Tuesday, November 30, 2010

Tangguh pemilihan 18 bulan, Najib bimbang kelibat Muhyiddin-Ku Li

WAN NORDIN WAN YAACOB

Sekonyong Presiden Umno, Dato' Seri Najib Tun Razak mengumumkan partinya menangguhkan pemilihan kepimpinan Umno pada tahun hadapan sehingga tahun 2013 iaitu penangguhan selama 18 bulan.

Apakah yang tersirat disebalik pengumuman ini, menelah isu ini Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar berkata, Najib sebenarnya menghadapi krisis keyakinan yang sangat parah dalam Umno.

Manakan tidak dengan beberapa orang dikiri kanannya termasuk Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin kini mengintai peluang untuk menduduki kerusi nombor satu dalam Umno dan kerajaan (selaku PM).

Sejak awal Najib menjadi Perdana Menteri, beliau sudah menyedari kelibat Muhyiddin yang secara rekodnya adalah orang paling berjasa menaikkannya dengan menjatuhkan Tun Abdullah Ahmad Badawi melalui dukungan Tun Dr Mahathir Mohamad, katanya.

Kini 'wajah' Muhyiddin yang turut serta menghentam kepimpinan Abdullah membayangi Najib yang kurang disenangi kelompok pimpinan veteran Umno kerana kelibat isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor sebagai 'de facto PM', katanya.

Rosmah kata Mahfuz pastinya memberikan buah fikiran kepada Najib untuk mencari langkah selamat dengan mengumumkan penangguhan selama 18 bulan.

Kata Mahfuz, dari riak kenyataan Najib yang tidak berselindung menyatakan penanguhhan untuk elak perpecahan sudah membayangkan Presiden Umno itu kini dalam keadaan yang sangat tersepit.

Lebih-lebih lagi dengan kehadiran semula (come back) bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) setelah berjaya memenangkan Umno/BN dalam Pilihan Raya Kecil Dun Galas, ia memberi kerimasan kepada Najib, mahupun Muhyiddin.

"Ada kemungkinan mereka berdua (Najib dan Muhyiddin) juga merasakan tidak selesa dengan kemunculan semula veteran politik Umno ini (Ku Li) yang memiliki pengaruh dan kekuatan di akar umbi, silap percaturan dua pimpinan Umno ini tewas kepada veteran Umno ini," dakwanya.

Najib juga bimbang dengan pemilihan yang memberi kesan negatif kepada Umno/BN dalam menghadapi pilihan raya umum sekitar Mac hingga Jun ini, ujarnya.

Disebabkan itu, penangguhan terpaksa dibuat sehingga satu tarikh yang sangat lama jaraknya, katanya.

No comments: