WAN NORDIN WAN YAACOB
KUALA LUMPUR, 2 Nov : Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad mendedahkan, kerajaan bakal menanggung satu lagi kerugian besar yang mirip kepada Skandal PKFZ iaitu Projek Pelabuhan Tuna Malaysia (MITP) .
Sebelum ini kerajaan telah rugi berbilion ringgit dalam skandal Pelabuhan
Bebas Cukai Kelang (PKFZ), dan MITP kata Dzulkefly adalah skandal kedua
yang bakal dihadapi kerajaan dalam siri-siri kerugian dana awam.
Bercakap semasa sidang media di Parlimen 2 November lalu, Dzulkefly yang
juga AJK PAS Pusat berkata, laporan Adudit 2005 pernah mendedahkan tentang kepincangan awal PKFZ, dan kini MITP adalah satu kes yang 'persis' (hampir sama) dengan skandal terdahulu.
Projek tersebut bernilai RM243.38 juta dibina sejak tahun 2004, namun dalam laporan Audit 2009, Ketua Audit negara mendedahkan ianya berprospek menjadi 'liabiliti' kepada kerajaan.
"Amat malang ketika didedahkan kes PKFZ dahulu, tidak ada siapapun pimpinan Umno/BN mahu bertindak.Kini kes Pengurusan Pelabuhan Antarabangsa Tuna Malaysia melibatkan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bernilai RM243.38 juta adakah skandal PKFZ dalam pembikinan" katanya sinis.
Menurutnya, projek MITP ini adalah usahasama LKIM dengan Syarikat Bindford Sdn Bhd yang termetera pada 12 April 2004 di Pulau Pinang ketika kerajaan negeri masih di bawah Gerakan/BN.
Bindford Sdn Bhd memegang ekuiti 60 peratus iaitu pada nilai RM29.05 juta sementara LKIM memegang 40 peratus bernilai RM11.62 juta melallui sewaan tanah LKIM seluas 20 ekar yang bakal dibangunkan, katanya.
Perjanjian pembangunan adalah secara konsesi penswastaan secara Bina-Operasi-Pindah (BOT) selama 30 tahun yang ditandatangani pada 16 September 2004 dan ia tidak termasuk pembinaan dua tahun, katanya.
Projek tersebut ujarnya dilaksanakan dalam tiga fasa dan kos yang dianggarkan sejumlah RM243.38 juta dibiayai sepenuhnya oleh MITP melalui pinjaman dalam bentuk bon daripada OSK Invesment Bank Berhad dan RHB Invesment Bank berhad berjumlah RM240 juta, katanya.
Sementara Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) telah mengeluarkan surat sokongan kepada OSK Trustee Berhad pada 15 September setelah mendapat pandangan penasihat undang-undang kementerian tersebut, dedahnya.
Menurut Dzulkefly lagi, LKIM mengeluarkan 'letter of undertaking' yang menyatakan dalam Klausa 24 perjanjian konsesi akan dikuatkuasakan apabila
terdapat 'event of default' di pihak MITP.
"Pada 6 januari 2010, OSK Trustee mengisytiharkan 'event of default' terhadap MITP.OSK menuntut sejumlah RM208.62 juta termasuk faedah.Justeru kerajaan perlu menanggung RM83.45 juta iaitu ekuiti sebanyak 40 peratus di dalam MITP.Sementara pemindahan ekuiti itu juga tidak diambil tindakan oleh MITP," katanya.
Justeru kerajaan terpaksa menanggung pinjaman bon RM83.45 juta, kerana surat sokongan merupakan liabiliti kepada kerajaan pusat dan tanah LKIM seluas 20 ekar tidak dapat dituntut kembali kerana MITP telah mencagarnya sedangkan syarikat itu tidak aktif, katanya.
Beliau seterusnya melahirkan kekesalan dengan sekali lagi rakyat diperdengarkan dengan skandal kewangan yang mirip kepada skandal PKFZ, dan yang bakal memberikan satu lagi tamparan hebat kepada kerajaan.
"Soalnya adalah pengurusan kewangan dan kelemahan kerajaan," ujarnya.
Confidential Document
10 years ago
No comments:
Post a Comment