Sunday, February 28, 2010

Su Akhbar MB Kedah jawab isu dakwaan rombakan exco Kedah

Oleh Mohd Helmi Khalid (Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kedah)

Sejak awal pagi Jumaat lalu (26 Februari) saya menerima panggilan dari sms yang bertalu-talu yang mahukan saya menjawab kembali kenyataan Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Dato' Ahmad Bashah Md. Haniffa berkenaan rombakan exco yang mungkin berlaku dalam Kerajaan Kedah pada 10 Mac nanti.

Antara kata Dato' Bashah, bila ada rombakan, ia menunjukkan ada kelemahan dalam senarai Exco Kedah yang telah melalui dua tahun pentadbiran baru negeri ini.

Pemuda Umno Kedah pula kata inilah masanya yang paling sesuai untuk menyerang pentadbiran Kerajaan kerana berlaku rombakan Exco.

Pada awalnya, saya hanya memilih untuk berdiam diri sahaja mengenai dua kenyataan tersebut.

Ketika Menteri Besar, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak memberi bayangan kepada wartawan selepas mempengerusikan mesyuarat Exco pada Rabu lalu lagi saya sudah jangka, Dato' Bashah akan terjerat dengan 'lontaran' Ustaz Azizan.

Jangkaan saya tepat, Dato' Bashah bukan sahaja melompat, tetapi 'terlipat' dalam jebak yang dipasang oleh Ustaz Azizan, sekalipun jebak tidak dilindungi daun-daun atau apa-apa objek bagi mengelirukan pandangan Dato' Bashah.

Mungkin Dato' Bashah lupa atau tidak tahu atau tidak sedar bahawa dirinya sendiri telah dirombak dan Umno Kedah dirobek-robek sejak 24 April 2009 lalu.

Sebelum tarikh itu, Dato' Seri Mahzir Khalid adalah Pengerusi Perhubungan Umno Kedah, diganti dengan Dato' Seri Shafie Apdal, Naib Presiden Umno.

Mungkin bagi Bashah itu bukan rombakan tetapi pertukaran. Mungkin juga lah.

Berkenaan kenyataan Pemuda Umno Kedah yang katakan bila berlaku rombakan Exco adalah waktu sesuai mereka menyerang Kerajaan Kedah, saya sikit pun tidak berminat untuk memberi respon, kerana saya risau komen saya nanti disama tarafkan dengan komen mereka.

Dan untuk memberi sedikit tips kepada Bashah dan Pemuda Umno Kedah, saya sempat mencari beberapa arkib berita berkenaan rombakan kabinet oleh mantan-mantan Perdana Menteri Malaysia seperti oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Dengan kata lain, Bashah dan Pemuda Umno Kedah turut melontarkan pandangan yang sama kepada dua tokoh yang pernah dijulang oleh Umno iaitu Dr. Mahathir dan Pak Lah.

Sayangnya, Bashah hanya berdiam diri ketika Dr. Mahathir dan Pak Lah umumkan rombakan menteri kabinet walaupun pada waktu itu beliau berjawatan besar dalam Umno Kedah dan berstatus Exco Kerajaan Kedah.

Pemuda Umno pula mungkin kali pertama tahu atau terdengar berlakunya hal-hal rombakan ini memandangkan usia mereka sekarang ini.


Oleh Manja Ismail dan Kadir Dikoh
Berita Harian, 8 Jan 2004


Penasihat khas kewangan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, 56, dilantik sebagai Menteri Kewangan Kedua menggantikan Datuk Dr Jamaludin Jarjis yang ditukar ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Dr Jamaludin mengambil alih tempat Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini menjadi Menteri Pertanian, menggantikan Datuk Seri Effendi Norwawi. Effendi pula dilantik sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri, iaitu portfolio yang diwujudkan semula.

Pengumuman pelantikan itu dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, pada sidang akhbar khas selepas mesyuarat Kabinet di sini pada jam 2.05 petang semalam.

Semua pelantikan itu berkuat kuasa serta-merta, kecuali jawatan Menteri Kewangan Kedua yang berkuat kuasa Jumaat ini apabila Nor Mohamed mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Dewan Negara.

Dalam dewan sidang media yang penuh sesak dengan wartawan tempatan dan asing itu, Abdullah terus mengumumkan nama Najib sebagai timbalannya.

Utusan Online:

ARKIB : 20/05/1999
PM rombak kabinet hari ini:
Sabbaruddin, Mohamed Rahmat dijangka digugurkan

KUALA LUMPUR 19 Mei (1999) - Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Seri Sabbaruddin Chik dan Menteri Penerangan, Datuk Seri Mohamed Rahmat akan digugurkan dalam rombakan kecil kabinet, esok.

Sabbaruddin, 58, juga akan digugurkan dari jawatannya sebagai Setiausaha Agung UMNO manakala Mohamed, 61, dikekalkan menyandang jawatan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN).

Menurut sumber, Menteri Besar Pahang, Tan Sri Mohd. Khalil Yaakob, 61, dijangka mengambil alih tempat Mohamed. Menteri Besar itu juga akan dilantik sebagai Setiausaha Agung UMNO yang baru, menggantikan Sabbaruddin.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir, 60, pula akan dinaikkan pangkat mengisi tempat Sabbaruddin.

Jawatan Menteri Besar Pahang akan disandang oleh Datuk Adnan Yaakob, 49, yang merupakan Exco kanan kerajaan negeri.

Turut dinaikkan pangkat ialah Senator Datuk Pandikar Amin Mulia yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Beliau akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Datuk Chong Kah Kiat yang kini merupakan wakil rakyat negeri Sabah.

Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan, Datuk Mohd. Shafie Apdal, 42, pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Rombakan kecil kabinet itu telah dimaklumkan oleh Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad kepada semua menteri dalam mesyuarat jemaah menteri di sini, tengah hari ini.

Ini merupakan rombakan kabinet yang kedua sejak Januari apabila Menteri Luar, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dilantik Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri yang turut melibatkan beberapa pertukaran.

Dr. Mahathir yang ditemui pemberita semasa melawat kawasan tanah runtuh di Bukit Antarabangsa petang ini, mengesahkan bahawa beliau akan membuat pengumuman mengenai rombakan itu esok.

''Esok pagi dengarlah saya akan mengadakan sidang akhbar, saya akan membuat satu pengumuman. Semua dialu-alukan untuk datang, esok tanyalah semua,'' katanya.


Mohd. Helmi Mohd. Khalid
Setiausaha Akhbar
Menteri Besar Negeri Kedah
Darul Aman.

No comments: