Thursday, December 15, 2011

Hassan Ali cuba pengaruhi pimpinan PAS lain - Mustaffa Ali

WAN NORDIN WAN YAACOB

KUALA LUMPUR, 16 Dis : Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustaffa Ali mengesahkan maklumat mengenai usaha bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Dr Hassan Mohd Ali mempengaruhi kepimpinan PAS yang lain untuk bersama dengannya.

Dalam satu wawancara ekslusif bersama Harakah 15 Disember lalu, Mustaffa mendedahkan beberapa tokoh dalam PAS cuba dipengaruhi oleh Hassan untuk 'tidak lagi yakin dengan perjuangan PAS'.

"Saya dimaklumkan dan saya boleh mengesahkan Hassan ada menemui orang tertentu termasuk beberapa tokoh dalam PAS untuk meyakinkan mereka supaya bersama dengan dia kerana PAS sudah tidak boleh diyakini lagi.

"Saya tak nak dedahkan lagi siapa orang ini, cuma saya mahu sebutkan apa yang dilakukan Hassan ini dalam ruang-lingkup agenda musuh politik PAS," katanya.

Sambil menyifatkan Hassan kini sedang 'bermain dalam padang politik' musuh PAS, beliau tidak melihat senario yang dihadapi Exco Kerajaan Selangor itu boleh diselamatkan lagi.

Malah tanpa curiga, Mustaffa menyatakan Hassan mahupun bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa 'bakal tidak kekal lama' dalam perjuangan PAS.

Tidak dinafikan mereka berdua mempunyai masalah disiplin berhubung ketidakhadiran dalam mesyuarat PAS Pusat dan Badan Perhubungan PAS Selangor mengikut rekod yang diperolehi, kata Mustaffa lagi.

Ditanya mengenai punca mengapa kedua-dua bekas pimpinan tinggi PAS itu menyerang PAS mutakhir ini, Mustaffa menyimpulkan ianya berpunca daripada kekecewaan kerana tidak mendapat jawatan yang diingini.

"Saya rasa kekecewaan yang menyebabkan mereka bertindak sedemikian.Ini kerana mereka tidak terpilih dan tidak diletakan di tempat yang mereka rasakan tempat asalnya seperti Nasharudin Mat Isa selaku Timbalan Presiden PAS dan Hassan selaku Pesuruhjaya PAS Selangor," ujarnya.

"Tetapi dalam sejarah PAS ini sepatutnya mereka ini tidak boleh menjadi seorang yang 'bad loosers'.Saya memberi contoh, Mohammad Sabu (Mat Sabu) pernah bertanding jawatan Timbalan Presiden PAS (pada tahun 2009) tetapi kalah kepada Ustaz Nasharudin Mat Isa ketika itu, namun Mat Sabu dipilih semula masuk selaku AJK PAS Pusat dan menjalankan tugas dengan baik, hadir mesyuarat dan menjalankan amanah selaku pemimpin.

"Mat Sabu tidak pernah kecewa dengan kekalahan," ujarnya.

Mustaffa berkata, musuh PAS telah mengambil kesempatan dengan kelemahan yang ada kepada dua individu itu (Nasharudin dan Hassan) bagi memerangkap mereka.

Disebabkan kelemahan itulah, mereka berdua kini memperlihatkan suatu agenda yang menjadikan PAS sebagai tempat melepaskan kemarahan, ujarnya.

Sedangkan kata beliau kemarahan itu tidak berasas sama sekali memandangkan kedua-duanya tiada asas untuk menyatakan bahawa PAS lari dari perjuangan Islam.

Mustaffa berkata, kedua-dua individu itu kini terperangkap dengan agenda Umno-BN dalam memastikan PAS bergolak.

Namun beliau yakin, ahli dan kepimpinan boleh menilai sejauhmana kritikan kedua-dua bekas pemimpin ini benar atau sebaliknya.

Beliau turut menyifatkan bahawa tindakan Hassan terhasil daripada sikap yang tidak betul.

"Isu Hassan dan Nasharudin Mat Isa ini tak jejaskan kedudukan parti tetapi kita nak elakkan individu ini jika boleh selamatkan, agar tak terlajak. Namun saya tak tahulah boleh selamatkan atau tidak mereka ini," katanya lagi.

Ditanya samada ada perbincangan dilakukan bagi menasihatkan kedua-dua bekas pemimpin PAS ini, beliau berkata telah ada pihak yang diarahkan PAS Pusat untuk menemui dan berbibcangan dengan mereka berdua.

Namun hasil pertemuan pihak yang diminta bertemu dengan Hassan mendapati persepsi bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu sangat tidak menyebelahi usaha tersebut, katanya.

No comments: