Wednesday, July 8, 2009

Apa cerita sebenar kes roboh pusat sembelihan babi di Kedah, ini pendedahannya!

Kronologi pendedahan isu perobohan pusat sembelihan khinzir di Kampung Berjaya Kedah

WAN NORDIN WAN YAACOB

ALOR SETAR : Isu perobohan Pusat Sembelihan Khinzir di Kampung Berjaya
tiba-tiba menjadi fokus isu nasional oleh beberapa media arus perdana
yang cuba memburukkan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Dato'
Seri Ustaz Azizan Abdul Razak.

Media arus perdana cuba melanyak pentadbiran Ustaz Azizan,walhal pada
asasnya tindakan perobohan yang dilakukan Majlis Bandaraya Alor Setar
adalah berdasarkan bidang kuasa majlis tersebut menurut peruntukan
undang-undang yang telah ditetapkan.

Membicarakan isu itu, Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Mohd
Sanussi Mohd Nor mendedahkan sebab dan kronologi membabitkan tindakan
MBAS merobohkan pusat sembelihan khinzir di Kampung Berjaya pada 1
Julai lalu.

Ianya bermula pada 21 julai 1993 - Cadangan supaya kerja-kerja
pembersihan dalaman rumah sembelih khinzir Mergong diambil alih oleh
AWS.

26 julai 1993 - Tawaran AWS khidmat mencuci, membersih, mengorek
longkang dengan seorang pekerja RM450.00 sebulan.


16 Disember 1993 - Majlis bersetuju dengan Tahap Piawaian Efluen bagi
sektor ladang dan pemprosesan ternakan.
11 April 1994 - Rungutan pemindahan tempat ternakan atau penyembelihan
khinzir oleh Harta Usahawan Sdn. Bhd.
30 April 1994 - Majlis akan membina dinding untuk memisahkan kawasan
awam dengan rumah penyembelihan.
19 Jun 1994 - Permohonan laporan mengenai tempat ternakan dan
penyembelihan khinzir di Majlis.
11 Julai 1994 - Majlis memberi maklumbalas atas per. (06) bahawa tiada
tempat ternakan khinzir dan tempat penyembelihan khinzir terdapat di
Mergong.
11 Oktober 1994 - Aduan dari Othman Lebai Saad, JKKK Kg Telok Yan dan
pohon ubah tempat sembelih.
5 Januari 1995 - Majlis pohon maklumat mengenai rumah bantai khinzir
yang sedia beroperasi dari lain-lain PBT untuk cadangan penempatan
semula Rumah Bantai Khinzir.
13 Januari 1995 - Menerima maklumbalas dari Majlis Perbandaran Taiping
bahawa Jabatan Perkhidmatan Haiwan tidak ada apa-apa peranan dalam
pengurusan rumah bantai khinzir.
19 Januari 1995 - Menerima maklumbalas dari Majlis Bandaraya Ipoh
bahawa rumah pembantaian di bawah Jabatan Haiwan.
26 Januari 1995 - Menerima maklumbalas dari Majlis Perbandaran Melaka
Bandaraya Bersejarah bahawa rumah sembelih dikendalikan oleh Jabatan
Haiwan.
26 Januari 1995 - Menerima maklumbalas dari Majlis Perbandaran Klang
bahawa tidak terdapat rumah bantai khinzir.
26 Januari 1995 - Mesyuarat Majlis Pembangunan Negeri Kedah
membangkitkan rumah sembelih khinzir tidak dibina baru. Disyorkan
tunggu rumah sembelih di Butterworth siap dan dipusatkan di sana.
6 Februari 1995 - Menerima maklumbalas dari Majlis Perbandaran Kuantan
bahawa MPK belum melesenkan aktiviti rumah bantai khinzir tersebut di
bawah kawalan Jabatan Haiwan.
18 Jun 1995 - Mesyuarat Jawatankuasa Penempatan Semula Rumah Khinzir
di MPKS.
5 Jun 1996 - Keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan bersidang 11 Disember
1995 dan persetujuan dicapai antara PKB dengan MPKS untuk menutup
rumah sembelihan khinzir di Kampong Berjaya perlu dilaksanakan.
29 April 1997 - Majlis menghantar surat kepada Persatuan Peniaga dan
Penyembelihan Babi Kedah supaya berusaha mencari tapak yang sesuai
bagi menggantikan rumah sembelih sekarang yang akan ditutup tidak lama
lagi.
29.6.1997 - Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman yang
bersidang pada 14 Mei 1997 telah membuat keputusan "Majlis bersetuju
supaya dikenalpasti kawasan tapak yang sesuai untuk dipindahkan pusat
penyembelihan khinzir berhampiran kilang tayar Alor Setar."
29.9.1997 - Surat daripada Pegawai Perancang Bandar, MPKS memaklumkan
bahawa tapak di sekitar belakang kilang tayar Mergong tidak sesuai dan
kawasan tersebut telah pun diluluskan untuk projek perumahan.
11.3.1998 - Majlis menerima surat dari Dato’ Chor Chee Heung (MCA
Kedah) menyatakan Persatuan Khinzir telah bersetuju untuk berpindah
tetapi menunggu keputusan muktamad oleh Kerajaan Negeri Kedah.
3.10.1998 - Surat kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sungai
Petani untuk mendapatkan maklumat kedudukan terkini kerana Majlis
Perbandaran Sungai Petani telah mengenalpasti satu tapak untuk
pembinaan rumah sembelih di Padang Lembu.
8.12.98 - Surat kesinambungan 21 kepada Yang Dipertua Majlis
Perbandaran Sungai Petani.
20.3.99 - Notis kepada Pengerusi Persatuan Penyembelih Khinzir Kampung
Berjaya iaitu Notis Berhenti Operasi Menyembelih Khinzir.
31.3.99 - Surat daripada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah
Darul Aman mengenai langkah-langkah mencegah wabak Japanese
Encephalities.
2.1.99 - Menerima maklumbalas dari Majlis Perbandaran Sungai Petani
bahawa tiada tanah kerajaan di kawasan Padang Lembu. Sekiranya
cadangan hendak dilaksanakan juga, maka ianya perlu kepada proses
pengambilan balik tanah persendirian. Walau apa pun, Majlis menunggu
arahan selanjutnya daripada Kerajaan Negeri.
12.1.99 - Menerima aduan dari orang awam mengenai ladang khinzir
mengeluarkan bau yang busuk.
27.4.99 - Mesyuarat untuk menyelesaikan masalah khinzir diadakan di
MPKS.
9.5.99 - Surat kepada Pengerusi Persatuan Peniaga dan Penyembelihan
Babi Kedah dengan memberikan panduan Keselamatan Pekerja dan
Kebersihan di rumah sembelih khinzir.
9.5.99 - Surat kepada Pengarah Kesihatan Daerah Kota Setar/ Padang
Terap memberikan senarai pekerja-pekerja bagi mencegah dari wabak J.E.
22.5.99 - Notis kepada Pengerusi Persatuan Peniaga dan Penyembelihan
Babi Kedah bahawa Majlis akan berhenti daripada kutipan hasil sembelih
khinzir seperti arahan Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Perkhidmatan
Masyarakat Bil 3/99 dan berikutan jangkitan J.E dan rungutan daripada
penduduk tempatan, Majlis membuat keputusan untuk menutup rumah
sembelih terbabit.
22.5.99 - Surat kepada En. Tan Tian Wan, Jabatan Haiwan Negeri Kedah
memberhentikan elaun pemeriksaan.
1.8.99 - Surat daripada Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah Darul
Aman berserta salinan cabutan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan pada
23.6.99 bahawa Majlis bersetuju mengambil ketetapan operasi pusat
penyembelihan boleh diteruskan sehingga satu tempat baru dikenalpasti.
Tindakan susulan perlu dibuat bagi mendapatkan tapak gantian dengan
segera.
14.10.99 - Menerima bil air rumah sembelih RM1,102.80
11.1.2000 - Surat kepada Pengerusi Persatuan Peniaga dan Penyembelihan
Babi Kedah memaklumkan bahawa Majlis telah meletakkan semua kos
bayaran pekerja, bil dan api di bawah tanggungan Persatuan mulai
1.1.2000
7.8.2001 - Surat daripada JKKK Kg Telok Yan supaya ubah rumah
sembelih.
11.8.2001 - Surat Majlis kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Darul
Aman memohon kebenaran untuk meruntuhkan rumah sembelih khinzir.
26.8.2001 - Surat daripada Jabatan Perkhidmatan Haiwan Negeri Kedah
memaklumkan bahawa tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengambil
tindakan undang-undang kerana tidak ada peruntukan undang-undang yang
membenarkannya. Memohon untuk dilantik ebagai salah seorang ahli
jawatankuasa yang membuat keputusan dalam pembinaan rumah-rumah
sembelih.
20.8.2001- Surat daripada Setiausaha Sulit Menteri Besar Negeri Kedah
Darul Aman berserta salinan surat dari Pengerusi JKKK.
19.9.2001 - Majlis memberi maklumbalas kepada Pengerusi JKKK Kg Telok
Yan bahawa Majlis telah membuat permohonan meruntuhkan rumah sembelih
khinzir dan telah memberhentikan kutipan dan semua kos perbelanjaan
ditanggung oleh Persatuan.
20.8.2001 - Menerima surat darpada Setiausaha Umno Bahagian Alor Setar
pohon mengubah kandang sembelih khinzir.
31.5.2006 - Mesyuarat UPEN bersetuju supaya pusat penyembelihan
khinzir di Kg Berjaya ditutup.
Sehingga peringkat ini, MBAS memaklumkan tiada sebarang permit baru
dikeluarkan untuk operasi rumah sembelih tersebut, ujar Sanusi.
Menurut Sanusi, pada 15 Mei 2009, dalam mesyuarat MBAS telah
dibangkitkan isu tempat penyembelihan babi yang telah dikaitkan dengan
masalah penyakit A H1N1.
Oleh yang demikian majlis sebulat suara telah bersetuju sesuatu
tindakan harus diambil bagi menangani masalah ini. Keputusan mesyuarat
telah melantik ahli majlis Pn Teh (DAP) dan En Hamid (PAS) untuk
mengepalai majlis untuk berunding dengan para pengusaha pusat
tersebut.
20.05.2009 - Ahli-ahli majlis telah dihubungi oleh pengusaha pusat
tersebut bahawa mereka telah menerima notis perobohan yang telah
dikeluarkan pada 19-05-09 dan proses penguatkuasaan akan diadakan pada
01-06-09.
Satu jawatankuasa kecil telah diwujudkan selepas itu bagi membolehkan
operasi tersebut dilaksanakan (diketuai Penolong Setiausaha,Aminah).
Walaupun Pn Teh sebagai Ahli Majlis membantah rancangan tersebut dan
merayu supaya dilanjutkan tempoh meroboh, tetapi telah ditolak.
31.5.09 - YB Lee Guan Aik telah menghubungi Setiausaha Politik MB
Kedah memohon campurtangan Ustaz Azizan supaya menangguhkan tindakan
penguatkuasaan.
31.5.09 - Pertemuan diadakan antara wakil Persatuan Peniaga dan
Penyembelih Khinzir bersama, Lee Guan Aik dengan, Menteri Besar di
rumah MB Jalan Sultanah. Persatuan memohon penangguhan selama sebulan
sementara memproses permohonan tapak baru. Lee Guan Aik memaklumkan
bahawa persatuan mempunyai enam tapak cadangan baru. Ustaz Azizan
meminta supaya proses permohonan segera dilakukan.

Kemudian Ustaz Azizan menguhubungi Setiausaha Kerajaan Negeri untuk
memaklumkan kepada Dato’ Bandar supaya ditangguhkan operasi meroboh.
MCA dan Gerakan mengadakan demontrasi di lokasi rumah sembelih pada
masa yang sama.

1.6.09 - Penguatkuasa MBAS menggerakkan jentera dan petugas ke lokasi
untuk meneruskan Operasi. Menteri Besar segera mengeluarkan surat yang
ditandatangani sendiri memohon penangguhan operasi selama sebulan
kepada Dato’ Bandar. (Serahan tangan). Satu salinan surat tersebut
diberikan kepada Lee Guan Aik. Operasi ditannguhkan oleh MBAS selama
sebulan atas permintaan tersebut.

2.6.09 hingga 25.6.09

Menteri Besar melalui Setiausaha Politik mengikuti perkembangan
permohonan tapak baru hampir setiap hari. Lee Guan Aik melalui Pegawai
Khas beliau memaklumkan proses sedang dijalankan.

Beberapa penduduk di kawasan Jabi, Pokok Sena mengadakan demontrasi
dan menaikkan kain rentang membantah cadangan penempatan semula rumah
sembelih di kawasan tersebut.

Timbul isu Kerajaan Negeri lebih mengutamakan babi daripada penduduk
Kampung Bidan yang terlibat dalam penguatkuasaan perobohan rumah-rumah
yang terlibat dalam pengambilan balik tanah.

Pegawai Khas memaklumkan mereka telah mendapat tapak di Kg Cina,
Pendang. Tanah milik persendirian yang dikelilingi sawah padi milik
kaum siam. Setiusaha Politik MB Mengarahkan permohonan lengkap perlu
segera dibuat kerana masa kian suntuk.

