Tuesday, June 1, 2010

PAS ajak rakyat bangkit 'serang' Israel 4 Jun ini!

WAN NORDIN WAN YAACOB

KUALA LUMPUR : Kebiadapan rejim Zionis melanggar sempadan kemanusiaan dengan menyerang Konvoi Viva Gaza perlu diajar dengan kebangkitan umat 'menyerang' dan
memberi tekanan kepada negara haram Yahudi itu.

Demikian tegas Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar semasa mengadakan sidang medianya di Pejabat Agung PAS baru-baru ini sebaik kejadian serangan berlaku 31 Mei
lalu.

Beliau berkata, Majlis Keselamatan PBB, Persidangan Negara Islam (OIC) dan badan dunia yang lain perlu segera bersidang dan mengambil tindakan tegas termasuk
menyerang Israel jika negara tersebut enggan membebaskan tahanan dan membuka sempadan Gaza.

Mahfuz berkata, hanya dengan 'serangan' ke atas Israel sahaja yang mampu menghalang negara haram itu dari terus menzalimi rakyat Gaza dan konvoi Fortila Gaza.

"Tindakan yang tegas sahaja mampu mengajar negara haram tersebut yang telah melanggar peraturan PBB sendiri.Amerika Syarikat hanya berdiam diri tanpa
mengecam serangan tersebut," katanya lagi.

Sementara itu, PAS mengajak seluruh rakyat tidak mengira kaum dan agama sama-sama turun berhimpun secara aman bagi melaungkan tekanan dan kutukan ke atas perbuatan biadap rejim itu.

Himpunan itu akan diadakan pada 4 Jun ini seusai solat Jumaat.Perarakan akan bermula dari Masjid Kampung Baru menuju ke Kedutaan Amerika Syarikat dekat Jalan Tun
Razak.

Himpunan itu dijangka akan dihadiri Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan kepimpinan utama PAS selain Pakatan Rakyat.

Sementara itu, seorang lagi Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, PAS mendesak Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak segera memanggil sidang khas Parlimen bagi membincangkan serangan Israel ke atas Konvoi Bantuan ke Gaza.

Ujar Salahuddin, pihaknya akan berbincang segera dan mengutuskan surat kepad Perdana Menteri bagi mengadakan sidang tersebut.

"Masih sempat lagi jika surat dihantar esok (Selasa) untuk PM buat persidangan kas ini samada Khamis atau Jumaat," katanya.

"Kita mahu kerajaan bertindak segera, dan paling awal perlu ada sidang khas untuk membincangkan apa tindakan yang perlu dibuat," katanya.

Pada serangan ke atas kapal Mavi Marmara yang turut membawa 12 rakyat Malaysia pagi 31 Mei lalu, sekurang-kurangnya 20 aktivitis pro Palestin dibunuh manakala puluhan lagi cedera.

Kapal itu dan penumpangnya yang ditawan itu kemudiannya dibawa ke Haifa untuk dipenjarakan.

Sementara itu AFP yang memetik laporan radio awam Israel hari ini melaporkan sekurang-kurangnya 480 aktivis pro-palestin ditawan dan dihumban ke penjara Ashdod di selatan Israel.

Konvoi ini diketuai oleh sebuah NGO daripada Turki iaitu Insani Yardim Vakfi (IHH) dan maklumat terkini mendapati kapal induk Mavi Marmara telah diserang oleh angkatan
laut Israel.

Konvoi ini membawa kira-kira 10,000 tan barangan bantuan. Seramai lebih 540 orang menaiki kapal Mavi Marmara, termasuk ahli parlimen, ahli akademik, petugas
media, ulamak, seorang kanak-kanak berumur kurang daripada satu tahun dan juga seorang warga emas berumur lebih daripada 80 tahun.

No comments: