Wan Nordin Wan Yaacob
Seremban, 2 Januari 2009 (1430h) Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar menggesa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan ketetapan supaya mengenakan sekatan ekonomi ke atas Israel.
Tindakan ini perlu bagi menekan kepimpinan Ehud Olmert agar berhentikan segera membedil rakyat Palestin terutamanya di Gaza, kata Mahfuz.
Beliau berkata demikian dalam responsnya kepada sewaktu mengulas perkembangan terkini isu keganasan rejim Zionis ke atas rakyat Palestin yang berlarutan sejak seminggu lalu.
"Kita mahu negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat tidak lagi melindungi Israel walaupun negara Yahudi itu sekutu kuat Amerika, kita mengharapkan pertimbangan soal kemanusiaan didahulukan dan bukannya soal hubungan kenegaraan," kata Mahfuz.
PAS sendiri melihat situasi di Palestin terutamanya nasib penduduk Gaza sejumlah 1.6 juta dalam keadaan cukup genting, sedangkan pertubuhan dunia termasuk PBB setakat ini lansung tidak bertindak, katanya.
"PBB perlu bertindak dan jangan lagi mengikut telunjuk Amerika sahaja dalam membuat keputusan.Sekatan ekonomi adalah jalan yang mudah untuk memastikan negara Yahudi itu menghentikan kekejaman mereka," tegasnya.
Beliau juga menyeru kepimpinan Persidangan Negara-negara Islam (OIC) segera memanggil satu persidangan bagi memutuskan pelan tindakan segera membantu rakyat di Palestin.
"OIC tidak boleh hanya mengeluarkan kenyataan sahaja, sebaliknya bertindak segera dengan apa juga cara sekali pun," ujar Mahfuz.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan Pemerintah Republik Indonesia, telah memutuskan untuk segera akan mengirimkan bantuan ubat-ubatan berjumlah USD200 ribu kepada Palestin.
Di Indonesia sendiri, himpunan dan kecaman ke atas Israel terus diperhebat oleh kerajaan, Parlimen dan NGO mahupun mahasiswa di sana.
Dalam pada itu Syeikh Al-Azhar, Dr. Muhammad Sayyid Thanthawi menyeru negara-negara Islam untuk "mengerahkan segenap kemampuan mereka" untuk membantu Gaza yang tengah digempur Israel.
"Ini adalah fardhu in bagi setiap umat Islam, baik pemimpin mahupun rakyat biasa. Tidak hanya diam di hadapan bala dan musibah besar ini," kata Dr Muhammad Sayyid Thantawi.
Sementara itu, Mufti wilayah Sidon (Shayda), Lebanon, Syeikh Salim Susan as-Shaydawi, menyerukan masyakarat Lebanon untuk menginfakkan sebagian harta mereka sebagai bantuan yang akan diberikan kepada rakyat Gaza.
Confidential Document
10 years ago
No comments:
Post a Comment