Monday, March 29, 2010

anwar dedah kaitan Malaysia dengan Apco (Israel)

Ucapan pendedahan Anwar Ibrahim di Parlimen isu APCO pada 30 Mac 2010:


 Terima kasih kepada Tan Sri Speaker kerana memberi ruang kepada

saya untuk memberi penjelasan mengenai peranan dan skop penglibatan

firma perhubungan awam bernama APCO. Isu ini wajar diberi perhatian

khusus kerana ianya bukan sekadar isu 1Malaysia atau 1Israel atau

tohmahan yang dilemparkan kepada saya sebagai seorang agen Yahudi. Namun

demikian, isu-isu terbabit ditenggelami jika hendak dibandingkan dengan

skandal dahsyat yang bakal didedahkan hari ini; yang tidak bersangkutan

dengan kedudukan mahupun reputasi saya atau pun reputasi rakan-rakan

saya. Sesungguhnya keselamatan negara kita dalam bahaya. Isu ini

membongkar politik kronisme yang membarah serta rundingan sulit pihak

tertentu sehingga membelakangkan kepentingan rakyat dan negara. Tidak

dapat dinafikan lagi kini wujud ancaman terhadap keselamatan nasional,

maklumat strategik negara terdedah kepada agensi perisikan asing dan

tercalarnya maruah umat.

 Bagi mengelak sebarang keraguan penjelasan saya hari ini bukan

sekadar muslihat politik atau tuduhan tidak berasas, Insya Allah, setiap

kenyataan saya hari ini akan disokong dengan dokumen, rencana malah

salinan perjanjian yang ditandatangani oleh pihak-pihak terbabit.

 Sehingga kini Perdana Menteri belumpun memberi sebarang maklum

balas terhadap gesaan saya agar segera mendedahkan serta memperincikan

bentuk hubungan di antara kerajaan dan APCO, apa skop tugasannya, jumlah

peruntukannya, setiap penasihat yang terbabit; peranan serta pengaruh

mereka dalam kerajaan.

 Selama ini kita hanya dimaklumkan bahawa penglibatan APCO adalah

terhad, tetapi kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan kebelakangan ini

menunjukkan penglibatan yang lebih menyeluruh dan membimbangkan.

 Ini berdasarkan kepada jawapan Menteri di Jabatan Perdana

Menteri sendiri yang menyatakan:

“Kerajaan ada melantik Syarikat APCO Worldwide Sdn Bhd untuk

melaksanakan perkhidmatan berkaitan komunikasi kepada Kerajaan

Persekutuan secara menyeluruh…APCO Worldwide juga disarankan menjayakan

program untuk mempromosi dan meningkatkan imej Malaysia di luar negara ”

 Manakala bagi pihak APCO sendiri, mereka merumuskan penglibatan

mereka seperti berikut:

“APCO's work has included communication support for a broad range of

reform initiatives undertaken by the government of Malaysia, especially

in the areas of creating jobs, promoting education, and strengthening

delivery of services to the people.”

 Kenyataan tersebut sebenarnya membuka pekung serta memunculkan

lebih banyak persoalan. Ini bukan syarikat perhubungan awam biasa yang

sekadar menulis ucapan mahupun kenyataan akhbar ataupun bertindak

melonjakkan imej Perdana Menteri walau itupun amat dikesalkan kerana

ianya dilakukan menggunakan dana rakyat. Dilaporkan usaha ini menelan

belanja sekitar RM 20 juta. Secara sedar atau tidak kenyataan APCO

mengakui bahawa lantikannya adalah untuk membantu strategi komunikasi

yang menyeluruh, bermakna firma tersebut terlibat secara langsung

memberi bantuan komunikasi di dalam pelbagai inisiatif dan dasar

kerajaan. Ini bermakna, APCO terlibat secara langsung dalam mempengaruhi

mesej yang disampaikan kepada rakyat dan saya akan terangkan dengan

mendalam kenapa perkara ini sangat membahayakan kepada rakyat dan

negara.

 Pada 18hb Mac 2010, APCO mengeluarkan kenyataan menafikan

penglibatan mereka dengan gagasan 1Malaysia, kononnya konsep itu wujud

sebelum APCO dilantik sebagai firma perunding.

 Penafian yang dibuat oleh APCO itu merupakan usaha mereka untuk

mengelirukan kita akan tarikh sebenar firma tersebut terbabit dengan

pentadbiran Perdana Menteri sekarang. Penafian tersebut menggambarkan

bahawa ianya tidak mempunyai sebarang hubungan dengan pentadbiran Dato’

Sri Najib Razak, atau Dato’ Sri Najib sendiri, pembantunya atau para

penasihatnya.

 Sebuah portal berita telah melaporkan pada 28 Julai 2009

setakat mana penglibatan APCO dengan pentadbiran Perdana Menteri Dato’

Seri Najib.

 Antara lain, dilaporkan bahawa perkhidmatan APCO ini

diperkenalkan kepada Perdana Menteri oleh Omar Mustapha, penasihat

Perdana Menteri yang juga teman lama YB Rembau dan rakan kongsi dalam

firma perunding Ethos Consultancy. Saya akan buktikan selepas ini

bagaimana perkaitan di antara Omar Mustapha dan APCO sebelum pun APCO

dilantik secara rasmi sebagai perunding kerajaan.

 Walaupun yang diumumkan kepada negara dan rakyat bahawa

1Malaysia dicetuskan sendiri oleh Perdana Menteri peranan Ethos

Consultancy tidak boleh diremehkan. Ternyata kebanyakan dari kita tidak

menyedari hubungan akrab eksekutif Ethos dan APCO yang masih berterusan.

 Sebab itu kita tidak hairan, sebaik sahaja Dato’ Seri Najib

menjadi Perdana Menteri, Omar Mustapha dikhabarkan membawa masuk APCO

menjadi perunding komunikasi kerajaan.

 Malah, laporan berita tersebut dengan jelas menyatakan bahawa

seorang penasihat dari APCO telah pun ditempatkan di pejabat Perdana

Menteri sejak dari awal Perdana Menteri mengambil alih.

 APCO juga dilaporkan terlibat secara langsung dalam menentukan

strategi 100 hari pentadbirannya, termasuklah mesej dan dasar utama

seperti 1Malaysia dan inisiatif yang lain.

 Berdasarkan laporan tersebut juga pegawai-pegawai kanan kerajaan

dikatakan tidak selesa apabila Perdana Menteri ingin menganugerahkan

kontrak bernilai RM20 juta kepada APCO untuk meneruskan kerja-kerja

rundingan kepada kerajaan. Kontrak itu dijangka dianugerahkan antara

bulan Julai dan September 2009; iaitu selepas penglibatan individu dari

APCO yang dibawa masuk pada tempoh awal Perdana Menteri mengambil alih.

 Semua ini bukan saya yang kata, bukan Pakatan Rakyat yang cipta

– semuanya telah pun dilaporkan sejak tahun lalu dan ianya belum pun

dinafikan pihak yang dikatakan terlibat.

 Sebab itu mengambil kira beberapa peristiwa atau contoh yang

berlaku apabila kerajaan ditipu oleh penasihat-penasihat asing sehingga

menyebabkan kerugian berbillion ringgit; atau diaibkan di peringkat

antarabangsa; saya melihat episod perlantikan APCO ini sebagai satu lagi

kelalaian yang boleh merugikan dan membahayakan negara.

 Adalah menjadi tanggungjawab saya untuk mengingatkan Perdana

Menteri dan kerajaan untuk tidak mengulangi kesilapan dan kelalaian

lepas apabila terlalu percayakan penasihat asing sehingga kita tidak

memeriksa dengan tepat reputasi mereka serta penglibatan mereka sebelum

ini. Apatah lagi perlantikan tersebut diselubungi misteri dan tanpa

penelitian.

 Dulu, mantan Perdana Menteri mengizinkan kerajaan melantik David

Zaidner dari firma Marc Rich untuk menasihati agensi kerajaan dan Bank

Bumiputra cuba memanipulasi pasaran timah sedunia sehingga kita kerugian

besar. Tidak sewajarnya kita lupa skandal Maminco itu. Mantan Perdana

Menteri ketika itu seolah-olah tidak meneliti dahulu rekod David

Zaidner, yang diketahui umum tidak suka mengikut peraturan dan undang-

undang di dalam amalannya.

 Kemudian, episod yang membabitkan Jack Abramoff hanya untuk

mendapatkan satu temujanji dengan Presiden Bush dalam tahun 2002 dengan

membayar USD$1.2 juta tanpa memeriksa dahulu latar belakang Jack

Abramoff. Dalam tahun 2006, kerajaan Malaysia dimalukan apabila Jack

Abramoff didapati bersalah menipu dalam satu transaksi kewangan sehingga

dipenjarakan dan pada masa itulah semua penglibatan kerajaan Malaysia

didedahkan. Abramoff juga merupakan seorang pelobi yang terlibat dalam

penipuan tanah kaum peribumi Amerika Syarikat(Red Indian) untuk tujuan

pembinaan kasino. Perlantikan Abramoff juga dibuat dengan penuh

kerahsiaan dan pasti tidak diketahui umum sekiranya Abramoff tidak

diheret ke muka pengadilan di Amerika Syarikat.

 Walaubagaimanapun, mantan Perdana Menteri tersebut hanya

memberikan tugasan yang spesifik kepada firma Marc Rich dan Jack

Abramoff dan tidak melibatkan perjalanan jentera kerajaan yang

menyeluruh.

 Dalam konteks inilah, kita melahirkan kebimbangan kerana

kenyataan keraajaan sendiri menjelaskan bahawa mereka memainkan peranan

penting membentuk strategi komunikasi kerajaan dalam dasar-dasar penting

terutamanya yang melibatkan rakyat. Kenyataan APCO menyatakan:

“will work to assist in strengthening the government’s online and other

strategic communication capabilities to speed the delivery of accurate

information to the media and public.”

 Sekarang, kebimbangan kita bukan sahaja latar belakang APCO,

tetapi bentuk penglibatan APCO dengan kerajaan Malaysia dan apakah

maklumat yang telah dikongsi oleh kerajaan dengan APCO.



APCO DAN MODUS OPERANDI

 Tetapi sebelum kita meneliti dengan lebih dalam kenapa

penglibatan APCO secara rapat dengan kerajaan merupakan satu risiko yang

wajar kita elakkan, kita perlu meneliti dahulu modus operandi firma-

firma seperti APCO.

 Hanya dengan memahami modus operandi yang digunakan oleh APCO,

baru kita boleh memahami kenapa penglibatan APCO dengan kerajaan

Malaysia diselubungi misteri dan rahsia.

 APCO memanglah sebuah firma hubungan awam bertaraf antarabangsa.

Reputasinya digilap kerana penglibatan tokoh-tokoh yang ada kaitan

dengan pentadbiran Amerika Syarikat atau pun ahli-ahli politik di

Capitol Hill.

 Pada masa yang sama, APCO juga menggunakan khidmat mereka yang

mempunyai pengaruh di dalam bidang atau kerajaan masing-masing. Kalau

kita lihat senarai Panel Penasihat Antarabangsanya, ahli penasihat APCO

termasuklah beberapa tokoh diplomatik dan tokoh perisikan Israel.

 Oleh itu, adalah penting untuk Dewan dan rakyat memahami bahawa

reputasi APCO adalah sebagai sebuah firma pelobi. Apa fungsi firma

pelobi di Washington?

 Selalunya mereka akan mengaturkan perjumpaan atau seminar untuk

membaiki imej sesebuah organisasi; terutamanya pemimpin-pemimpin yang

mempunyai rekod hak asasi atau rasuah yang buruk di mata dunia.

 Jadi, fungsi utama mereka adalah untuk membaiki imej pemimpin-

pemimpin (atau badan-badan) yang mempunyai rekod yang tidak baik. Saya

akan senaraikan selepas ini contoh-contoh pemimpin sebegini; yang secara

tidak langsung kini Perdana Menteri Dato’ Seri Najib telah mendapat

penghormatan kerana tergolong dengan pemimpin-pemimpin sebegini.

 Untuk menjalankan tugas ini, mereka juga perlu menjaga nama dan

reputasi mereka sebagai firma perhubungan awam. Sebab itu ada beberapa

perkara penting di dalam modus operandi mereka yang perlu kita fahami.

 Pertama – mana-mana pihak yang mengambil APCO sebagai perunding

akan menandatangani perjanjian. Salah satu bahagian utama di dalam

perjanjian ini adalah mengenai perkara-perkara rahsia; dengan izin

“Confidentiality” atau “non-disclosure”.

 Reputasi APCO sebagai firma pelobi banyak bergantung kepada

kemampuannya menangkis soalan-soalan mengenai peranan dan penglibatannya

dengan badan yang melantiknya, terutamanya pemimpin-pemimpin yang

berimej buruk ini.

 Sebab itu, tidaklah sukar untuk Barisan Nasional ingin mengabui

mata rakyat dengan meminta APCO mengeluarkan kenyataan menafikan

penglibatan dalam 1Malaysia, atau peranan sebenar dengan kerajaan

Malaysia. Biar saya ingatkan rakyat Malaysia tidak mudah untuk

diputarbelitkan.

 Mereka faham bahawa adalah menjadi sebahagian dari tugas APCO,

seperti yang termaktub di dalam perjanjian lantikan bersabit perkara-

perkara sulit dan rahsia; untuk melindungi klien mereka dan secara

langsung menafikan penglibatan.

 Saya ambil contoh dua perjanjian lantikan yang melibatkan APCO.

Satu yang ditandatangani oleh kerajaan Malaysia dengan APCO bertarikh

4hb Ogos 2009 yang secara khusus memberi tugasan kepada APCO untuk

membaikpulih imej kerajaan Malaysia. Ini mempunyai tandatangan

Setiausaha Akhbar Perdana Menteri sendiri, iaitu Datuk Tengku

Sariffuddin Tengku Ahmad yang menunjukkan betapa dekatnya APCO dengan

Perdana Menteri – sedangkan pada kebiasaannya perjanjian kerajaan

hanyalah ditandatangani oleh pegawai-pegawai kerajaan sahaja.

 Satu lagi contoh adalah perjanjian lantikan oleh Kerajaan Israel

yang melantik APCO untuk menjalankan tugasan yang sama, bertarikh 9hb

Januari 1992 . Pada jangka waktu yang sama, Ehud Barak masih berkhidmat

sebagai Ketua Turus Angkatan Tentera Negara Israel.

 Kedua-dua perjanjian ini dengan jelas menghuraikan peranan APCO

sebagai pelobi; yang antara lain perlu menyimpan rahsia-rahsia kerajaan

yang diberikan kepada APCO dalam menjalankan tugasan. APCO juga tidak

boleh mendedahkan maklumat kecuali diberi keizinan oleh kerajaan

Malaysia. APCO malahan terlibat dengan apa yang dipanggil sebagai

komunikasi strategik yang menyeluruh.

 Kita berhak menuntut kerajaan dan Perdana Menteri datang ke

Dewan Rakyat dan berterus terang mengenai perjanjian yang telah

ditandatangani dengan APCO – terutamanya semua soalan-soalan yang telah

saya timbulkan minggu lalu mengenai tugasan, bayaran, penasihat-

penasihat yang terbabit dan pengaruh mereka setakat ini.

 Berbalik kepada modus operandi yang kita tekankan tadi. APCO

dalam operasinya membentuk pertalian dengan kerajaan-kerajaan yang

melantiknya menggunakan firma bersekutu (dengan izin “associates”) di

seluruh dunia. Selain Asero, firma bersekutu lainnya adalah Global

Political Strategies.

 Di Israel, salah satu firma bersekutu adalah Asero Worldwide

yang diketuai oleh Doron Bergerbest-Eilon, bekas Ketua Perlindungan dan

Keselamatan, Agensi Keselamatan Israel dengan berpangkat Mejar Jeneral.

Beliau juga adalah salah seorang penasihat antarabangsa kepada APCO.

 Jadi kontrak-kontrak yang melantik APCO tidak semestinya di

antara APCO dan kerajaan semata-mata. Kerajaan boleh sahaja melantik

firma bersekutu APCO tetapi tenaga pakar dan jaringan penasihatnya serta

jaringan sekutunya adalah dari APCO.

 Kalau di Israel, lantikan dibuat melalui Asero Worldwide.

Contohnya, kontrak lantikan bertarikh 9hb Januari 1992 itu adalah di

antara kerajaan Israel dan sebuah firma bersekutu bernama GCI

International. Tetapi apabila kita meneliti kandungan perjanjian

tersebut termasuk tenaga utama yang akan menjalankan tugas-tugas melobi,

salah seorang pengurus kanannya adalah Margery Kraus yang kini merupakan

CEO APCO.

 Oleh sebab itu, kita perlu berhati-hati dengan penafian oleh

APCO bahawa ianya tidak terlibat. APCO sebagai sebuah firma mungkin

tidak terlibat dengan idea gagasan 1Malaysia – Apa mungkin Perdana

Menteri hadir ke Dewan Rakyat dan menyatakan secara tegas bahawa tidak

ada mana-mana individu yang ada kaitan dengan APCO atau firma bersekutu

dengan APCO atau penasihatnya yang terlibat dengan gagasan 1Malaysia?

Kita pertikai gagasan penting bagi pentadbiran sekarang tidak tergolong

dengan apa yang dikira sebahagian dari komunikasi yang menyeluruh.

 Bolehkah Perdana Menteri menerangkan adakah sebelum Ethos atau

Omar Mustapha; yang dikatakan bertanggungjawab membawa gagasan 1Malaysia

bagi pertimbangan Perdana Menteri; Omar Mustapha atau mana-mana

eksekutif Ethos tidak mempunyai apa-apa hubungan langsung dengan mana-

mana individu yang ada kaitan dengan APCO? Perdana Menteri perlu

menerangkan adakah kerajaan atau Ethos atau mana-mana firma yang

dilantik kerajaan; pernah melantik Mind Teams Sdn Bhd iaitu nama

syarikat sebelum APCO secara rasmi bertapak di Kuala Lumpur. Paul

Stadlen yang kini mengetuai APCO di Kuala Lumpur merupakan individu sama

yang menandatangani perjanjian bagi pihak Mind Teams Sdn Bhd dengan

Kerajaan Malaysia. Antara pengarahnya juga adalah Margery Kraus; CEO

APCO dan invidu penting yang terlibat dengan akaun di Israel.

 Perdana Menteri juga perlu menerangkan kepada Dewan; kenapa Omar

Mustapha penasihat yang dipercayai Perdana Menteri dilaporkan membawa

APCO untuk menasihati kerajaan dalam dasar-dasar penting terutamanya

1Malaysia? Tidakkah ini menimbulkan persoalan mengenai perkaitan di

antara Ethos, APCO dan 1Malaysia? Manakala itu Perdana Menteri beria-ia

menonjolkan Omar Musthapa sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah

Petronas walaupun ditolak pada mulanya oleh Lembaga Pengarah atas alasan

gagal membayar biasiswanya.

 Soalan-soalan ini perlu dijawab oleh Perdana Menteri, kerana

kita tahu modus operandi APCO yang diselubungi degan rahsia dan

melibatkan banyak individu yang bernaung dengannya tetapi menggunakan

firma-firma yang berlainan.


REKOD APCO

 Kebimbangan kita mengenai penglibatan APCO dengan kerajaan

Malaysia banyak bersabit dengan rekod APCO dengan pemimpin-pemimpin yang

mempunyai rekod hak asasi manusia atau penyelewengan harta rakyat di

seluruh dunia.

 Ada dua aspek yang membimbangkan kita – pertama; APCO banyak

memberi khidmat untuk memulihkan imej pemimpin-pemimpin sebegini yang

menindas rakyat di negara masing-masing. Sehinggakan akhbar The Times of

India menulis bagaimana APCO mempunyai diktator-diktator di dalam

senarai pelanggannya . Rencana tersebut menyenaraikan antaranya:

“Adolf Hitler was a brilliant propagandist. Narendra Modi too believes

in the power of image.

Which is probably why the chief minister hired a US lobbying firm which

has serviced clients like former Nigerian dictator Sani Abacha and

President-for-life of Kazakhstan Nursultan Abishuly Nazarbayev.

This Washington-based firm, Apco Worldwide, was hired by Modi sometime

in August this year, in the run-up to an important Assembly election, to

improve his image before the world community. Among its recent clients

are Mikhail Khodorkovsky, a former Communist youth leader-turned-Russian

billionaire with mafia links.”

 Keduanya; mereka yang terlibat dengan APCO mempunyai kaitan yang

sangat rapat dengan Israel serta ahli politik Amerika Syarikat yang

mempunyai pandangan yang serong terhadap umat Islam.

 Soalan saya kepada Perdana Menteri – jika ini reputasi dan rekod

APCO yang diketahui umum; apakah mesej yang ingin disampaikan kepada

rakyat melalui perlantikan APCO sebagai perunding kerajaan?

 Apakah pentadbiran Perdana Menteri mengakui bahawa Perdana

Menteri dan partinya Umno adalah setaraf dengan rejim-rejim diktator di

dunia; sehinggakan khidmat APCO yang selama ini membaiki imej diktator

perlu digunapakai?

 Saya ingin kupas kedua-dua aspek dan memberikan bukti bahawa

berdasarkan rekod APCO selama ini, sewajarnya kerajaan tidak melantik

mereka kecualilah kepakaran yang diperlukan kerajaan adalah kepakaran

menggunakan wang untuk membeli pengaruh di Washington.

 Dalam tahun 2007, seorang wartawan penyiasat yang terkenal di

Amerika Syarikat bernama Ken Silverstein telah menyamar untuk melantik

APCO mewakili kerajaan Turkmenistan. Beliau telah melaporkan hasil

siasatannya mengenai peranan dan pendekatan APCO membantu membersihkan

imej diktator-diktator dunia di dalam sebuah rencana yang disiarkan di

dalam Majalah Harper’s. Berikut antara pendedahan majalah tersebut:

Apco was the first firm i contacted, because it was a natural candidate

to represent Turkmenistan: it has experience working not just on behalf

of authoritharian regimes in general-the dictatorship of General Sani

Abacha in Nigeria, for example, which employed the firm in 1995, the

same year it hanged 9 democracy activists.”

 Pendedahan Ken Silverstein itu jelas menunjukkan peranan yang

dimainkan oleh APCO dalam membantu pemimpin-pemimpin yang begitu buruk

rekodnya. Nama-nama yang disebut di dalam pendedahan tersebut

termasuklah Barry Schumacher yang juga pernah terlibat di dalam tugasan

lantikan kerajaan Israel pada tahun 1992 dan Jennifer Millerwise Dyck,

bekas jurucakap CIA dan jurucakap Naib Presiden Dick Cheney; yang

rekodnya di dalam perang di Afghanistan dan Iraq kita semua sedia

maklum.

 Sekiranya YB meneliti laporan tersebut, lebih membimbangkan

adalah pendekatan yang diambil oleh APCO dalam menjalankan assignment

itu.

 Kepada kerajaan yang melantiknya, mereka dijanjikan pertemuan-

pertemuan dengan pemimpin Kongres, dialog atau seminar dengan pelbagai

institusi untuk memberi imej yang amat berlainan dengan apa yang

berlaku.

 Kepada pemimpin Kongres dan kerajaan Amerika Syarikat, mereka

akan menjaja pertemuan-pertemuan ini sebagai peluang untuk mempengaruhi

kepimpinan kerajaan yang melantik mereka sebagai perunding. Tidakkan ini

satu amalan yang kurang beretika kerana ia seolah-olah mengambil untung

di kedua-dua belah pihak? Bukankah ini satu isu yang besar apabila ada

risiko campur tangan semata-mata untuk mendapatkan pertemuan-pertemuan

di Washington?

 Sebab itu saya akan terangkan selepas ini risiko-risiko yang

telah ditanggung oleh negara apabila Perdana Menteri dicucuk hidung oleh

Omar Mustapha dan juak-juak dari Ethos untuk melantik APCO.

 Senarai pemimpin-pemimpin yang menggunakan khidmat APCO untuk

membaikpulih imej diktator adalah panjang dan mengejutkan.

 Selain Turkmenistan, Kazakhstan dan Azerbaijan; salah seorang

klien APCO yang paling terkenal adalah bekas diktator Nigeria iaitu

General Sani Abacha. Mengikut laporan-laporan BBC General Sani Abacha

merupakan pemimpin berkedudukan No. 4 yang paling korup di dunia.

Semasa pemerintahannya, berbillion-billion dollar dilesapkan. Wang yang

dilesapkan oleh orang kanannya sahaja berjumlah USD$2.5 billion.

 APCO sebagai firma perhubungan awam yang terlibat dengan

komunikasi strategi mempunyai misi untuk melunakkan imej Sani Abacha

yang melesapkan wang negara.

 Aspek kedua yang membimbangkan kita adalah kehadiran ramainya

tokoh-tokoh yang berkait rapat dengan kerajaan Israel dan organisasi

pertahanan negara itu termasuklah agensi perisikan sebagai perunding

atau penasihat APCO.

 Tidakkah tindakan Perdana Menteri melantik APCO, yang umum

diketahui rapat dengan tokoh-tokoh kanan rejim Zionis, merupakan sikap

kepura-puraan? Di depan rakyat, kerajaan Barisan Nasional bercakap

mengenai perjuangan Palestin, mengutuk rejim Zionist malah merotan

pesalah-pesalah rakyat marhaen yang lemah untuk membuktikan ia sebuah

kerajaan yang menegakkan Islam – adil atau tidak itu belakang kira.

 Tetapi secara senyap di belakang, tanpa pengetahuan rakyat;

Perdana Menteri dinasihati secara terus dan dekat oleh sebuah firma yang

ditunjangi oleh tokoh-tokoh kanan rejim Zionis? Regim yang memenjarakan

Gaza dan menindas baik umat Islam dan mereka yang beragama Kristian di

Palestin.

 Secara khususnya, saya ingin membawa perhatian Dewan kepada tiga

tokoh utama Israel di dalam APCO iaitu Doron Bergerbest-Eilon, Ittamar

Rabinovich dan Shimon Stein . Ketiga-tiga tokoh ini adalah tokoh kanan

rejim Zionis.

 Doron Bergerbest-Eilon adalah Ketua Bahagian Keselamatan dan

Perlindungan, Agensi Keselamatan Israel. Apa itu Agensi Keselamatan

Israel?( Israel Security Agency)

 ISA adalah nama rasmi kepada satu organisasi yang cukup busuk

namanya di kalangan umat Islam; iaitu Shin Bet. Apa ini Shin Bet? Shin

Bet adalah adik kembar kepada Mossad; iaitu agensi perisikan Israel.

Bezanya – Shin Bet adalah agensi perisikan dalam negara dan Mossad

adalah agensi perisikan luar negara.

 Siapa lagi tokoh-tokoh kanan rejim Zionis di dalam APCO?

Antaranya Itamar Rabinovich; Duta Israel ke Amerika Syarikat, salah satu

jawatan terpenting dalam rejim Zionis. Ini adalah jawatan diplomatik

paling kanan dan hanya tokoh paling kanannya sahaja yang menjawat

jawatan ini. Begitu juga dengan Shimon Stein iaitu mantan duta Israel ke

Jerman. Kedua-dua ini merupakan jawatan diplomatik kanan buat Negara

Israel. Kedudukan mereka yang kanan dalam lingkaran diplomatik

memperlihatkan keupayaan mereka untuk mempengaruhi serta melobi bagi

pihak APCO sekarang.


RISIKO KEPADA NEGARA


 Sebab itu kita menimbulkan isu ini kerana ia melibatkan

keselamatan dan reputasi negara serta maruah umat.

 Kita jelas mengapa kita bangkitkan isu ini. Ianya kerana kita

mempertikaikan tindakan kerajaan menganugerahkan kontrak perkhidmatan

puluhan juta ringgit kepada sebuah syarikat yang mana ada dari kalangan

eksekutif kanannya pernah memegang jawatan tinggi dalam organisasi

seperti Shin Bet dan Kerajaan Israel. Kita khuatir kerana pentadbiran

Dato’ Sri Najib seperti tidak runsing dan gundah mengambil sebuah firma

yang tercemar dengan rekod berkhidmat untuk para diktator dan petindas.

Sikap membisu Perdana Menteri pastinya mengundang pelbagai kemusykilan

serta persoalan.

 Membicarakan persoalan seperti komunikasi menyeluruh, pastinya

ia berkait rapat dengan Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Dalam

Negeri, Kementerian Penerangan dan banyak kementerian lainnya. Maknanya

APCO mempunyai akses/terdedah kepada jaringan strategik serta penting

dan pastinya memberi kesan kepada keselamatan negara. Melantik

organisasi asing yang mempunyai rekod seperti APCO, lalu

mengamanahkannya dengan tanggungjawab besar serta kemudahan sedemikan

rupa pastinya menggadai kepentingan negara. Oleh kerana itu saya

menggesa kerajaan agar segara membatalkan kontrak perkhidmatan dengan

APCO dan menubuhkan sebuah Suruhanjaya DiRaja untuk menyiasat skandal

yang memalukan ini.

No comments: