Friday, May 22, 2009

Walau kalah 3-0, Nizar tetap mahu penyokong bersabar!

Walau kalah 3-0, Nizar tetah arah penyokong bersabar
WAN NORDIN WAN YAACOB
KUALA LUMPUR : Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Dato'
Seri Ir Nizar Jamaluddin meminta agar penyokongnya bertenang
meskipun Mahkamah Rayuan tidak menyebelahinya.

Semasa diminta mengulas kekalahan beliau itu, Nizar yang
nyata kecewa dengan keputusan tersebut bagaimanapun
menyatakan terpaksa menerimanya juga.

"Walaupun kalah, saya pasti saya tetap menang di hati
rakyat, dan kemenangan BN ini hanya akan membuatkan rakyat
semakin membenci BN," ujarnya.

Begitupun, Nizar tidak mahu penyokong Pakatan Rakyat membuat
tindakan yang membelakangi undang-undang.

"Saya harap penyokong bersabar.Kita akan berusaha dan saya
akan membuat rayuan pula di mahkamah persekutuan kerana
ruang itu masih ada untuk saya berbuat demikian," ujarnya.

Beliau juga menyeru Zambry untuk mencadangkan kepada Sultan
membubarkan Dun Perak bagi membolehkan rakyat memilih semula
kerajaan yang benar-benar sah.

Sementara itu Adun PAS Titi Serong, Drs Khalil Idham Lim
Abdullah pula turut meminta penyokong bertenang.

Beliau mahu penyokong dapat menerima hakikat keputusan yang
telah diumumkan hari ini walaupun ia satu keputusan yang
berat untuk diterima.

"Saya minta mereka bertenang dengan apa yang telah diumumkan
oleh hakim walaupun tidak memihak kepada pakatan rakyat,
kita yakin kebenaran akan dicapai," katanya.

"Sebagaimana yang saya jelaskan sebelum ini.. walaupun BN
menang tetapi politik di Perak tidak akan tenteram dan aman
melainkan diadakan pembubaran Dun," tegasnya.

Bagi Khalil Idham, majoriti tipis yang memihak kepada BN
dengan jumlah wakil rakyat yang dibeli sebanyak tiga orang
dari Pakatan Rakyat menggambarkan betapa rapuh kerajaan yang
ada di Perak.

No comments: