WAN NORDIN WAN YAACOB
KUALA LUMPUR : Sidang Dewan Rakyat pada 8 Disember lalu kecoh apabila berlakunya pertikaman lidah antara ahli Parlimen Pakatan Rakyat, dengan Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia serta beberapa ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).
Ia berikutan pertikaian Azmin Ali (KeADILan Gombak) berhubung usul tergempar untuk mempersoal hasrat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen untuk menggantung Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim tanpa diberi peluang membela diri yang ditolak Speaker.
Sebelum memulakan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2011 pada peringkat jawatankusa, Azmin bangkit dan membentangkan usul tergempar mengikut Aturan Urusan Mesyuarat 18 (1).
Ketika bangkit menyatakan pendirian berhubung usulnya, Azmin membidas Pandikar Amin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana menolak saksi, bukti dan dokumen yang membantu Anwar membela dirinya di hadapan jawatankuasa
Katanya, Dewan Rakyat sama-sekali tidak boleh bersetuju dengan tindakan jawatankuasa yang sengaja melanggar prosedur dan prinsip 'natural justice'.
Suasana semakin riuh ketika Azmin yang berang dengan sikap Pandikar menyelar dengan menyatakan "Kalau hakim boleh dibeli, doktor boleh dibeli beri keterangan palsu, saya tidak mahu Speaker Dewan dibeli oleh Umno Barisan Nasional,".
Beberapa ahli Parlimen BN termasuk Dato' Shamsul Anuar Nasarah (BN Lenggong) dan Dato' Idris Haron (BN Tangga Batu) bangun mendesak Azmin menarik semula kenyataan tersebut.
Namun, Azmin yang berang dengan tindakan speaker yang tidak mahu memberi ruang kepadanya membuat penjelasan terus mencegam 'ketidakadilan' speaker.
Dalam masa yang sama, speaker bagaimanapun menegaskan keputusannya adalah tepat kerana pihak jawatankuasa berhak untuk menolak mana-mana bukti yang dikemukakan.
"Bagaimana jawatankuasa boleh mengatakan bukti dan saksi yang akan dipanggil tidak berkaitan tanpa melihat atau mendengarnya terlebih dahulu?" soal Azmin yang berang dengan kenyataan Speaker itu.
Sementara itu, Ir Khalid Samad (PAS Shah Alam) bingkas bangun mengecam tindakan speaker yang baginya membuat tafsiran berhubung peraturan mesyuarat dengan menolak usul Azmin 'secara sesuka hati'.
Kritikan Khalid itu mengundang lagi perbahasan lanjut beberapa ahli Parlimen yang bangun antaranya, Yusmandi Yusof (KeADILan Balik Pulau) ; R Sivarasa (KeADILan Subang) dan Dato' Mahfuz Omar (PAS Pokok Sena).
Sementara beberapa ahli Parlimen BN hanya bangun bagi meriuhkan keadaan dengan melontarkan kecaman ke atas keenganan Azmin dan ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang lain akur dengan keputusan speaker.
Dalam masa yang sama, Karpal Singh (DAP Bukit Gelugor) pula mahu Pandikar Amin digantikan dengan timbalannya bagi mengadili usul yang dibawa Azmin.
Hujahnya mudah, Pandikar tidak layak kerana beliau juga adalah Pengerusi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
"Tuan Speaker harus berundur. Sekiranya tidak, maka berlakulah conflict of interest," kata Karpal, namun Pandikar bagaimanapun enggan berbuat demikian.
Beliau sebaliknya mengarahkan sidang diteruskan tetapi tidak berjaya kerana ahli-ahli parlimen terus bertikam lidah.
Akibatnya, Pandikar menggantung enam ahli parilimen Pakatan rakyat yang terus berdiri sehingga Dewan Rakyat bersidang semula selepas makan tengahari pada jam 2.30 petang.
Dalam perkembangan berkaitan baru-baru ini Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dilaporkan tidak akan mendengar lagi keterangan saksi, termasuk dari Anwar dan akan membuat rumusan berdasarkan sepucuk surat penjelasan oleh firma perhubungan antarabangsa, Apco Worldwide.
Kerajaan pada April lalu mendesak tindakan diambil ke atas Anwar kerana membidas slogan 'Satu Malaysia' yang diilhamkan oleh Apco, diodakwanya ditiru dari konsep 'One Israel' yang digunakan oleh perdana menteri Israel, Ehud Barak pada 1999.
Pada 3 Disember lalu, ahli parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh - yang juga anggota jawatankuasa itu berkata ahli-ahlinya diberikan sepucuk surat dari Apco bertarikh 19 Ogos dan memutuskan telah membuat rumusan mereka.
Berikutan itu, beliau dan Sivarasa bertindak meninggalkan mesyuarat dalam protes.
Confidential Document
10 years ago
No comments:
Post a Comment