Monday, January 10, 2011

Najib tertekan dengan tawaran 100 hari Pakatan Rakyat - Mahfuz

WAN NORDIN WAN YAACOB

KUALA LUMPUR, 10 Januari (2011) : Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak dilihat sangat tertekan dengan tawaran yang dikemukakan 100 hari jika Pakatan Rakyat menerajui negara pada pilihan raya umum ke -13.

Demikian telahan Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar kepada Harakah ketika ditemui hari ini mengulas kenyataan Najib berhubung kritikan terhadap 100 hari tawaran Pakatan Rakyat.

"Nampak sangat Najib gelabah.Sebenarnya mereka tak mampu buat apa yang kami (Pakatan Rakyat) tawarkan.Mereka (Umno) hanya mementingkan kroni, mereka tarik subsidi minyak siksa rakyat dengan pelbagai kenaikan barangan dan keperluan.

"Kita (Pakatan Rakyat) tawarkan perkara-perkara yang benar-benar menyentuh rakyat.RM500 kepada golongan pendidik, ini kerajaan tak mampu beri,Soal memansuhkan tol, ini kerajaan tak mampu buat, semua yang kita tawarkan ini benar-benar memberi tekanan kepada kerajaan Umno," katanya.

Mengulas kenyataan Najib yang menyifatkan tawaran Pakatan Rakyat hanya akan menggadai masa depan anak cucu sebenarnya kata Mahfuz menampakkan lagi bahawa Umno tidak menyebelahi rakyat.

Tawaran yang dikemukakan Pakatan Rakyat telah mengambilkira bagaimana penjimatan wang negara boleh dibuat dengan urus tadbir yang sangat baik, katanya.

Sedangkan apa yang diamalkan kerajaan Umno/BN adalah sebaliknya, wang rakyat digunakan bagi menanggung perbelanjaan mewah pimpinan negara termasuk Najib sendiri.

Beliau menyelar kenyataan Najib yang mendakwa Pakatan Rakyat membuat tawaran yang berbentuk populis, dan tidak memikirkan soal kewangan negara.

"Apa guna Najib pohon RM65 juta untuk baiki rumah Perdana Menteri.Apa guna kerajaan guna wang rakyat bayar perunding Israel, Apco Worldwide untuk pulihkan imej kerajaan di mata dunia, apa guna kerajaan tarik subsidi dengan naikkan harga minyak petrol? adakah ini sebenarnya bukan satupendekatan populis yang merugikan rakyat?," soal beliau.

Beliau yakin, rakyat dapat menilai dan mampu melihat bagaimana tawaran Pakatan Rakyat ini sebenarnya sesuatu yang sangat realistik dan mampu dilaksanakan.

"Yang penting kita buat pendekatan samada populis atau tak ianya menyebelahi rakyat, bukannya kepimpinan kerajaan.Ini yang menyebabkan Najib sangat tertekan," katanya.

Najib pada 10 Januari lalu membidas pelan 100 hari yang dibentangkan oleh Pakatan Rakyat dengan menyifatkan ia sebagai populis dan tidak bertanggungjawab.

Perdana Menteri berkata selepas dikaji pelan itu, ia sebenarnya tidak berpaksi kepada kenyataan kerana tidak ada pembentangan dari segi punca kewangannya.

"Kita tidak boleh mengambil sikap terlalu populis sehingga menggadaikan masa depan negara. Kita tidak boleh begitu, tidak bertanggungjawab sama sekali sehingga anak dan cucu kita merana nanti.

"Malah, tak perlu tunggu anak dan cucu, dalam masa dua tahun sahaja, mengikut perkiraan kita, jika janji itu dilaksanakan tanpa mengambil kira kemampuan negara," katanya pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya.

Antara janji Pakatan Rakyat yang dibentang dalam konvensyen kedua di Kepala Batas 19 Disember lalu ialah :

Sebagai permulaan kepada reformasi tersebut, dalam 100 hari kami mendapat mandat rakyat, pakatan Rakyat menjanjikan akan melaksanakan program berikut:

1. Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

2. Mengarahkan Khazanah Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuhraya untuk menyempurnakan ambil alih aset lebuhraya oleh kerajaaan dengan tujuan menghapuskan tol.

3. Merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta (seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion kepada penjana bebas) dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat.

4. Menghargai peranan guru sebagai pendidik bangsa dengan Menaikkan memperkenalkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap seorang.

5. Menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air yang diuruskan swasta kepada kerajaan.

6. Menyediakan perkhidmatan internet wifi percuma kepada semua rakyat di kawasan bandar dan separa bandar.

7. Membatalkan Felda Plantations bagi tujuan membuka ladang-ladang yang kini diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga Felda.

8. Menaikkan royalti minyak kepada Sabah dan Sarawak kepada 20%.

9. Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi memulihkan sistem kehakiman.

10. Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di negeri Sabah.

No comments: