Sunday, February 21, 2010

Tegakkan ketaqwaan kepada Allah, laksanakan hak-hak yang dijamin dalam ‘Perlembagaan Pas’!

with 6 comments

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi yang adil. Dan jangan sesekali kebencianmu terhadap sesuatu kaum (pihak), mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat dengan taqwa. Bertaqwalah kepada Allah (yang) Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. [5:8]

MASUK hari yang kesembilan blogger Tulang Besi membuat aduan salah laku yang membabitkan beberapa pemimpin Pas di ibu negara, Setiausaha Agong Pas Datuk Mustafa Ali dilaporkan turut menyuarakan hasrat meminda Perlembagaan Pas supaya membolehkan jawatankuasa disiplinnya dipengerusikan oleh seseorang seseorang yang bebas dari memegang sebarang jawatan penting dalam parti itu.

Saya tidak berfikir bahawa tindak-tanduk Mustafa itu ekoran kritikan terbuka oleh Pesuruhjaya Pas Pahang Dr. Hamzah Jaafar, seperti yang terlapor oleh oleh akhbar Malaysiakini. Sekiranya Mustafa berniat jujur, sudah tentu beliau akan menyuarakan hasrat tersebut lebih awal lagi – iaitu sewaktu banyak pihak mula mempertikai ketetapan Jawatankuasa Tatatertib Pas ke atas Pesuruhjaya Pas Selangor Datuk Dr. Mohd Hassan Ali dan Yang DiPertua Pas Kawasan Shah Alam Khalid Samad.

Jika dicermati, Mustafa dilihat seolah-olah seperti tidak percaya yang blogger Tulang Besi atau nama sebenanya Abdul Rahman Abdul Talib akan membuat aduan secara konvensional di Pejabat Agong Pas.

Mustafa dilihat seolah-olah seperti tidak percaya bahawa pemilik blog Malaysia Wave telah pun melancarkan dana guaman serta membuat persiapan awal untuk membawa kes tersebut ke Mahkamah sekiranya aduan yang dibuat oleh Tulang Besi itu turut diketepikan.

Selepas membaca entri aduan Abdullah ditolak, Dr. Haron Din dimaafkan, saya nampak seperti Mustafa mahu memainkan peranan penting seperti Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail, iaitu sewenang-wenangnya berkuasa sama ada untuk mengetepikan satu-satu kertas pendakwaan atau sebaliknya.

Sekiranya anggapan ini tidak keterlaluan, elok Pas berpeluk tubuh dan tidak menentang konspirasi membongsaikan Mahkamah seperti yang sama-sama kita sedari berlaku di Malaysia kerana angkara Abdul Ghani seperti sedang berputik di dalam Jawatankuasa Disiplin Pas.

Saya tidak tahu, mengapa Mustafa Ali boleh menolak aduan Abdullah sewenang-wenangnya kerana Fasal 75 (khususnya merujuk pada Ceraian 2) dari Perlembagaan Pas hanya memberi hak kepada Mustafa selaku Setiausaha Agong yang dilantik untuk menerima mana-mana aduan tatatertib.

Perlembagaan tidak memberikan hak kepada beliau untuk sewenang-wenangnya untuk menilai satu-satu aduan yang diterima. Kalau menilai aduan pun Mustafa tidak diberikan hak menurut Perlembagaan Pas, bermakna mengetepikan sesuatu aduan begitu sahaja sesuatu yang lebih-lebih lagi lah tidak dibenarkan. Sekiranya ada pihak mengaggap Mustafa melakukan perlanggaran Perlembagaan pun pada tahapan ini, anggapan tersebut tidak salah dianggap munasabah.

Tidak cukup dengan itu, Fasal 75(7) menjelaskan hak yang lebih jelas – iaitu Majlis Syura Ulama’ berhak tidak menghiraukan ketetapan Jawatankuasa Tatatertib yang ditubuhkan, mengikut Fasal 75(2) dan ketetapan Majlis Syura Ulama adalah muktamad.

” ‘MAJLIS SYURA ‘ULAMAK’ dalam keadaan tertentu adalah berhak mengambil apa-apa tindakan tatatertib dengan sendirinya tanpa menghiraukan Jawatankuasa Tatatertib ke atas mana-mana pihak yang tersebut dalam ceraian (2) Fasal ini. Keputusan dan tindakan ‘MAJLIS SYURA ‘ULAMAK’ itu adalah muktamad.” [dipetik dari Fasal 75(7) Perlembagaan Pas (PIndaan 2001)]

Berasaskan pada Fasal 75(7), sekali lagi perlu dipersoal tentang locus standi Mustafa yang hakiki dalam mengetepikan aduan Abdullah kerana beliau bukanlah Ahli Majlis Syura Ulama’. Apabila Perlembagaan PAS tidak memberikan tafsiran yang lain selain Fasal yang ada, memberi isyarat bahawa Mustafa melakukan sesuatu yang tidak mengikut lunas-lunas yang ada.

“Saya tidak serahlah (kes itu) pada jawatankuasa disiplin. Tidak perlu (berbuat demikian). Tidak kisahlah beliau (Abdullah) hendak kata apa pun. Kalau beliau hendak datang jumpa pun saya boleh terangkan perkara ini,” kata Mustafa seperti dipetik dari Malaysiakini.

Seperti pada sikap Mustafa Ali yang dianggap tidak layak untuk mengetepikan aduan Abdullah, Mustafa juga sebenarnya tidak layak untuk mengeluarkan ketetapan ‘maaf’ ke atas Mursyidul Am Pas Datuk Dr. Haron Din begitu sahaja kerana cukup dengan bertemu dengan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana parti Pas ada Perlembagaan dan bukannya milik mutlak seorang Presiden.

Pada tahapan ini, ada pihak boleh mendakwa bertemu Presiden atau persetujuan melalui Jawatankuasa sudah memadai untuk mengetepikan satu-satu dakwaan. Suka saya katakan bahawa apabila Perlembagaan tidak menafsirkan sedemikian, maka sekurang-kurangnya ia perlu dirujuk pada ROS dan tidak boleh sewenang-wenangnya dikuasamutlakkan oleh sesiapa sahaja.

Dari perspeksi bukan perlembagaan, apabila Harun dimaafkan tentu memberi isyarat bahawa Harun telah pun dianggap bersalah atau dibuktikan bersalah kerana seseorang itu tidak sewenang-wenangnya dianggap bersalah atau didapati bersalah.

Pada tahapan ini, sekali lagi menimbulkan tanda tanya tentang motif di sebalik tindak-tanduk Mustafa dan kedudukan sebenar Haron; sebagaimana dilaporkan oleh Malaysiakini (18/9) seperti di bawah.

Mustafa menjelaskan, aduan terhadap Dr Hasan dan Nasharuddin tidak perlu lagi dipanjangkan kepada penelitian jawatankuasa disiplin kerana telah diselesaikan di peringkat jawankuasa pusat.

“Pas pusat sudah bincangkan perkara itu dan kita sudah beri peringatan supaya pimpinan tidak mengadakan pertemuan dengan penulis blog yang boleh menjejaskan, memberikan kesan negatif kepada parti,” katanya.

Sementara tindakan Dr Haron pula ‘dimaafkan’ kerana telah menyelaraskan pandangan selari dengan parti ekoran pertemuannya dengan presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam sebuah program penerangan parti.

Begitu juga dengan kedudukan Timbalan Presiden Pas Nasharuddin Mat Isa dan Hassan – yang turut didakwa oleh Abdullah. Dakwaan Abdullah ke atas Nasharuddin dan Hassan bukan suatu dakwaan yang baru.

Dakwaan Abdullah itu adalah tindak balas pada ketetapan Jawatankuasa Tatatertib yang dianggap tidak adil dan saksama sebelum ini. Tindakan Abdullah tidak salah kalau dianggap seperti suatu semakan kehakiman (judicial review) seperti amalan biasa di mahkamah.

Dengan erti kata yang lain, adalah elok sesuatu kesulitan seperti pertikaian ke atas ketetapan Jawatankuasa Tatatertib mesti diselesaikan melalui Jawatankuasa Tatatertib juga; bukan sewenang-wenangnya diselesaikan di luar Jawatankuasa Tatatertib tersebut (maksud: lampu hijau daripada Hadi atau Mustafa atau Ajk Pas Pusat).

Dari segi yang lain juga, saya melihat inisiatif Haron menyertai beberapa pihak melarang kalimah ‘Allah’ dari digunakan oleh masyarakat bukan Islam pada 12 Januari lalu sebagai sesuatu yang membelakangkan ajaran Islam sendiri [rujuk Fasal 75(1)(a)] dan merugikan Pas [rujuk Fasal 75(c), (d) dan (g)].

Sedangkan, Lajnah Politik Pas sebelum itu telah pun membuat ketetapan – iaitu membenarkan masyarakat bukan Islam menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam suatu mesyuarat pada 5 Januari lagi.

Bertitik tolak pada anggapan bahawa Haron bersalah menurut Fasal 75(1) Perlembagaan Pas, saya sekali lagi mempersoal sumber ketetapan ‘memaafkan’ yang digunakan Mustafa ke atas Haron kerana Fasal 75(5) Perlembagaan Pas memberikan kuasa (hanya kepada Jawatankuasa Tatatertib) untuk memilih salah satu atau lebih (a)memberi amaran; (b)melucutkan hak-hak dalam parti; (c)menggantungkan keahlian; dan (d)memecat dari menjadi ahli.

Dalam Islam, seseorang yang dituduh bersalah mesti dibebaskan dari pertuduhan tersebut secara adil, bebas dan saksama – al-Aslu bara’atu az-zimmah.

Manakala maqosid diadakan satu-satu hukum tidak kira ditetapkan menurut ajaran Islam hatta perlembagaan Pas sendiri adalah untuk (1)al-zaajiroh, iaitu memelihara masyarakat yang sejahtera/solih terus dengan aktiviti kebaikan/maslahah; dan (2)al-Rodhi’ah (iaitu menyekat orang-orang yang tidak baik/fasad dari terus melakukan aktiviti yang mengakibatkan mafsadah)

Sekiranya Haron dimaafkan begitu sahaja tanpa dibicarakan menurut Perlembagaan dan keadilan hak menurut Islam, ketetapan yang dikenakan ke atas Haron tidak boleh memberi pengajaran kepadanya dan ahli-ahli Pas yang lain.

Sekiranya seseorang melakukan perbuatan yang sama seperti Haron, mereka boleh menggunakan alasan, “kalau Dr. Haron pun boleh membelakangkan Pas, takkan kita tak boleh buat benda yang sama?”

Begitu juga dengan aduan ke atas Nasharuddin dan Hassan – iaitu didakwa mendedahkan Bai’ah Ta’lik dalam satu pertemuan bersama-sama blogger Umno.

Mereka juga didakwa mengkhianati tahalluf siasi bersama-sama DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat dengan pergi mengadakan ‘rundingan dalam gelap’ bersama-sama Umno.

Disebabkan maqosid al-zaajiroh dan al-rodhi’ah tidak ditegakkan secara adil dan saksama menurut Islam dan Perlembagaan Pas, esok lusa sesiapa pun bebas mengkhianati Pas dan ajaran Islam dengan pergi berpeluk bersama-sama Umno kerana inisiatif tersebut tidak mustahil akan dilindungi oleh seseorang yang dianggap zalim di kalangan kepemimpinan dalam Pas.

Sesungguhnya saya benci dengan Sang Penzalim dan Sang Pengkhianat jika mereka yang terbabit ternyata ada di dalam Pas.

Bertitik-tolak atas nas – ayat 8 dari Surah al-Maidah, saya menyeru semua ahli Pas dan kepemimpinan Pas yang masih bermaruah supaya bertadabbur ayat tersebut, menilai entri ini; lalu bersama-sama memperbaiki jamaah Islam Pas.

Demi menegakkan keadilan hak (4:58) sebagaimana yang dituntut dalam Islam, sekiranya aduan Tulang Besi diketepikan mentah-mentah dalam masa terdekat, saya mengumumkan untuk membantu blogger Tulang Besi untuk mendapatkan khidmat guaman secara profesional supaya kes ini boleh dibawa ke Mahkamah kelak. Lawan!

KEFAHAMAN ASAS PERUBAHAN | SEMARAKKAN DEMOKRASI BERPOLITIK DALAM PAS!

Zainulfaqar Yaacob

Bukit Mertajam | 2.35 petang