Thursday, November 19, 2009

Memali, peristiwa hitam 'dikenang' sebagai sejarah 'kezaliman'!

WAN NORDIN WAN YAACOB
(wnordin@harakah.net.my)

Tanggal '19 Nov 1985' hingga 19 November 2009, genap 24 tahun terjadinya peristiwa berdarah Memali yang berlaku di kawasan pedalaman di Baling mengorbankan para pejuang agama Allah dalam sekelip mata.

Ketika kejadian, lebih 3000 anggota polis ditugaskan menggempur kumpulan yang kononnya didakwa menganjurkan ajaran sesat, maka 'Operasi Angkara' diberi jolokan untuk mencabut nyawa rakyat yang tak berdosa.

Peralatan ala tentera digunakan ketika itu oleh pihak berkuasa hanya untuk memerangi sejumlah tidak sampai 100 pengikut Ustaz Ibrahim Mahmud (Libya).

Operasi itu bermotifkan untuk menahan Ustaz Ibrahim di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana beberapa kontroversi ucapan-ucapannya dalam memangkinkan semangat pejuang agama Allah.

Tan Sri Musa Hitam selaku Timbalan Perdana Menteri Malaysia menjelaskan Operasi Angkara bertujuan menangkap dan menghapuskan penjenayah. Ibrahim Libya memang dikehendaki pihak polis di bawah ISA.

Ibrahim Libya dituduh mengancam keselamatan negara dengan kegiatan memecah-belahkan masyarakat Islam. Selain itu, dalam sidang akhbar New Straits Times bertarikh 21 November 1985 Musa Hitam turut menyanggah kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Kedah yang mengatakan Ustaz Ibrahim hanyalah memberikan ceramah agama.

Ibrahim Libya juga dituduh melindungi penjenayah yang sangat dikehendaki oleh Polis iaitu Yusof Che Mit dan Ramli Che Mit. Sebelum polis menyerang, penduduk kampung yang berkumpul di rumah Ibrahim Libya diminta menyerahkan Yusuf dan Ramli, tetapi mereka berdua tidak ada di situ. Beberapa hari kemudian Ramli ditangkap, tetapi tidak pula dibicarakan di mahkamah kerana dia ditahan di bawah ISA.

Ibrahim Libya lahir dan tinggal di Kampung Memali,mukim Siong, Baling, Kedah.
Lulusan Universiti Al Azhar, Mesir. Kemudian menyambung pengajiannya di India dan Libya. Bekerja sebagai pegawai pendakwa di Bahagian Agama di Jabatan Perdana Menteri Malaysia.

Beliau kerap berceramah di RTM 1, kemudian memulakan kelas agama dan sekolah agama di kampungnya di Kampung Memali. Beliau ingin meneruskan usaha tuan-tuan guru pada masa yang dahulu yang membuka sekolah pondok atau sekolah agama. Perjuangannya sealiran dengan PAS dan menyertai PAS kemudiannya.

Pada tahun 1978, atas tiket PAS bertanding di kawasan Bayu-Baling. Beliau memperoleh 5,081 undi berbanding 6,169 undi yang dimenangi Barisan Nasional.

Tragedi Berdarah memali berlaku tatkala Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, malah ketika kejadian beliau melakukan lawatan ke China, entah mengapa 'hanya Allah yang tahu'.

Sementara menteri yang bertanggungjawab dalam soal keselamatan ketika itu ialah Tan Sri Musa Hitam yang dibantu Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar.

Rakyat ketika itu dikhabarkan bahawa kerajaan mahu melakukan operasi menjejaki pengganas komunis, namun kemudiannya apabila 'terhidu' operasi ditukar wajah dengan tajuk membasmian ajaran sesat.

Maka beberapa akhbar milik Umno/BN ketika itu memutarbelitkan laporan-laporan mereka dengan menuduh Ustaz Ibrahim Libya membawa ajaran sesat dan kerajaan perlu memerangi ajaran ini.

Maka berlakulah pertempuran hebat antara 'wakil kerajaan' dengan kumpulan yang diketuai Ustaz Ibrahim Libya, yang akhirnya tanpa sebarang senjata atau senapang, nyawa mereka direntap tanpa 'izin' pemilikNya.

Berlinangan darah membasahi perkarangan rumah Ibrahim Libya, kanak-kanak bertempiaran, balu-balu menangis disamping mayat suami yang kaku membisu tanpa sebarang 'isyarat' akan roh masih berada dalam jasad.

Semuanya bagaikan 'padang jarak padang terkukur' direntap musnah, dalam laungan Allahuakhbar, 13 pejuang agama Allah syahid mempertahankan diri, keluarga dan perjuangan membela agama Allah.

Status mereka sebagai syahid disahkan oleh ahli Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Kedah, Tuan Guru Haji Yahya Junid dan Ustaz Azahari Abdul Razak berdasarkan mereka yang mempertahankan diri dan harta mereka adalah syahid. Bagaimanapun mereka yang mengeluarkan fatwa berkenaan disingkirkan daripada menganggotai badan fatwa berkenaan.

Mereka yang terkorban ialah, Ustaz Ibrahim Mahmud (libya), Kampung Charok Puteh, Siong, Baling, Kedah 45 tahun, guru dan pendakwah Islam.

Beliau meninggalkan seorang balu yang juga telah ditahan beberapa minggu dalam kem tahanan di markas Polis Hutan Sungai Petani, kemudian dipindahkan ke Penjara di Alor Setar sehingga dibebaskan. Beliau meninggalkan lima orang anak, dua orang sedang bersekolah dan tiga orang lagi masih kecil.

Ahmad Hassan, Kampung Alor Melentang, Gunung, Alor Setar, 30 tahun, kerja sendiri, bekas pegawai LPN, bekas ketua Dewan Pemuda PAS Kuala Kedah 1979-1981, bekas Setiausaha Kerja DPPN Kedah 1981-1983. Beliau meninggalkan seorang balu dan empat orang anak yang masih belum bersekolah.

Syafie Dahaman, Sekolah Menengah Siong, Baling, 30 tahun, guru Sekolah Menegah Siong, meninggalkan seorang balu dan seorang anak.Abdullah Abdul Rahman, Mukim Siong Baling, 72 tahun, penoreh getah. Beliau meninggalkan seorang balu dan tujuh orang anak.

Abdul Manaf Waden, Kampung Becah Sawa, 58 tahun, penoreh getah, meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.Ghazali Mohd Saman, Kampung Becah Sawa, 36 tahun, merinyu malaria, meninggalkan seorang balu dan 3 orang anak.

Mohd Radzi bin Ahmad, Kampung Ubi Memali, 27 tahun, penoreh getah, meninggalkan empat orang anak dan isterinya telah meninggal sejak beberapa lama.

Wan Abdullah @ Idris Lebai Kadir, Kampung Charok Bunting, Siong, Baling, 32 tahun, penoreh getah; meninggalkan seorang balu dan enam orang anak sebahagiannya masih bersekolah.
Mohd Aroff Hashim, Kampung Becah, Siong, 36 tahun, penoreh getah; meninggalkan seorang balu dan enam orang anak.Zamri bin Md Isa, Kampung Charok Puteh, 37 tahun, pemandu; meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.

Abdullah Yasin, Kampung, Guar Reban, Kupang, 33 tahun, berniaga; meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.Mohd Daud bin Kadir, Kampung Becah Sawa, 53 tahun, penoreh getah; meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.

Ahmad Ismail, Kampung Cepir, Sik, 30 tahun, mekanik motosikal; meninggalkan seorang balu dan 4 orang anak.Abdul Rahmah Jusoh, Siong, Baling, 69 tahun. Beliau cedera parah dan akhirnya meninggal dunia kerana kecederaan tersebut pada 31 Jan 1986.

Sebaik selesai operasi memautkan kumpulan Ustaz Ibrahim Libya, media-media pro kerajaan ketika itu melagukan semula lagu-lagu fitnah tanpa henti, kononnya untuk membenarkan segala tindakan mereka.

Peristiwa memali menyayat hati sesiapa sahaja yang hidup ketika itu dan turut mengalaminya termasuk balu-balu mereka yang Syahid, lantas selang beberapa hari selepas peristiwa berdarah di Baling itu, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang yang Awang berucap di Markas PAS Taman Melawar mengecam keras tindakan zalim itu.

Nada ucapan Ustaz Hadi amat memilukan, sebak suarannya tak mampu ditahan lagi, air mata membasahi wajahnya dan sesekali teresak-esak menahan kesedihan.

Masih segar dalam ingatan, akan untaian kata-kata Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat " Kita akan mengingati peristiwa pembunuhan beramai-ramai ini seumur hidup. Akan kita ingat dan sebut terus menerus. Akan kita perkatakan hingga Hari Kiamat."

Peristiwa hitam dan tragedi berdarah yang membabitkan ahli PAS itu sebenarnya belum pudar dihati para penyokong dan ahli PAS hingga kini.Tangisan anak-anak kecil masih 'basah' ditelinga para amilin dan pejuang.

Mana tidaknya, Perdana Menteri yang 'wujud' ketika peristiwa berdarah itu (Dr Mahathir) kini masih hidup lagi, dan masih segar untuk membungkam kenyataan-kenyataan yang liat politiknya.

Hingga kini, mulutnya tidak pernah menukilkan 'maaf' kepada keluarga mangsa Memali, lantas hal ehwal mangsa juga tak pernah dipedulikan Mahathir yang merejimkan Malaysia sehingga 22 tahun dengan dihujung pemerintahannya, Dato' Seri Anwar Ibrahim menjadi mangsa terakhirnya.

Malah selepas bersara dari kerajaan pun, Mahathir giat memangsakan Tun Abdullah Ahmad Badawi hingga 'longlai' kaki tidur itu yang akhirnya berundur dari jawatan nombor satu dalam negara.

Memali tetap akan menjadi satu titik hitam dalam demokrasi di negara ini, rakyat yang 'lemah' mudah ditindas hanya kerana 'aspirasi' berbeza, malah kekejaman menjadi 'bahan' memuaskan nafsu penguasa.

Peristiwa ini tetap akan segar diingatan balu dan anak-anak mangsa selagi pihak-pihak yang terbabit dengan memohon maaf atau melafaskan 'keinsafan' di atas kezaliman yang dilakukan, nescaya Allah akan membalasnya walaupun di hujung usia.

No comments: