WAN NORDIN WAN YAACOB
Tahun 2009 telahpun melabuhkan tirainya, pelbagai kisah suka duka mewarnai
gelanggang politik dan pentadbiran negara.Bermula dengan Januari yang penuh
teka-teka samada Tun Abdullah Ahmad Badawi akan melepaskan jawatan Perdana
Menteri kepada Dato' Seri Najib Tun Razak.
Umno/BN memulakan tahun 2009 dengan skandal rasuah besar-besaran dalam
pemilihan di peringkat cawangan dan bahagian-bahagiannya.Nama Dato' Norza
Zakaria dan Tan Sri Muhammad Ali Rustam amat popular dengan skandal ini
menyebabkan dua individu ini 'dilarang' dari menyertai pemilihan di pusat.
Namun, selepas Najib mengambil alih Malaysia, Ali Rustam tetap kekal selaku Menteri
Besar Melaka dan hingga kini masih menerajui negeri bersejarah itu.
Ramai lagi yang dikaitkan, tak terkecuali Najib dan Khairy yang mana banyak
blog-blog melaporkan akan keterlibatan wakil mereka dalam membeli 'undi' di
kalangan perwakilan.
Sementalahan pula, Perdana Menteri ketika itu (Abdullah) dalam keadaan yang
membingungkan, dituduh sebagai seorang yang penidur, tidak bermaya dan
pentadbirannya dikuasai anak menantu.
Skandalnya dicurahkan keluar dada akhbar, sambil Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas
bossnya turut serta membakar jambatan persahabatan menyerang Abdullah yang
bagaikana putus talian hayat.
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin antara nama yang digandingkan Tun
Mahathir dalam kecamannya terhadap pemerintahan Abdullah hingga PM penidur itu
'tersungkur' rebah, terpaksa menyerahkan jawatannya kepada Najib dan Datin Seri
Rosmah Mansor.
Walaupun dalam keadaan media dalam dan luar negara memainkan isu kaitan
pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibu dan isu komisen kapal selam
dengan Najib, namun segalanya bagaikana 'dipekakkan' untuk Najib terus dinaiktaraf
menjadi Perdana Menteri.
Serangan Tan Sri Muhyiddin Yassin ke atas Abdullah agar segera melepaskan jawatan
membawa tuah kepadanya dengan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri kepada
kerajaan 'Najib-Rosmah'.
Di peringkat Pakatan Rakyat pula, sejak melakar kemenangan pada pilihan raya umum
2008 dibeberapa buah negeri termasuk Kelantan, Perak, Selangor, Pulau Pinang dan
Kedah, pakatan ini sering dihadapkan dengan serangan oleh media arus perdana.
Bermula dengan isu perkauman, hinggalah kepada beberapa keputusan kerajaan negeri
yang dipertikaikan oleh Umno/BN semata-mata untuk memburuk-burukkan imej
Pakatan Rakyat di mata rakyat.
Umno/BN cuba mencari apa sahaja isu yang berkaitan dengan Pakatan Rakyat untuk
dimanipulasi bagi dihidangkan kepada rakyat, walaupun terpaksa memainkan isu
perkauman yang melampau.
Serangan kononnya berlaku perpecahan dalam pemilihan Muktamar Agung PAS Jun
2009 akhirnya hanya sekadar Umno menyaksikan 'buah tangan' mereka tak
mengena.PAS terus konsisten dengan agenda memantapkan kerjasama dengan
Pakatan Rakyat.
Seawal Februari, 'adegan lompat melompat' dan 'umpan' di Perak oleh tiga Adun
menyebabkan kerajaan pimpinan Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin tumbang
dengan cara yang paling tidak bertamadun.
Krisis di Perak berlarutan menyebabkan kerajaan negeri yang dirampas oleh Dr
Zambry Abdul Kadir kelam kabut, adegan masuk keluar mahkamah bagi menetapkan
siapa MB Perak yang sah berlarutan hingga ke bulan November yang akhirnya sekali
lagi menyaksikan Mahkamah Persekutuan pula menangguh keputusan permohonan
Nizar.
Ramai yang mengharapkan agar pilihan raya kecil negeri diadakan di Perak bagi
mengatasi kemelut di sana, namun hingga hujung 2009, keadaan masih sama, Zambry
tetap terus dibenarkan berkuasa di Perak.
Politik dan pilihan raya kecil
Suhu politik di Malaysia sepanjang tahun 2009 membungkam minda rakyat agar terus
tidak alpa dengan hikayat politik penuh ranjau.Lapan pilihan raya kecil mewarnai
gelanggang demokrasi di negara ini.
SPR selaku 'tok jogho' memainkan wayang dengan lagu-lagu bernada Umno, selain
sesekali kononnya menampakkan mereka telus tatkala pilihan raya kecil dimenangi
Pakatan Rakyat.
Siri pilihan raya itu bermula bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu ekoran kematian
penyandangnya Dato' Razali Ismail (dari BN) akibat serangan jantung ketika sedang
bermain badminton pada 28 Nov 2008.
Pilihan raya kecil yang diadakan pada 17 Jan 2009, menyaksikan wakil PAS, Mohd
Abdul Wahid Endut menewaskan orang kanan Khairy, Dato' Wan Abdul Farid Wan
Salleh (BN) dan calon bebas, Azharuddin Mamat, dengan majoriti 2,631 undi.
Kemudian pada 7 April, sejarah tercipta apabila tiga pilihan raya kecil dijalankan
secara serentak iaitu bagi kawasan Parlimen Bukit Gantang di Perak serta kerusi DUN
Bukit Selambau di Kedah dan kerusi Dun Batang Ai di Sarawak.
Kerusi Bukit Gantang dan Batang Ai kosong kerana kematian wakil rakyat
masing-masing manakala di Bukit Selambau, ia disebabkan Adun di situ daripada
KeADILan yang meletak jawatan.Kali ini sejarah tercipta di Bukit Selambau apabila
15 calon bertanding.
Bukit Selambau menyaksikan KeADILan mengekalkan kerusi tersebut dengan anak
muda, S.Manikumar menang dengan menewaskan calon BN, Datuk S.Ganesan dan
13 calon bebas lain..
Sementara pada tarikh yang sama, Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak yang
dikatakan kononnya sukar untuk menang di Parlimen Bukit Gantang akhirnya menang
bergaya walaupun kerusi Batang Ai dikekalkan BN.
Seusai tiga pilihan raya kecil serentak, Dun Penanti pula dikosongkan oleh Timbalan
Ketua Menteri 1 ketika itu, Mohammad Fairus Khairuddin yang dikatakan melepaskan
jawatan untuk menumpukan kepada pelajaran.
Namun, BN membuat keputusan untuk tidak bertanding dan keputusan itu
memperlihatkan BN 'bimbang' akan terus mengalami kekalahan berikutan beberapa
pilihan raya lalu menunjukkan trend tersebut.
Akhirnya kerusi Dun Penanti kekal milik KeADILan dengan Dr Mansor Osman kini sah menjadi wakil rakyat di sana.
Kehangatan politik pilihan raya tak terhenti setakat pilihan raya kecil Dun Penanti,
kerana Dun Manik Urai mengambil alih menghangatkan politik negara apabila
penyandangnya, Ismail Yaacob (Abe Wil) dari PAS meninggal dunia akibat serangan
jantung pada 22 Mei.
Calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah (Abe Uji) mengejutkan calon BN, Tuan Aziz Tuan
Mat dengan kemenangan 65 undi dengan Umno mula mendabik dada kononya rakyat
Kelantan 'mula sokong BN'.
Selang sebulan, Dun Permatang Pasir pula diisytihar kosong setelah penyandangnya
Dato' Mohd Hamdan Abdul Rahman daripada PAS meninggal dunia di IJN berikutan
sakit jantung.
Pilihan raya kecil yang penuh dengan pendedahan skandal calon BN, Rohaizat Othman
akhirnya dimenangi oleh Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Mohd Salleh Man
menewaskan Rohaizat majoriti 4,551 undi.
Namun tidak sampai sebulan, Adun Bagan Pinang Azman Mohammad Noor daripada
BN pula menghembuskan nafas yang terakhir yang memyaksikan Pesuruhjaya PAS
Negeri Sembilan, Zulkefly Mohammed Omar dicalonkan mewakili PAS menentang
Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad (BN).
Kempen yang penuh dengan insiden 'kekasaran' akhirnya menyaksikan calon perasuah
pilihan Najib menang dengan selesa menyebabkan kedudukan Menteri Besar Negeri
Sembilan, Dato' Seri Mohamad Hassan 'mula goyah'.
Aksi pilihan raya bagaikan bersambung dengan kes di Kota Siputeh, namun pada 24
November, SPR yang seolah-olah mewakili Umno/BN mendapat perintah Mahkamah
Rayuan bagi penggantungan keputusan Mahkamah Tinggi mengisytiharkan kekosongan
kerusi Dun Kot Siputeh.
Walhal kekosongan sebenarnya berpunca daripada kegagalan wakil rakyatnya, Dato'
Abu Hassan Sarif daripada BN, menghadiri persidangan sebanyak dua kali
berturut-turut tanpa alasan.
BN dalam kekalutan, perpecahan
BN tidak kurang dilanda krisis dalamanya, walaupun akhbar arus perdana menyerang
PAS dan parti-parti dalam Pakatan Rakyat (DAP dan KeADILan).MIC, MCA dan
PPP bergolak, pemilihan dalam MIC menyaksikan sekutu Dato' Seri S.Samy Vellu
kekal, sementara puak-puak yang mahu melakukan pembaharuan, terus dipinggirkan.
Krisis dalaman MCA yang menyaksikan lawan menjadi sahabat, dan sahabat menjadi
lawan bergelandangan hingga hujung 2009.Dato' Seri Ong Tee Keat yang bermusuhan
dengan Dato' Seri Dr Chua Soi Lek akhirnya bersatu, namun kesatuan itu mewujudkan
musuh baharu dari kumpulan Menteri Kesihatan, Dato' Seri Liow Tiong Lai.
Tidak kurang juga dengan PPP yang mana Presidennya, Dato' M Kayveas masiah
berseteru dengan bekas rakannya, T Murugiah mengenai keabsahan pimpinan PPP
yang sebenar.
Sementara Umno yang kononnya nampak kukuh dihujung 2009 setelah krisis awal
2009 ketika pemilihan akhirnya dikejutkan juga dengan serangan hebat Tun Dr
Mahathir Mohamad ke atas pentadbiran Najib selain kecaman 'Umno Busuk Hingga
Ke Usus' yang mengkisahkan pengakuannya bahawa rasuah membarah dalam Umno.
SPRM, polis dan badan kehakiman dipersoal
Kisah 'kekalutan' pentadbiran agensi dan institusi turut mewarnai tahun 2009, SPRM
bagaikan 'wakil BN' dengan menjadikan wakil-wakil rakyat dan pegawai kerajaan
Pakatan Rakyat sebagai mangsa untuk siasatan.
Tragedi kematian, Teo Beng Hock amat-amat mengejutkan negara, apabila didakwa
ditemui mati di Plaza Masalam dalam siasatan SPRM.Sementara beberapa wakil
rakyat terus diserbu untuk ditakutkan dengan siasatan SPRM.
Walaupun pelbagai laporan rasuah dan penyelewengan dilaporkan rakyat terhadap
pentadbiran Umno/BN di peringkat pusat dan negeri, SPRM nampaknya hanya
'bernafsu' untuk melateri siasatan terhadap Pakatan Rakyat.Hingga kini misteri
kematian Beng Hock menjadi tanda tanya.
Institusi kehakiman tak lari dari kritikan, dengan beberapa dakwaan terhadap hakim
termasuk Ketua Hakim Negara, Tan Sri Zaki Tun Azmi yang sememangnya dinaikkan
kerana beliau juga bekas jawatankuasa Disiplin Umno.
Lantaran itu beberapa keputusan kes termasuk di Mahkamah Rayuan mengenai krisis
MB Perak akhirnya seperti satu 'balasan budi' yang menyaksikan 'Perak' kekal
dirampas BN.
Kes-kes dakwaan liwat membabitkan Dato' Seri Anwar Ibrahim terus disangkut,
sementelahan kes-kes membabitkan penguasa, antaranya kes Altantuya Shaariibu
diselindung wajah dalang kepada pembunuh sebenarnya.
Rasuah jutaan ringgit membabitkan Tan Sri Eric Chia, Kassitah Gaddam dan beberapa
figur BN yang lain akhirnya hanya didapati tiada kes, sekali lagi menjadikan rasuah
semakin membarah.
Laporan Ketua Audit Negara 2008 turut menyaksikan rasuah dan ketirisan 'tegar'
berlaku dalam kementerian-kementerian, kerajaan negeri dan beberapa agensi
kerajaan.Skandal 1.43 billion kerugian landasan berkembar Ipoh Rawang terus
disenyapkan hingga 31 Disember dari siasatan SPRM.
Langkah kerajaan BN makin longlai, walaupun hebat memanipulasi isu dalaman
Pakatan Rakyat, degan terdedahnya isu penyelewengan wang negara sepanjang 22
tahun Mahathir memerintah, dan sepanjang lima tahun Abdullah menjadi PM.
Isu pembinaan rumah Tun Abdullah bernilai RM12 juta 'sebagai jalan tutup mulut'
bekas PM itu didedahkan oleh Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar, selain isu
kehilangan dua enjin pesawat milik TUDM bernilai RM50 juta setiap satu yang
mengakhiri wajah duka politik dan pentadbiran negara.
Desakan demi desakan diajukan bagin satu siasatan telus dibuat, namun desakan itu
hanya dipandang sepi oleh pentadbiran Najib yang dikawal selia dengan baik oleh
SPRM dalam menutup segala kepincangan dan kebobrokan.
Tahun 2010 yang menjelma, rakyat mahukan perubahan dan perlaksanaan janji yang
sudah ditabur dan bukan cakap-cakap politik manis yang tidak berkesudahan tanpa
membawa keuntungan kepada kehidupan mereka.
Rakyat mahu agenda pembangunan yang boleh meningkatkan taraf ekonomi mereka
demi kelangsungan kehidupan yang ketara terhimpit dan sukar dalam situasi ekonoimi
dunia yang belum pulih.
Pemimpin yang bertanggungjwab harus memikirkan agenda rakyat terbanyak tanpa
mengira kaum dan mempunyai niat yang jelas dan bersih.
Pemimpin yang berkesan adalah mereka yang melaksanakan apa yang dikata dan
menjuarai impian rakyat seperti yang dihajatkan.
Confidential Document
10 years ago
No comments:
Post a Comment