Monday, July 19, 2010

Kenaikan harga minyak untuk tampung peruntukan ahli Parlimen BN?

WAN NORDIN WAN YAACOB

KUALA LUMPUR 20 Julai 2010 : Ahli Parlimen Tumpat, Dato' Kamarudin Jaffar kesal dengan tindakan kerajaan menaikkan harga minyak dan barangan keperluan lain seperti gula dan gas yang diumumkan baru-baru ini.

Beliau hairan bagaimana kerajaan menaikkan harga minyak dalam pada Petronas sendiri mengumumkan keuntungan mereka berkurangan kerana kesan harga minyak yang menurun.

"Baru sahaja Petronas mengumumkan untung syarikat itu menurun kerana harga minyak turun tetapi mengapa kerajaan Malaysia menaikkan harga minyak?," ujarnya ketika diminta mengulas isu kenaikan harga minyak, gula dan gas hari ini.

Ujar Kamarudin, kerajaan mendakwa penarikan semula subsidi minyak dan keperluan lain kononnya untuk menjimatkan perbelanjaan kerajaan sekitar RM750 juta.

"Sebelum ini kerajaan telah agihkan kepada ahli-ahli Parlimen BN/Ketua bahagian RM1 juta seorang bagi setiap kawasan Parlimen, dan baru tambah RM500,000.Ada 222 ahli Parlimen dan Ketua Bahagian Umno, jadi RM333 juta dibelanjakan oleh Umno/BN daripada RM750 juta yang akan dijimatkan dengan kenaikan harga Petrol," katanya.

Beliau bimbang kenaikan ini dibuat hanya untuk menjamin kepentingan politik Umno/BN selain berhadapan dengan pilihan raya umum akan datang.

Kamarudin turut menegaskan, kerajaan seharusnya mengkaji dan meneliti semula gaji pekerja sektor kerajaan dan swasta untuk dinaikkan sebelum membuat pengumuman yang membebankan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.

Kerajaan sendiri pernah menyatakan kononnya sebahagian dari dasar negara ialah melahirkan rakyat yang berpendapatan tinggi, justeru kerajaan perlu menaikkan gaji dahulu sebelum menaikkan harga minyak, katanya.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan mengumumkan penurunan harga kereta nasional dan cukai kereta import selain menurunkan harga tol yang sangat membebankan.

No comments: