Thursday, October 21, 2010

Perhimpunan Umno, mengapa Najib resah mahu pertahan Putrajaya?

WAN NORDIN WAN YAACOB
(analisis)

Tanpa diprovokasi mahupun diapi-apikan mana-mana perwakilan, Presiden Umno, Dato' Seri Najib Tun Razak dalam ucapan Dasar Perhimpunan Agung Umno 2010 melatah hingga menyatakan 'biar hilang nyawa" Putrajaya akan tetap di pertahankan.

"Walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan!" kata Najib.

Ucapan Najib sempena Perhimpunan Agung Umno 2010 di PWTC nampak merisaukan ramai ahli Umno yang tertanya-tanya samada pelan transformasi dan perubahan sebenar belum berlaku dalam parti.

Mengapa Najib terlalu cemas dengan slogan Putrajaya mesti dipertahankan?Adakah kerana bimbang dengan apa yang dilakukan sejak April 2009 selepas menjadi Perdana Menteri masih gagal diterima rakyat?.

Ataupun Najib mulai rasa rimas dan terancam dengan keghairahan Pakatan Rakyat melaungkan agenda menuju ke Putrajaya dengan sokongan rakyat hari ini semakin bertambah.

Hujah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya Najib bakal berhadapan laluan sukar untuk mempertahankan Putrajaya dan mungkin sukar untuk mendapat majoriti 2/3 seperti dalam pencapaian Tun Abdullah Ahmad Badawi pada pilihan raya umum 2004.

Kenyataan Mahathir bahawa Najib mewarisi sebuah kerajaan yang lemah dari tangan Abdullah lebih membimbangkan anak didik Mahathir itu turut terheret dengan pelbagai cerita negatif yang dipalitkan ke atas isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Kegelisahan Najib berasas, Umno walaupun pada zahirnya hari ini nampak seperti sudah pulih berbanding dizaman pemerintahan Abdullah, namun pastinya kelibat Timbalan, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang pernah menjatuhkan Abdullah masih menjadi bayangannya.

Telahan bekas anggota pimpinan Pemuda Umno, Saifuddin Nasution ada menyentuh mutakhr ini pertentangan antara Najib dan Muhyiddin sangat ketara.

Najib dilihat mahu menjadi Perdana Menteri kepada semua kaum, tetapi Muhyiddin pula berlagak ingin menjadi 'Ultra Malay heroes' yang sangat jelas dalam isu Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) yang bermati-matian dipertahan Timbalan Perdana Menteri itu.

Berbanding Najib walaupun bergelar Presiden Umno dan anak kepada Allahyarham Tun Razak Hussin yang sangat diketahui 'semangat Melayunya' namun Najib pula menegur pertubuhan itu (Perkasa).

Kewujudan Perkasa mungkin merimaskan Najib, tatkala sokongan bukan Melayu sangat-sangat tidak menyebelahi mereka, malah kepimpinan komponen Barisan Nasional (BN) lain seperti MCA, Gerakan dan MIC masing-masing bergelut dengan krisis dalaman.

Malah pembentangan Bajet 2011 yang baru dibentang pada 15 Oktober lalu di Parlimenpun tidak menggembirakan Najib tatkala cemuhan terus menerus diterimanya akibat meneruskan dasar membangunkan Projek Mega seperti yang diamalkan bekas ketuanya, Mahathir.

Najib tidak sedar rakyat mula 'bosan' dengan sikap kerajaan yang tidak menyelesaikan masalah yang paling dekat dengan rakyat tatkala gelodak ekonomi menghimpit mereka.

Menara Warisan bukan jalan terbaik untuk menyelesaikan kemelut ekonomi rakyat kerana akhirnya setelah siap dibina nanti, menara itu akan menjadi seperti KLCC yang kini tempat tumpuan 'golongan elit' dan pelancong sahaja untuk membeli belah.

Tanya kepada nelayan, petani, penoreh getah, pekebun sayur, peladang, kerani, tukang sapu dan pengemis, apakah menara 100 tingkat boleh memberi faedah kepada mereka dalam menyelesaikan urusan 'kantung' yang semakin tipis?.

Najib sebenarnya lari dari tanggungjawan menjadi Perdana Menteri kepada rakyat, sebaliknya hanya menjadi Perdana Menteri kepada kelompok elit Umno Putra dan tauke-tauke besar yang menanti saban tahun projek-projek mega dari Belanjawan Kerajaan.

Jika tidak masakan Menara Warisan dan projek Permata mendapat perhatian beliau ketika mengilhamkan Bajet 2011?.Nyatalah Najib sendiri bermain dengan api dan mengulangi kesilapan pimpinan Umno dan negara terdahulu yang hanya mahu memastikan kroni tidur lena, walaupun diri sendiri gelisah akan sokongan rakyat yang semakin terhakis!

Apakah Perhimpunan Agung Umno 2010 ini akan menjadi 'himpunan terakhir' Najib selaku Perdana Menteri, rakyat mungkin sudah mula berkira-kira untuk menghukum kelemahan ini pada Pilihan Raya Umum ke-13.

No comments: