PRK Dun Galas, menilai kekuatan PAS di kubu kuat Umno
WAN NORDIN WAN YAACOB
(Analisis)
Pemergian Allahyarham Che Hashim Sulaima, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas membungkam rasa sedih dan pilu bukan sahaja sanak saudara malah seluruh pejuang Islam di Kelantan khasnya dan Malaysia amnya.
Wajah suram sanak saudara mengiringi pemergian Allahyarham setelah beliau menderita barah usus lebih dua tahun lamanya.Sejak bergelar Yang Berhormat Dun Galas, Che Hashim merupakan seorang sangat rapat dengan masyarakat.
Kisah kemenangan beliau pada pilihan raya umum ke-12 yang lalu menarik kerana Dun Galas bukanlah kawasan kubu kuat PAS, dan dengan majoriti lebih 646 undi yang diperolehinya mengalahkan calon BN, Saufi Deraman, Che Hashim melakar sejarahnya yang tersendiri.
Pada pilihan raya umum 2008, Che Hashim memperoleh 4,399 undi mengalahkan calon BN Mohd Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi. Saufi mendapat 3,753 undi.
*Kemana arah kempen Ku Li?*
Dun Galas terletak di bawah Parlimen Gua Musang yang diwakili Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) yang kini mula 'menjengkel' tabiat buruk Umno/BN dalam isu penafian wang royalti minyak milik kerajaan Kelantan.
Bermula dengan sejarah 'penentangan' Ku Li terhadap tindakan luar undang-undang kerajaan Umno/BN Pusat, sejak itu Ku Li dilihat 'renggang' dengan Umno, malah cukup banyak menghadiri jemputan ceramah atau majlis keraian yang dianjurkan NGO samada yang mirip kepada PAS mahupun bebas.
Jarang sekali Ku Li mendambakan pentas Umno lewat waktu ini, setelah nasihatnya selaku bekas Pengerusi Petronas pertama dibakul sampahkan oleh kerajaan pimpinan Dato' Seri Najib Tun Razak.
Kelibat Ku Li pastinya dinantikan dalam episod kempen Pilihan Raya Kecil Dun Galas yang bakal diumumkan tarikhnya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat.
Dengan pelantikan Ku Li sebagai Pengarah Jentera Pilihan Raya Dun Galas bagi Umno/BN, pastinya perkembangan ini menyesakkan nafas Ku Li selaku pihak yang menentang keputusan kerajaan dalam kes royalti minyak.
Ke mana hala kempen yang bakal diwajahkan oleh Ku Li andai perjuangannya hari ini tercabar dengan statusnya selaku Pengarah Jentera Dun Galas.
*Wajah Awang Adek dan karutnya*
Satu lagi watak yang pastinya tidak boleh diketepikan dalam pilihan raya kecil Dun Galas kali ini ialah Timbalan Menteri Kewangan Kedua, Dato' Dr Awang Adek Hussin.
Awang Adek adalah watak yang 'penting' di Kelantan yang akan menjadi 'tukang karut' dalam waktu-waktu kempen dengan slogan 'hidup Melayu'nya.
Beliau sendiri kini mengorak langkah menyahut telahan Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung dogma kelesuan kuasa Melayu yang semakin popular menjadi senjata Umno/BN menakutkan kaum utama di negara ini.
Perlu diingatkan 'Orang Asal' (Orang Asli) adalah antara pengundi teramai di kawasan tersebut dengan sentimen tempatan akan menjadi fokus utama kepada kempen.
Wajah dan kekuatan sebenar kempen antaranya haruslah difokuskan kepada isu-isu membabitkan kebajikan, pembangunan, hak-hak dan pendidikan Orang Asal.
Jika dipertaruhkan isu kekuatan Melayu di Kelantan bak kata Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar negeri tersebut tidak pernah tergugat kerana yang mentadbir Kelantan sejak dahulu lagi adalah mereka yang berkulit sawo matang (Melayu).
Tidak pernah walau sekalipun dalam sejarah politik Kelantan, negeri Cik Siti Wan Kembang itu jatuh ke tangan kuasa bukan Melayu, dan sejak tahun 1990, pemerintahan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku Menteri Besar Kelantan memberikan nilai tambah kepada kekuatan Melayu-Islam di sana.
Lihat sahaja aktiviti ekonomi yang dijana oleh usahawan Melayu di sana, pastinya tidak terdapat di negeri-negeri yang dikuasai Umno secara total seperti Melaka, Negeri Sembilan, Johor mahupun Perlis.
Umno dalam kempennya nanti tidak boleh mendabik dada kononnya merekalah yang memperjuangkan nasib kaum Melayu di Galas, sedangkan Galas sejak 22 tahun lalu adalah dibawah pentadbiran kerajaan negeri Kelantan yang dikuasai PAS.
Perlu difikirkan lapangan masyarakat di sana akan penarikan hak rakyat Kelantan dalam kes royalti dan pastinya Umno akan membawa 'wang ehsan' sebagai galang ganti kepada penafian hak ke atas rakyat Kelantan keseluruhannya.
*Arah politik pembangunan*
Jikalau sekalipun politik pembangunan di[ertaruhkan Umno dalam kempennya nanti, pengundi Dun Galas pastinya akan mempertikaikan kelompongan yang ditinggalkan Umno sebelum ini di Dun tersebut sebelum PAS merampasnya pada pilihan raya umum yang lalu.
Di peringkat PAS, pastinya telahan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub yang memperingatkan bahawa 'bukan mudah' untuk menentang Umno/BN di kubu kuatnya di Dun Galas perlu dipandang serius.
Kekuatan jentera pilihan raya ke-13 yang telah disiapsediakan oleh PAS Kelantan secara berperingkat sejak habisnya pilihan raya umum yang lalu perlu diperturunkan bagi memacu kekuatan jentera di sana.
Jika di Manik Urai sekalipun PAS hanya mampu menang dengan majoriti yang agak mengejutkan, Dun Galas yang mana kubu kuat Umno yang diapit dengan dua Dun lagi, Nenggiri dan Palong yang dimenangi BN pastinya ia satu pertandingan yang 'menarik'.
Kekuatan semangat dan kekentalan jentera pilihan raya PAS Kelantan akan menjadi pertaruhan dengan bantuan dari jentera di peringkat pusat dan negeri-negeri selain parti komponen dalam Pakatan Rakyat.
Usik mengusik isu setempat pastinya akan memeriahkan adegan kempen di sana nanti, sementara kemeriahan isu di peringkat nasional akan menambah rencahnya.
Kelibat Presiden Perkasa, Dato' Ibrahim Ali dengan agenda Melayunya akan menghiasi suasana seperti kempen-kempen yang berlangsung di Manik Urai.Ibrahim yang menang atas tiket PAS-Bebas pada pilihan raya umum lalu kini menongkah arah setelah mendapat 'laluan' selesa di Pasir Mas.
Begitupun keyakinan yang ditanam Tok Guru Nik Aziz akan Dun Galas sekali lagi berjaya dipertaruhkan akan menjadi azimat kepada petugas PAS yang akan bertandang dan berkampung di sana nanti.
Kemenangan PAS di Dun Galas bakal menjadi pemangkin kepada perjuangan yang ditinggalkan Allahyarham Che Hashim Sulaima dengan 'Islam' sebagai dasar dan pendekatan yang diutamakan.
Confidential Document
10 years ago
1 comment:
Pas perlu pembaharuan dalam mengatur strategi terutama di kawasan pedalaman. Media kerajaan selalu gunakan isu-isu bodoh untuk menjerat pengundi di kawasan pedalaman yang kekurangan sumber maklumat..
admin
http://www.pelancongan-terengganu.blogspot.com
Post a Comment