Sunday, December 18, 2011

KERAJAAN JANGAN TERBURU-BURU LAKSANAKAN SKIM SARAAN BARU PERKHIDMATAN AWAM

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) memandang serius tindakan Kongress Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CEUPACS) yang membantah pelaksanaan beberapa opsyen Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) kerana didakwa kurang jelas, selain tempoh terlalu singkat diberikan kepada penjawat awam untuk menerima tawaran itu.

DPP Malaysia menganggap bantahan CEUPACS yang mewakili 1.4 juta kakitangan awam adalah berasas dan kerajaan perlu mengambil perhatian terhadap tuntutan atau bantahan yang telah dikemukakan ini. CEUPACS pula telah menyatakan keputusan bantahan tersebut melalui Mesyuarat Kongres Khas dengan undian 125 orang perwakilan mereka. Ini menunjukkan keseluruhan ahli CEUPACS atau keseluruhan penjawat awam di negara ini tidak bersetuju tindakan kerajaan melaksanakan SBPA.

DPP Malaysia amelihat polisi ini boleh menimbulkan kecelaruan dan dianggap menganiaya pekerja sektor awam. Tambahan pula dasar ini boleh disalahgunakan untuk tujuan tertentu, terutamanya politik. Ianya boleh terdedah kepada pelbagai manipulasi kerana kuasa menentukan kenaikan pangkat dan markah prestasi ditentukan oleh kakitangan atasan.

Selain itu, banyak item didalam SBPA yang mengundang pertikaian banyak pihak, khususnya penjawat awam. Antaranya skim pencen, gaji dan elaun serta prospek perjawatan dengan tempoh perkhidmatan yang dilanjutkan sehingga usia 60 tahun. Disamping itu dasar pemisah atau ‘exit policy’ juga tidak jelas dan menimbulkan pertikaian.

Bagi DPP Malaysia, ia perlu dikaji semula dengan melihat kesan dan keberkesanannya supaya kepentingan kakitangan awam dapat dijaga. Oleh itu, DPP Malaysia bersetuju dengan gesaan CEUPACS supaya kerajaan menangguhkan pelaksanaan SBPA sebelum perbincangan dibuat. DPP Malaysia juga meminta kakitangan awam supaya menangguhkan dulu menandatangan borang opsyen sebelum perbincangan dan keputusan dibuat oleh kerajaan berhubung isu ini

DR RAJA AHMAD AL HISS
Naib Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia

No comments: