Wednesday, December 8, 2010

Pakatan Rakyat akan umum 'tawaran baru' dalam Konvensyen PR 19 Disember?

Pakatan Rakyat akan mengadakan Konvensyen Kali Keduanya di Pulau Pinang pada 19 Disember ini setelah pada tarikh yang sama tahun lalu ia diadakan di Selangor.Dalam merencah politik massa yang semakin dicelarukan Umno/BN, Pakatan Rakyat terus membawa dasar kebajikan untuk rakyat.Pakatan Rakyat terus relevan dengan arus massa.Mengulas pokok perbincangan yang bakal dilaterikan dalam konvensyen kali ini, Wartawan Kanan Harakah, WAN NORDIN WAN YAACOB menemui Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub di Parlimen pada 8 Disember lalu.

Soalan : Pakatan Rakyat akan menganjurkan konvensyen kedua pada 19 Disember ini, apa mungkin telahan awal YB berhubung penganjurannya dan perkara pokok yang akan dibincangkan dalam program tersebut?

Salahuddin : Terima kasih kepada Harakah kerana sudi mewawancara saya.Saya rasa selepas setahun kita berkonvensyen di Shah Alam (kali pertama) dan kita berjaya kemukakan suatu dasar Pakatan Rakyat seperti yang kita tahu walaupun ketika itu baru setahun kita membentuk Pakatan Rakyat.Ketika itu kita berjaya mengadakan dasar yang dipersetujui bersama melibatkan urus tadbir kerajaan, ekonomi, sosial, sosio politik dan isu rakyat telah kita sepakati.Telah berlalu setahun dan ia adalah masa yang sangat mendebarkan dan mencabar kita semua, pelbagai insiden yang berlaku, serangan dihalakan media BN, konvensyen kali ini sangat bermakna kerana kita masih terus bersama dalam Pakatan Rakyat.

Ini satu pakatan dan persahabatan yang dibina atas dasar membela rakyat.Pokoknya ialah apabila kita semua berada di Pulau Pinang (Kepala Batas) pada 19 Disember nanti, itu buktinya Pakatan Rakyat itu terus wujud dalam persada politik Malaysia.Walaupun pelbagai serangan, segala kekuatan dan kecaman yang dihadapkan ke atas kita, tetapi kita berjaya menjadikan Pakatan Rakyat sebagai sebuah pasukan yang sangat kukuh dan kuat, yang terus berdiri.Kita berdiri dengan wajah yang jauh lebih kuat dengan tema membawa perubahan kepada Malaysia, membawa perubahan kepada politik di Malaysia.


Apakah perkara penting yang akan dibicarakan dalam Konvensyen Kedua Pakatan Rakyat ini?

Salahuddin : Saya rasa ada tiga perkara pokok yang penting yang perlu dibahas dan dilihat dalam konvensyen kali ini.Pertamanya ialah kita bincangkan sebuah negara Malaysia yang dicita-citakan, keduanya bagaimana kita huraikan Malaysia di era BN selama 50 tahun, dan ketiganya nilai dan penyelesaian kita, ke arah kita berikan pandangan kita kepada rakyat.Tarikh 19 Disember ini sangat penting dalam kita semua menolak dan menangkiss serta memperlekehkan semua anggapan kononnya Pakatan Rakyat lemah, tak bersatu.Kita mampu hadir dan memperkuatkan dengan wajah yang sangat meyakinkan.


Sebelum ini dah digariskan dalam Konvensyen Pertama di Shah Alam empat perkara asas yang membentuk dasar Pakatan Rakyat, antaranya ialah Islam selaku Agama Rasmi Persekutuan, kedudukan bahasa Melayu, Kedudukan Raja-raja Melayu dan hak dan keistimewaan Melayu (perkara 153 Perlembagaan Persekutuan), apakah akan ada penghuraian dan nilai tambah kepada dasar-dasar tersebut atau ada tawaran baru?

Salahuddin : Pimpinan Pakatan Rakyat akan mengutarakan hal tersebut, kita akan huraikan Malaysia yang dicita-citakan, tunggulah apa pengumuman pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat.Pokoknya dalam konvensyen kali ini kita akan huraikan bagaimana Malaysia yang dicita-citakan itu.Kita akan tawarkan kepada rakyat yang pokoknya berdasarkan kepada maudhuk 'Malaysia yang dicita-citakan'.

Secara keseluruhannya, dalam konvensyen itu nanti, akan ada perbahasan dari pemuda, muslimat, exco kerajaan negeri, dan NGO yang bersama dengan Pakatan Rakyat. Keseluruhan yang datang akan bahas tajuk ini.Kita mahu mengubah sekarang, sebagai satu tema kita,dan kita akan bincangkan tema ini.Kita akan tawarkan berdasarkan kepada dasar-dasar yang telah kita sepakati bersama.Kita kawarkan apakah ciri-ciri negara yang diinginkan.

Pasca pilihan raya umum ke-12, barulah Pakatan Rakyat terbentuk dari gabungan tiga parti, PAS, DAP dan KeADILan.Sebelum itu semuanya bergerak sendiri.Tiada pernah satu manifesto pilihan raya bersama, apakah konvensyen kali ini akan menjadi 'ladang' input kepada pakatan untuk membentuk satu manifesto bersama menjelang pilihan raya umum ke-13?

Salahuddin : Itu akan diputuskan oleh kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat. Saya yakin dan percaya resolusi konvensyen ini akan memberi makna yang sangat besar ke arah kita terus bergerak bersama dan dapat melihat langkah kehadapan,Saya tidak tolak kemungkinan perlu untuk kita rangka jawatankuasa khas merangka dan meneliti Manifesto Bersama.Saya yakin akan ada.


Soalan : Sebelum ini disebut-sebutkan soal perbezaan idealogi antara parti dalam Pakatan Rakyat, adakah ia masih menjadi 'halangan' atau sebaliknya ia sudah diselesaikan?

Salahuddin : Kita tidak boleh mengelak perbezaan dalam memberi pandangan politik kita lebih-lebih lagi dalam organisasi politik yang besar.Demikian juga saya melihat sejarah politik parti-parti yang mendominasi negara di dunia hari ini, semuanya ada perbezaan yang kita tidak boleh nafikan.

Bagaimana kita menguruskan perbezaan itu, kena ada iltizam, kebijaksanaanya, apa yang yang berlaku antara PAS,DAP dan KeADILan ini, kita tidak boleh elak kerana kita setakat ini kita uruskan perbezaan dengan baik.Walaupun berbeza pandangan tetapi kita mampu selesaikan perbezaaan itu dengan persahabatan yang kita ada. Dalaman kita diserang hebat oleh media Umno/BN, tetapi alhamdulillah kita terus berada bersama dalam Pakatan Rakyat dengan tujuan untuk memastikan kerajaan yang ada hari ini digantikan dengan kerajaan yang jauh lebih adil, telus dan berintegriti dengan Pakatan Rakyat.Kita masih tidak rebah dengan perbezaan ini.Kita akan terus tampil dengan wajah Pakatan Rakyat meskipun ada pertelagahan kerana ia 'asam garam' dalam politik.


Mungkin ada harapan yang mahu dilahirkan kepada penggiat, ahli dan kepimpinan Pakatan Rakyat yang akan bersidang 19 Disember ini?

Salahuddin : Saya lebih fokus kepada bagaimana hendak menjelmakan pemikiran baru dalam politik Malaysia yang kita inginkan.Islam yang jadi dasar perjuangan PAS ini saya harap semakin diterima dan dengan kebijaksanaan kita berdakwah, alhamdulilah hari ini ramai ahli-ahli dan pimpinan Pakatan Rakyat yang lain yang bukan Islam bertanyakan kita soal Islam.Kita memainkan peranan memahamkan mereka.Ini satu budaya baru yang ditimbulkan Pakatan Rakyat.Saya harapkan kita dapat jana sokongan kalangan golongan muda untuk menyokong kita.

No comments: