Monday, March 1, 2010

Komen Dr Zulkefly Ahmad tentang isu sebatan...menarik!!

WAN NORDIN WAN YAACOB

KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr. Dzulkifli Ahmad berpendirian, isu sebatan ke atas tiga wanita yang terbabit khalwat di Pahang baru-baru ini perlu dilihat dengan persoalan asas mengapa isu itu diketengahkan Umno/BN.

Ujar AJK PAS Pusat itu, apa yang perlu difikirkan adalah soal keadilan yang menyeluruh, samada di negara ini telah terlunasnya keadilan yang menyeluruh dalam sistem kehakiman, sosial dan kebajikan kepada rakyat itu.

Bercakap kepada Harakah 19 Februari lalu, Dr Dzulkifly melihat Umno menggunakan isu ini untuk menunjukan kononnya mereka amat Islamik, walhal ujar beliau banyak lagi konteks yang boleh dibincangkan dalam persoalan keadilan dalam sistem kehakiman.

"Negara ini ada undang-undang, mengamalkan apa yang dikatakan pelaksanaan undang-undang yang selari iaitu mahkamah sivil dan mahkamah syariah.Yang dikatakan sebagai kedaulatan undang-undang ialah apabila kedua-dua mahkamah sivil dan mahkamah syariah yang dibina melalui proses legislatif iaitu penggubalan undang-undang yang tertakluk kepada perbahasan di Dewan Rakyat dan dewan Negara.ketika semua ini sudah termaktub, maka inilah undang-undang yang menjadi undang-undang dalam perlembagaan persekutuan," katanya.

Pelaksanaan selari Mahkamah Sivil dan Syariah yang mana adalah hasil dari evolusi sistem perundangan negara yang telah berjalan lima dekat, katanya.

Justeru, persoalan kedaulatan undang-undang yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan itu perlu dibincangkan dan dimana di dalamnya walaupun ada sedikit peruntukan mengenai perundangan Syariah.

Namun apa yang penting pelaksanaannya mengikut semangat perundangan yang adil, telus tanpa memilih bulu atau suku, katanya.

Adapun yang telah diperuntukan undang-undang Islam dalam mahkamah syariah, seperti yang termaktub dalam perlembagaan, dari sudut itu telah diinstitusikan harus dilaksanakan.

"Namun ia perlu mengikut lunas yang telah ditetapkan dalam perundangan ini termasuk soalan bukti, proses penghakiman yang telus dan hinggalah proses rayuan," katanya.

Persoalan sebatan seperti yang dilaporkan bagaimanapun katanya hanya ditonjolkan tiga wanita yang disebat, walhal sebenarnya ada lelaki juga yang disebat dalam pelaksanaan ini, kata Dr Dzulkifly lagi.

Hukuman sebat yang dikenakan terhadap tiga wanita dan empat lelaki yang melakukan kesalahan jenayah syariah pada 9 Februari lepas berkata, Umno ketika ini sangat tertekan untuk meraih sokongan rakyat menggunakan isu ini untuk menunjukkan bahawa Malaysia sedang mengalami proses Islaminisasi yang serius.

"PAS tetap mengatakan bahawa apa jua undang-undang syariah walaupun sedikit dalam sistem perundangan yang ada di Malaysia ini hendaklah dilaksanakan.Sia-sialah kalau ada undang-undang tapi tidak dilaksanakan atau dikesampingkan.Ini menjadikan ia satu bahan lawak.

Sehubungan itu, dalam melaksanakan undang-undang jenayah Islam ini persoalan yang penting ialah perlu didahului oleh suasana sosio politik yang baik dan adil,di mana keadilan, kemakmuran, dan kesejahteraan dikecapi oleh rakyat seluruhnya.

Kerajaan haruslah memastikan kebajikan dari segi kos sara hidup, pekerjaan, taraf pendidikan rakyat terpelihara, katanya.

"Sebelum datangnya sesuatu hukuman itu, Kerajaan harus menitik beratkan semua aspek dalam kehidupan rakyat, dan yang penting persoalan ketelusan sisitem kehakiman itu yang mana rakyat boleh diyakinkan bahawa mahkamah boleh menjadi pembela," katanya.

Menurutnya juga, sebelum seorang pesalah itu dijatuhi hukuman menurut undang-undang Islam, ianya harus melalui proses pengadilan yang benar-benar adil dan telus bagi mengelakkan kesilapan dalam menjatuhkan hukuman.

Dalam hal ini, PAS melihat bukan sahaja serius dalam isu hukuman sebat terhadap wanita seperti yang cuba dimainkan Umno BN, tetapi PAS bersama Pakatan Rakyat menuntut agar kerajaan tegas dalam membasmi segala perbuatan jenayah yang melanggar prinsip Islam.

Paling besar persoalan yang perlu dihadapkan kepada kerajaan hari ini ialah rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang semakin berleluasa, katanya.

Perjuangan PAS bersama Pakatan Rakyat, khususnya PAS yang memperjuangkan Islam adalah menuntut supaya negara negara ini bebas dan serentak membanteras segala perbuatan jenayah yang melanggar perinsip Islam, katanya.

Antaranya rasuah, kezaliman, penyalahgunaan kuasa dan membolot kekayaan negara dengan mengagihkan kekayaan kepada suku sakat dalam amalan kronisme dan pelbagai keruntuhan akhlak, katanya.

Sehubungan itu ujarnya, PAS tetap dengan pendiriannya untuk membersihkan negara dan menentang segala amalan kerajaan yang melanggar syariah dan menentang kehendak rakyat yang mahukan kerajaan yang bersih dan adil.

No comments: