi NFC.

-Syarikat keluarga Shahrizat, Agro Science Sdn Bhd merupakan

pemegang saham bersama kerajaan Negeri Sembilan dan Kementerian

Pertanian dan Industri Asas Tani yang mengendalikan Pusat

Fidlot Kebangsaan.

-Keuntungan RM600,000 itu bukan diperolehi daripada penjualan

daging lembu sebaliknya faedah daripada deposit tetap

menggunakan sebahagian daripada RM250 juta duit rakyat yang

disalurkan kepada NFC.

-Pegangan saham yang dimiliki ahli keluarganya termasuk suami,

Dato' Dr Mohammad Salleh Ismail (249,999 unit); anaknya, Wan

Shahinur Izran Mohammad Salleh (250,000 unit) dan Wan Shahinur

Izmir Mohammad Salleh (1 Unit) dalam NFC.

- Pada 6 Mei 2009, NFC memindahkan RM116 juta daripada pinjaman

ini ke dalam akaun deposit tetap milik NFC di Public Bank

Berhad.

-Penyata kewangan NFC yang difailkan di Suruhanjaya Syarikat

Malaysia )SSM) menunjukkan keuntungan faedah daripada simpanan

deposit tetap berjumlah RM666,952.96 bagi tahun kewangan

berakhir 31 Disember 2009.

-Sementara jumlah keuntungan faedah dari simpanan deposit

sebesar ini hanyalah mungkin sekiranya NFC mempunyai simpanan

tetap ratusan juta ringgit.

-Shahrizat dan keluarganya didakwa memboroskan sebanyak

RM827,579 untuk melancong ke luar negara pada tahun 2009

menggunakan wang rakyat yang disalurkan kepada National Feedlot

Corporation.

-Kos itu bersamaan dengan RM511 bagi setiap ekor lembu yang

disembelih oleh NFC pada tahun 2009.

-Sementara rekod menunjukkan hanya 1,618 ekor lembu disembelih

dalam tahun 2009, katanya.

-Daripada kos purata penternakan dan penyembelihan sebanyak

RM4,481 seekor, 11 peratus (RM511) adalah kos lawatan ke luar

negara dan keraian yang dibelanjakan keluarga Shahrizat.


-Dana dari NFC yang sepatutnya digunakan untuk industri daging

negara, telah disalurkan kepada syarikat-syarikat peribadi

milik keluarga Shahrizat seperti National Meat Livestocks

Corporation Sdn Bhd (NMLC) dan Real Food Company (RFC).

-Wang dari syarikat-syarikat seperti NMLC dan RFC kemudiannya

disalurkan pula ke syarikat-syarikat milik keluarga Shahrizat

di Singapura iaitu Meatworks (Singapore) Pte Ltd dan Global

Biofuture Pte Ltd.

-Syarikat itu menjalankan perniagaan restoran mewah dan

perniagaan perdagangan minyak dan ternakan di Singapura.

-Syarikat itu menjalankan operasi perniagaan yang tidak ada

kena mengena dengan bantuan dana kerajaan berjumlah RM250 juta

yang disalur kepada NFC.

-Komunikasi dalam bentuk email di antara anak Shahrizat, Wan

Shahinur Izran dengan Donna Yong yang menguruskan perniagaan

restoran milik keluarga menteri itu di Singapura.

-Email itu membincangkan pemindahan wang yang diperlukan untuk

membiayai perniagaan restoran mewah berkenaan.

-Dalam tempoh tiga bulan di antara Oktober 2010 dan Disember

2010, keluarga Shahrizat dianggarkan memindahkan S$530,000;

bersamaan RM1.3 juta dari dana milik kerajaan untuk membiayai

perniagaan peribadi di Singapura.

-Dana NFC dijangka dipindahkan terus ke akaun syarikat-syarikat

milik keluarga Shahtrizat di Singapura.

-Kemungkinan jumlah wang yang telah dilarikan mencecah RM10

juta hanya untuk satu perniagaan di Singapura.

-Kemudiannya dikeluarkan oleh keluarga menteri untuk membiayai

pembelian peribadi seperti kondominium mewah di Orchard Scotts

bernilai hampir 10 juta.

-Pembelian kereta mewah jenis Mercedes Benz Benz CLS 350 CGI

berharga RM534,622 yang dibeli oleh keluarga Shahrizat pada

2009.

-Kos penyelenggaraannya tiap-tiap bulan adalah lebih kurang

RM20 ribu.

-Dana sebanyak RM3,363,507 turut disalurkan National Meat Lives

Corporation (NMLC) untuk membeli dua bidang tanah di Putrajaya

pada satu tarikh pada tahun 2009.

- Terdapat 15 keping cek berjumlah RM455,423 yang dibayar

untuk tujuan melancong ke luar negara seperti ke Indonesia dan

Thailand.

- Cek berkenaan dikeluarkan antara bulan Januari hingga Julai

2010 kepada Impian Global Networks Services (IGNS) yang

menawarkan pakej percutian.

- Pembayaran lebih setengah juta ringgit kepada syarikat

Meatworks (singapore) Private Limited, milikan suami Shahrizat

yang membekalkan daging kepada restoran di negara jiran.

- Membiayai pakej umrah bernilai RM31,580 atas nama Datuk Seri

Mohamad Salleh Ismail (Suami Shahrizat) dan Wan Shahinur Izran

Mohamad Salleh (anak Shahrizat).

No comments: