Wednesday, July 15, 2009

Penapisan Minyak di Yan, bakal beri lonjakan ekonomi Kedah

WAN NORDIN WAN YAACOB

KUALA LUMPUR : Kerajaan negeri Kedah telah memeterai perjanjian kerjasama
(MOU) projek pembangunan penapisan petrokimia yang dinamakan Kedah Sungai
Limau Hydrocarbon Hub (SULIHH) dengan sebuah syarikat tempatan.

Perjanjian bernilai RM35 bilion ini dimeterai antara Merapoh Resources Corporation
dengan kerajaan Kedah bersama pelabur-pelabur antaranya Hong Kong Beijing Star
Ltd dan Winson Invesment Ltd.

Merapoh Resources Corporation Sdn Bhd dan Kerajaan Negeri Kedah Rabu
memeterai memorandum perjanjian bagi pembangunan projek kilang penapis bernilai
AS$10 bilion di Yan, Kedah.

Pengerusi Eksekutif Merapoh Resources Corporation berkata projek itu terdiri
daripada pembangunan dua kilang penapis di SULIHH dengan jumlah kapasiti
350,000 tong sehari.

Pembinaan dan pembangunan kilang penapis itu dijangka siap dalam tempoh lima
tahun, katanya.

Beliau berkata projek itu melibatkan penebusgunaan tanah di laut berjumlah 340 hektar
dan penggunaan 40 hektar tanah daratan.

Md Nazri berkata di bawah projek tersebut, Merapoh Resources Corporation akan
mengimport minyak petroleum mentah dari Timur Tengah yang akan diproses menjadi
produk ditapis sebelum mengeksportkannya ke China dan negara Asia lain.

Bagi penambahbaikan produk ditapis, syarikat itu kerjasama dengan syarikat minyak
negara China, China National Petroleum Company (CNPC) untuk memasarkan
produk penapisan Merapoh bagi tempoh 20 tahun.

SK Group of Companies dari Korea yang memiliki satu daripada kilang penapis
minyak terbesar di dunia, menerusi anak syarikatnya SK Engineering & Construction
telah dilantik menjalankan kerja kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan penugasan
(EPCC) projek itu.

Perjanjian dibuat pada jam 3.15 petang dengan disaksikan oleh Menteri Besar Kedah,
Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak bersama pegawai kewangan negeri, Dato' Mohd
PuatMohd Ali dan setiausaha kerajaan negeri, Dato' Wira Rasli Basir.

Turut hadir, Exco Kanan Kedah, Dato' Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi; Speaker Dun
Kedah, Dato' Dr Abdul Isa Ismail; Exco-exco Kerajaan Negeri, Dato' Ir Amiruddin
Hamzah; Dato' Mohamad Taulan Rasul; Dr Hamdan Mohamed Khalib; S.Manikumar
dan Ustazah Aishah Ghazali

Merapoh diwakili, Pengerusi Eksekutifnya, Md Nazri Ramli dan Pengarah Eksekutif
Mohd Hassan Mansor.SK Engineering diwakili, Naib Pengerusi dan CEO, Suk Kyong
Yun dan Naib Presiden, Tae Min Cheong.

Pelabur, Hong Kong Beijing Star Ltd diwakili, Presidennya, LiFeng Yi serta Pengarah,
Mou Fu Kong,sementara Winson Investment Ltd diwakili Tony Loh.

Dalam ucapannya, Ustaz Azizan menyatakan rasa syukur berikutan perjanjian ini telah
ditandatangani syarikat yang akan membangunkannya dan pelabur.

Projek SULIHH yang berlokasi di Yan Kedah ini akan memberi impak besar kepada
pembangunan ekonomi Kedah,ujar Ustaz Azizan.

Projek memberi peluang pekerjaan yang besar kepada rakyat Kedah khasnya dan
Malaysia amnya, kata beliau.

Projek ini juga katanya adalah kejayaan besar dan bersejarah kepada kerajaan Kedah
dalam memacu pelaburan masuk ke negeri itu.

Beliau turut membayangkan kejayaan ini kelak akan memberi kesan besar kepada
pertumbuhan masuk pelaburan ke Kedah, selain pembangunan kawasan berhampiran.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada usaha keras Merapoh Resources
Corporations dan Kedah Investment Centre (KIC) yang merealisasikan impian rakyat
Kedah ini.

Projek yang SULIHH dijangka siap pada tahun 2013 ini katanya adalah loji penapisan
yang terbesar setakat ini yang diusahakan di Semenanjung.

Kerajaan Kedah ujarnya memberi sokongan penuh ke atas pembangunan SULIHH ini
selain mengalu-alukan pelabur untuk melabur di Kedah.

1 comment:

Basuh Baju said...

apa shj yg bagus utk rakyat- gua sokong :)