WAN NORDIN WAN YAACOB
KUALA LUMPUR 20 Julai 2010 : Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar menegaskan parti sama sekali tidak akan bekerjasama dengan Umno/BN sebuah parti yang mengiktiraf peranan penasihat berkepentingan Zionis, APCO Worldwide.
"Ini perlu diketahui oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria seorang ulama tersohor, Umno mengiktiraf penasihat (APCO) yang berkepentingan Zionis, yang mengkhianati umat Islam di Palestin, yang membunuh umat Islam di
sana," katanya kepada Harakah ketika mengulas isu kerjasama PAS-Umno hari ini.
Mahfuz mendakwa, apabila terdesak Umno ini dengan Yahudipun mereka sanggup bekerjasama dan inilah gambaran bahawa Umno sanggup gadai agama, bangsa demi kepentingan politik mereka.
Mahfuz yang juga ahli Parlimen Pokok Sena menegaskan, PAS tidak akan sama sekali mengkhianati perjuangan umat Islam di Palestin yang menentang kezaliman rejim Zionis.
Sejak berpuluh tahun lamanya, umat Islam di Palestin berhadapan dengan kekejaman dan penindasan bangsa tidak bertanah, tiba-tiba Malaysia mengiktiraf sebuah syarikat yang berkepentingan negera tersebut untuk menjadi penasihat, kata Mahfuz.
Bagi Mahfuz, sebagai seorang mufti yang ternama, Harussani harus tahu bahawa Zionis banyak membunuh umat Islam di Palestin dan memusuhi Islam.
Malah nyata dalam al-Quran menyebut perihal kaum tersebut yang seharusnya difahami oleh seorang tokoh agama seperti Harussani, katanya.Seharusnya juga Harussani menasihatkan Umno/BN agar segera menamatkan kontrak dengan syarikat yang memiliki kepentingan dengan Zionis, katanya.
Beliau juga berkata, bagaimana mungkin PAS sebuah parti yang berteraskan Islam sebagai dasar boleh bekerjasama dengan sebuah parti yang sudah banyak mengkhianati perjuangan Islam dan Melayu.
Malah, adegan kerjasama dengan APCO sudah cukup membayangkan wajah sebenar Umno/BN yang seharusnya ditolak untuk bekerjasama, katanya.
Confidential Document
10 years ago
No comments:
Post a Comment