Menteri Besar membuat panggilan telefon kepada Pegawai Daerah Pendang
untuk bertanyakan permohonan daripada Persatuan tersebut. Pegawai
Daerah Pendang memaklumkan bahawa permohonan belum diterima.
Jabatan Verterinar memberhentikan pengeluaran permit menghantar dan
memproses babi di lokasi terbabit.

26.6.09 - Pegawai Khas Adun Kota Star menyerahkan surat permohonan
tapak baru di kampong Cina, Pendang ke Pejabat Menteri Besar.
Setiausaha Politik MB mengarahkan permohonan diserahkan ke Pejabat
Daerah Pendang.

Surat tersebut telah didiserahkan kepada Pejabat Daerah Pendang.
28.6.09 - Lee Guan Aik berjumpa Menteri Besar di Pejabat memohon
penangguhan kali kedua sehingga permohonan yang dihantar di Pejabat
daerah Pendang diluluskan.

MB memanggil Exco Kerajaan Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Dato’
Phahrolrazi Mohd Zawawi) dan Pegawai Daerah Pendang agar permohonan
segera diproses.

Pegawai Daerah memaklumkan bawaha semua jabatan teknikal seperti
Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Verterinar, Jabatan Pertanian dan
Jabatan Kesihatan telah dihubungi untuk membuat lawatan tapak pada 29
Jun.

29.6.09 - Lawatan tapak dilakukan melibatkan semua Jabatan Teknikal
pada jam 3.00 petang.

30.6.09 - Pengerusi DAP Kedah/ Perlis, Thomas Su mengadakan pertemuan
dengan Tan Wei Tsu dan Phahrolrazi Zawawi memohon penjelasan dan
penangguhan kali kedua.

1.7.09 - Operasi penguatkuasaan notis perobohan dijalankan pada jam
3.00 petang dengan sedikit bantahan dari sebahagian masyarakat cina
dan pimpinan DAP dan beberapa Adun KeADILan.

Perobohan dan penangguhan mempunyai implikasi tersendiri. Dari sudut
MBAS yang menguatkuasakan Undang-Undang Kecil PBT, semua prosedur
telah diikuti sebagaimana menangani premis-premis haram yang wujud di
dalam kawasan pentadbiran MBAS.

Kerajaan negeri telah mengumumkan dasar tidak campur tangan dalam
bidang kuasa Pegawai Kerajaan termasuk kuasa Dato’ Bandar Alor Setar
dan Majlis Kerajaan tempatan MBAS.

Dalam MBAS, terdapat ahli Majlis yang dilantik dari kalangan parti
politik termasuk DAP. Keputusan ini juga melibatkan keputusan
mesyuarat Majlis MBAS.

Campurtangan Menteri Besar kali pertama sehingga operasi pada 1 Jun
ditangguhkan selama sebulan adalah atas permintaan pihak persatuan
penyembelih, bukan masa itu ditetapkan Menteri Besar.

Terdapat kelewatan yang meragukan di pihak persatuan dan Lee Guan Aik
yang mengambil tanggungjawab memproses permohonan tapak baru di enam
lokasi yang dicadangkan dalam pertemuan dengan Ustaz Azizan pada 29
Mei.

Penangguhan kali kedua akan mengundang implikasi bahawa terdapat
campurtangan kerajaan untuk mengekalkan premis haram yang ternyata
menyalahi undang-undang,ujar Sanusi.

"Pihak lain juga akan menyalahkan kerajaan kerana tidak mengambil
tindakan keatas premis yang menyalahi peraturan dan undang-undang.
Pihak Umno akan mengadakan demontrasi jika premis ini dibiarkan
walaupun hal ini adalah lanjutan daripada kerja buat mereka,"ujarnya.

Sementara di pihak Ustaz Azizan pula telah berusaha untuk menyegerakan
proses permohonan dan kelulusan tapak baru di lokasi yang dicadangkan
tetapi pihak persatuan didapati lambat bertindak, padahal dalam
pertemuan sebelumnya, mereka memaklumkan bahawa tapak baru sudah ada.

Kerajaan bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang dan peraturan,
bukan mempertahankan pelanggaran undang-undang sementara DAP juga
memperjuangakan perkara yang sama,katanya.

Isu ini bukan isu perkauman seperti yang didakwa, tetapi persoalan
undang-undang dan maruah sebuah Kerajaan Negeri,katanya.

No comments: