Monday, July 20, 2009

Jumpa Ehud Barak, Zahid biadap dan hina umat Islam - Ustaz Idris Ahmad

Jumpa Ehud Barak, Zahid Hamidi biadap, hina umat Islam Palestin - Ustaz Idris

WAN NORDIN WAN YAACOB

KUALA LUMPUR : Pertemuan antara Menteri Pertahanan Malaysia, Dato' Seri
Ahmad Zahid Hamidi dengan Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak disifatkan satu
tindakan menghina umat Islam khususnya rakyat Palestin.

Demikian tegas Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad kepada Harakah ketika
dihubungi pada 21 Julai bagi mengulas isu pertemuan Zahid dengan Ehud di Paris
baru-baru ini.

"Ini satu tindakan yang biadap, satu pengkhianatan ke atas umat Islam di Palestin yang
ketika ini bergelumang dengan peluru-peluru dari rejim haram Israel.Inilah sikap
hipokrit pemimpin Umno/BN yang di negara ini laungkan menentang Israel, tetapi
jumpa pemimpin Israel secara terbuka," katanya.

Paling mengecewakan, Zahid juga adalah Naib Presiden Umno dan menteri kanan,
justeru ia memberi persepsi bahawa kerajaan Malaysia seolah-olah mengiktiraf negara
haram Israel, ujar Ustaz Idris.

Pada pandangan beliau, tentunya pertemuan yang dibuat Zahid juga mendapat restu
Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak kerana masakan menteri kanan boleh
melakukan tindakan 'luar polisi' yang boleh menjejaskan nama negara.

Malaysia sendiri tidak pernah mengiktiraf Israel dalam hubungan Diplomatik, justeru
tindakan Zahid ini melanggar polisi negara yang hanya mengakibatkan nama negara
tercemar, katanya.

"Tiada perumpamaan lain yang boleh disebut selain biadap dan khianat kepada
Islam.Jelas Israel sebuah negara haram yang telah banyak membunuh umat Islam di
Palestin, tetapi Zahid tidak segan dan malu untuk bertemu dengan Ehud, ini satu
tindakan yang sangat tidak menghormati umat Islam," ujarnya.

Namun beliau tidak melihat ia sebagai mustahil kerana sebelum ini, sewaktu
persidangan negara-negara berkecuali (NAM) beberapa tahun lalu, Malaysia pernah
mendiskriminasi wakil sah kerajaan Palestin iaitu Hamas dalam persidangan itu.

Ketika itu (sidang Nam) ujar Ustaz Idris, wakil yang tidak sah iaitu dari Fatah
dibenarkan berucap mewakili Palestin, walhal kerajaan yang sah adalah kerajaan
Hamas.

"Inilah sikap sebenar kerajaan Umno/BN, mereka mengiktiraf yang hara, tetapi
melarang yang halal, ini pun sama seperti dalam kes kerajaan haram Umno/BN Perak,"
ujarnya sinis.

Justeru beliau menggesa Zahid memohon maaf kepada seluruh umat Islam di Malaysia,
dan Palestin khasnya kerana kebiadapan beliau bertemu dengan pemimpin kanan
Israel.

"Jika beliau tidak mahu memohon maaf, perlu satu tindakan kepada Zahid kerana
kebiadapannya itu," tegasnya.

Pada 18 Julai lalu, Bernama melaporkan Zahid menjelaskan bahawa beliau tidak
pernah menemui Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada Pertunjukkan
Udara Paris di Perancis bulan lepas seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Dalam satu kenyataan ringkas yang dikeluarkan oleh Pegawai Khas (Media) Abd
Halim Ab Majid, Zahid sebaliknya bertemu Menteri Pertahanan Israel Ehud Barak
pada satu majlis koktail di pertunjukan udara itu.

Laporan sebelum ini menyatakan Ahmad Zahid pernah mengadakan pertemuan dengan
Netanyahu semasa Pertunjukkan Udara Paris di Perancis Jun lepas bagi menjelaskan
pendirian Malaysia berhubung isu Timur Tengah.

No comments: