Thursday, January 13, 2011

Najib tiada idea sanggah tawaran 100 hari Pakatan Rakyat

WAN NORDIN WAN YAACOB

KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak disifatkan 'kering idea' untuk menyanggah pelan tawaran 100 Hari Pakatan Rakyat apabila menolak pelawaan debat oleh Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Demikian telahan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub kepada Harakah ketika ditemui selepas Mesyuarat Bulanan Pakatan Rakyat di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut 13 Januari lalu.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata sepatutnya Najib menerima tawaran debat Anwar kerana ia adalah jalan terbaik bagi rakyat untuk menilai sejauhmana tawaran Pakatan Rakyat itu suatu idea yang realistik.

Kenyataan Najib yang menyifatkan cabaran debat itu sebagai 'membuang masa' kata Salahuddin suatu kenyataan yang tidak bertanggungjawab selepas Perdana Menteri itu mengkritik Pelan 100 Hari Pakatan Rakyat.

"Dia (Najib) melemparkan kritikan, tetapi kenapa takut untuk berhujah dengan pimpinan Pakatan Rakyat.Jika beliau berani, beliau sahut cabaran Anwar, samada debat atau berbincang secara terbuka," katanya.

Beliau yakin, keenganan Najib itu sebenarnya membuktikan ketidakmampuan kerajaan Umno-BN memberikan tawaran yang benar-benar menyentuh rakyat kebanyakan.

Apa yang menjadi amalan Umno-BN sebelum ini hanyalah mementingkan soal kroni, sedangkan rakyat dibiarkan tertekan dengan masalah ekonomi hasil kepincangan pentadbiran kerajaan, katanya.

"Pakatan Rakyat datang dengan menawarkan alternatif, suatu kerajaan yang berintegriti, mampu menjadikan ekonomi negara mesra dan memihak kepada rakyat," ujarnya lagi.

Beliau yakin, Najib akan terus menolak tawaran debat atau berbincangs ecara terbuka kerana Najib kekeringan idea untuk menyanggah hujah Pakatan Rakyat.

No comments: