Monday, May 25, 2009

Sah Husam bertanding Timbalan Presiden, Mahfuz Naib Presiden

Wan Nordin Wan Yaacob

Sahlah hari ini pada tanggal 25 Mei, jam 11.45 pagi, Dato' Paduka Husam Musa akan menyertai 'battle of the year' dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden PAS, sementara Ketua Penerangan PAS, Dato' Mahfuz Omar mahu mencuba kali keempat jawatan Naib Presiden.

Semasa mengadakan sidang media di Pejabat Agung PAS, apa yang menarik Husam menyatakan tidak ada mana-mana pihak perlu takut dengan hasrat beliau bertanding Timbalan kerana beliau mendapat pencalonan yang rendah.

Beliau juga menyatakan hasrat bertanding itu bagi membantu Presiden PAS meneruskan perjuangan parti yang dicintai ini.

Husam jelas menolak kerjasama dengan Umno, dan mengingatkan hanya akan bekerjasama apabila PAS menang dalam pilihan raya umum ke-13 kelak, dan ketika itu PAS sudah menjadi kerajaan yang mentadbir Malaysia.

Husam tegas berpendirian berdasarkan prinsip parti yang diterjemah dalam muktamar agung yang lalu bahawa PAS tegas komited dan mahu memperkasakan kerjasama dengan Pakatan Rakyat.

Penyertaannya bagi jawatan Timbalan Presiden bukanlah menentang Ustaz Nasharudin Mat Isa selaku pemegang jawatan itu sekarang, sebaliknya ia adalah hasrat dari arus yang dilihat.

Tujuannya satu, mahu melihat sokongan yang diterima PAS hari ini dari kalangan Islam dan bukan Islam akan dapat diteruskan supaya kelak PAS menjadi parti kepada semua masyarakat Malaysia.

Sementara Mahfuz pula menyatakan kesediaannya bertanding mestilah dikayu ukurkan dengan rekod atau prestasinya dan bukan hanya kerana kekerapan keluar beritanya dalam Harakah, Siasah mahupun akhbar lain.

Mahfuz tidak mahu dikategorikan dalam kumpulan-kumpulan mana sekalipun, dan mahu membantu PAS selagi hayat ada.

No comments: