Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB
MAC 2008, kerajaan Barisan Nasional (BN) umpama dilanda tsunami besar terumbang-ambing selepas mengalami kekalahan di lima buah negeri dan hanya mampu mengekalkan kerajaan pusat tanpa majoriti 2/3.
Peristiwa pada 8 Mac 2008 boleh dilakarkan dalam kamus sejarah sebagai antara peristiwa penting yang mengakibatkan banyak perubahan berlaku sejak detik itu.
Kejayaan PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) pada Mac lalu sedikit sebanyak dirasai rakyat yang mahukan perubahan terhadap kelemahan pentadbiran kerajaan Umno/BN.
PAS paling mencuri tumpuan apabila berjaya menempatkan tiga pemimpinnya menjadi Menteri Besar daripada lima kerajaan negeri yang ditakluki Pakatan Rakyat.
Paling unik Perak walaupun DAP menguasai jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri, namun PAS yang menjadi parti minoriti dari segi jumlah kerusi dipilih menerajui kerajaan negeri.
Nama Ir Nizar Jamaluddin sebelum ini tidak dikenali, namun selepas detik 8 Mac, Nizar kini bergelar Menteri Besar Perak dan menerima anugerah Dato' Seri.
Di Kelantan, seperti diketahui umum PAS yang diterajui Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menguasai 2/3 kerusi Dun sementara di Kedah Dato' Seri Azizan Razak dipilih sebagai Menteri Besar dengan KeADILan sebagai rakan kongsi, .
Sementara di Selangor KeADILan menerajui kerajaan negeri bersama PAS dan DAP dan di Pulau Pinang DAP menguasai kerajaan negeri dengan Lim Guan Eng selaku Ketua Menteri.
Tidak sunyi dari kritikan (bold)
Begitupun kisah gemilang yang dikecapi Pakatan Rakyat pada Mac lalu, gabungan ini tidak sunyi dari menerima tohmahan dan kritikan sepanjang beraksi sebagai pemerintah di lima negeri.
Media-media milik Umno dan sekutunya dalam BN mencanangkan kegusaran di kalangan rakyat kononnya pemerintah baru di Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor akan mendiskriminasi Melayu.
Isu Melayu mula dilagukan berikutan keenganan Umno untuk menerima kekalahan teruk sepanjang sejarah pilihan raya umum di Malaysia.
PAS kononnya dikatakan menjadi 'abdi' kepada DAP di Perak, sementara Selangor dan Kedah dibayangi kontroversi isu kandang babi dan pendekatan baru berhubung isu tanah.
Seperti kata Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar paling ketara media pro Umno-BN mula melaga-lagakan PAS, DAP dan KeADILan dengan mengambil aspek perbezaan idealogi antara parti ini sebagai kaedah serangan.
Namun baginya, perbezaan yang dilontarkan media ini hanyalah usaha terdesak Umno/BN untuk memecahkan kesatuan dalam Pakatan Rakyat.
"Saya tidak menolak adanya perbezaan di antara tiga parti dalam Pakatan Rakyat, namun setiap pemimpin dalam parti ini perlu melihat berapa banyak kesamaan yang perlu digembeleng dan diperkuatkan demi untuk kepentingan rakyat," ujar Mahfuz.
Baginya beberapa ciri kesamaan di kalangan parti-parti Pakatan Rakyat harus diutamakan beerbanding perbezaan yang akan hanya digunakan Umno-BN untuk memecahbelahkan kekuatan Pakatan Rakyat.
Peranan pemimpin (bold)
Beliau melihat peranan pemimpin di lima negeri Pakatan Rakyat ini adalah sangat penting bagi menonjolkan imej sebenar kerajaan Pakatan Rakyat yang bakal menjadi pengganti kerajaan yang ada pada pilihan raya akan datang.
Terutamanya Menteri-menteri Besar di kalangan PAS, mereka seharusnya mencerminkan dasar-dasar Islam yang boleh diterima dalam kesamaan antara tiga parti ini yang akhirnya akan memberi impak positif kepada rakyat.
Antaranya bagaimana Menteri-menteri besar ini boleh menonjolkan integriti kepimpinan yang tinggi selaras dengan Islam dalam memerintah kerajaan negeri.
"Islam ini bukan hanya tertumpu kepada persoalan hukum-hakam mengenai jenayah, namun ia meliputi aspek yang lebih luas termasuk corak kehidupan seseorang pemimpin," katanya.
Apa salahnya jik seseorang pemimpin itu hanya menggunakan penerbangan kelas ekonomi bagi tujuan rasmi, atau apa salahnya jika seseorang pemimpin itu menggunakan kereta sendiri tatkala menghadiri aktiviti parti.
Hal ini kata Mahfuz telah dilakukan oleh Menteri Besar Kelantan yang kalau diukur dari segi kehidupannya sama taraf dengan rakyat malah 'Tok Guru' amat mementingkan rakyatnya.
Didik rakyat (bold)
Pemimpin Pakatan Rakyat juga perlu menjadi pemimpin yang berkarisme yang tidak hanya membantu rakyat tetapi mendidik dan menegur rakyat jika ada kesilapan.
Namun Mahfuz melihat betapa pentingnya pemimpin bersikap terbuka terhadap sebarang kritikan membina yang dilontarkan pelbagai pihak tidak kira golongan muda ataupun tua.
"Mungkin kritikan itu ada kalanya perit, namun ia perlu dihadam dan dijadikan panduan," ujarnya.
Pemimpin juga perlu menjadi pemimpin yang dekat kepada rakyat yang mana dari segi jurang kehidupan, tindakan dan
Selain itu Mahfuz mencadangkan agar satu kajian dibuat oleh Pakatan Rakyat dengan menumpukan kepada sejauhmana sokongan dan pandangan rakyat terhadap pemerintahan dan prestasi wakil rakyat Pakatan Rakyat.
Hal ini sangat penting bagi melihat sejauhmana kerajaan Pakatan Rakyat benar-benar menepati kehendak rakyat disamping melunaskan apa yang telah dijanjikan sebelum ini.
Namun dalam memperingatkan peri pentingnya kajian itu, kepimpinan pakatan juga tidak boleh alpa dalam mendidik rakyat mengenai perbezaan bidang kuasa antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat.
Pendidikan yang berterusan mengenai bidang kuasa dan had-had kuasa kerajaan perlu dibuat dari semasa ke semasa supaya rakyat tidak terpengaruh dengan propaganda media arus perdana.
"Sebagai contoh isu-isu berkaitan sekolah (di bawah Kementerian Pelajaran), ianya adalah di bawah kuasa kerajaan pusat dan hal ini perlu diterangkan kepada rakyat tentang keterbatasan kuasa kerajaan negeri," katanya.
Terbuka menerima kritikan (bold)
Berbekalkan kepada pengaruh pengundi muda yang dikatakan memberi kesan besar kepada kemenangan, Pakatan Rakyat juga perlu meneliti 'mood' pengundi muda dari semasa ke semasa selain pandangan kelompok ini yang biasanya cukup kritikal.
Sementara itu mengulas mengenai persamaan dan perbezaan tiga parti dalam Pakatan Rakyat seorang pensyarah sains politik di UKM melihat walaupun media memainkan isu 'hudud' sebagai propaganda memecah belahkan PAS dengan DAP namun banyak kesamaan yang tidak pernah ditonjolkan.
Kesamaan ini katanya sebenarnya yang memperkukuhkan kerajaan Pakatan Rakyat sehingga kini walaupun diancam dengan pelbagai serangan media terutamanya media arus perdana.
Sehingga kini pakatan ini mampu bertahan dengan kesamaan yang ada malah kekuatan mereka yang mampu menerima kritikan membuatkan rakyat mula membukan mata kepada Pakatan Rakyat.
"Kita jangan hanya melihat kepada perbezaan sahaja, sebaliknya persamaan antara mereka yang mereka dokong selama ini yang saya rasa berbeza dengan situasi pada pilihan raya 1999," katanya yang juga penganalisis politik.
Namun beliau memperingatkan pemimpin Pakatan Rakyat agar tidak termakan dengan sentimen perkauman yang mula direncanakan pihak tertentu hanya untuk memecahkan kerjasama pakatan tersebut.
Beliau juga memperingatkan pemimpin Pakatan Rakyat akan kesedaran di kalangan pengundi muda pada pilihan raya Mac lalu bukan sekadar kesedaran biasa namun mereka (golongan muda) mahu Pakatan Rakyat membuktikan kelainan dan perubahan berbanding kerajaan Umno/BN.
Hentikan perbalahan (bold)
Sementara itu Timbalan Presiden KeADILan, Dr Syed Husin Ali pula menyarankan agar kepemimpin Pakatan Rakyat berhenti menimbulkan perbezaan dan konflik antara mereka melalui media.
"Saya ingin menggesa dan merayu kepada pelbagai pihak dalam Pakatan supaya berhenti daripada membawa perbezaan dan konflik mereka melalui media terutama yang dikawal oleh BN (Barisan Nasional)," kata Syed Husin.
Sebaliknya, kata beliau, mereka hendaklah duduk bersama dan berbincang bagi menyelesaikan perbezaan dan konflik secara dalaman.
"Mereka (media BN) telah memutarbelit kenyataan sesetengah pemimpin Pakatan (Rakyat) untuk menggambarkan seolah-olah pakatan pembangkang dalm keadaan kucar kacir.
"Sebenarnya, niat mereka adalah untuk memesongkan perhatian orang ramai daripada beberapa krisis dalaman BN dan juga di antara parti komponen di dalam kerajaan sehingga kepada pilihan raya kecil Kuala Terengganu," katanya.
Membincangkan kepada ciri-ciri pemerintahan yang boleh dijadikan contoh pula, Adun Teja, Perak, Chang Lih Kang mahu kerajaan Pakatan Rakyat mengambil Kelantan yang diterajui 'Tok Guru' sebagai contoh pemerintahan.
Lih Kang menyebut bahawa kerajaan pimpinan Tok Guru berjaya menambat hati rakyat dan sehingga kini sokongan terhadap kerajaan Kelantan semakin tinggi.
Justeru baginya kejayaan Tok Guru ini perlu dipelajari oleh Menteri-menteri Besar Pakatan Rakyat yang lain kerana Tok Guru itu sendiri telah menjadi institusi di Kelantan.
Kerajaan Pakatan Rakyat akan terus kekal dan mendapat sokongan berlipat ganda selagi kerajaan ini benar-benar belajar dari pengalaman pahit tahun 1999 dan mengurangkan jarak perbezaan.
Rakyat pastinya ternanti-nanti satu perubahan yang secara total berlaku selepas melihat gagalnya rejim Umno/BN memberi kebajikan secara saksama di kalangan rakyat.
Confidential Document
10 years ago
No comments:
Post a Comment