Wan Nordin Wan Yaacob
Pembaharuan atau kelainan jarang sekali berlaku dalam pilihan raya kecil (PRK) tidak kira dimana sahaja atau oleh mana-mana parti sekalipun termasuk sebelum ini di Permatang Pauh.
Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh 28 Ogos lalu hanya menyaksikan calon 'kegemaran' dan 'semasa' sahaja yang dinamakan untuk bertanding.
Tiada perkara 'luar biasa' yang dilakukan samada oleh Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Rakyat kerana BN menamakan Dato' Ariff Shah selaku calon yang sudah dikenali, sementara Pakatan Rakyat khasnya KeADILan menamakan Dato' Seri Anwar Ibrahim yang sangat popular untuk bertanding.
Begitu juga dengan desas-desus calon yang akan bertanding bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu Januari ini apabila PAS dikhabarkan akan mencalonkan samada Naib Presidennya, Mohammad Sabu ataupun beberapa muka tempatan khususnya calon itu adalah lelaki, Melayu dan Islam.
Pastinya keputusan yang bakal dibuat PAS pada perbincangan 21 Disember ini khusus untuk menetapkan calon akan mengutamakan calon yang 'popular', kalangan tempatan atau sangat dikenali selain calon lelaki dan berbangsa Melayu.
Ini mungkin kerana PAS sendiri menyedari Kawasan Parlimen Kuala Terengganu didiami pengundi yang majoritinya Melayu Islam selain mengkaji faktor kekalahan calon sebelum ini (sewaktu pilihan raya umum) di Parlimen Kuala Terengganu.
Sementara Umno/BN pula pastinya akan mencalonkan kriteria yang hampir sama dengan PAS kerana memikirkan soal majoriti pengundi Melayu Islam di Parlimen tersebut.
Seorang pensyarah kanan di sebuah universiti awam yang enggan menamakan dirinya menegaskan hal yang kepada Harakah sebarang kemungkinan calon yang bakal ditampilkan oleh parti-parti yang akan bertanding pada PRK Kuala Terengganu pastinya mengutamakan faktor 'tempatan', 'popular' dan 'Melayu' itu sendiri.
Malah calon-calon bebas yang sudah pun menawarkan diri untuk bertanding semuanya terdiri dikalangan Melayu Islam dan ada nilai ketimuran (samada dari kelantan atau Terengganu sendiri).
Bekas calon bebas yang tewas semasa PRU-12, Maimun Yusof dan bekas calon bebas di Parlimen Rantau Panjang Isma Airfath telahpun mengumumkan kesediaan untuk bertanding.
Setakat ini tidak ada calon beas di kalangan bukan Islam atau bukan Melayu yang menawarkan diri untuk bertanding.
Mengimbau sejarah sebelum ini, PAS pernah menang di Parlimen Dungun melalui calon wanita iaitu Khadijah Sidek pada tahun 1968.
Pastinya setiap pengundi wanita di Parlimen Kuala Terengganu menginginkan samada dua parti besar (PAS dan Umno) yang akan menamakan calon mereka akan menamakan calon wanita.
Tetapi rasionalnya kedua-dua parti ini setakat ini tidakpun membayangkan calon tersebut di kalangan wanita kerana nama-nama yang disebut-sebut bakal dicalonkan kesemuanya lelaki belaka.
Setakat ini Pimpinan PAS ataupun Umno Terengganu tidak menyentuh persoalan jantina, namun sumber Harakah ada menyebut bahawa 'kemungkinan' Umno akan menamakan Senator Nordiana Shafie sebagai calon bagi Parlimen Kuala Terengganu.
Kata sumber, tindakan ini bakal meredakan sebarang perbalahan yang boleh berlaku jika beberapa calon lelaki dalam Umno antaranya Senator Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh ataupun Zuber Embong dipilih menjadi calon.
Khabarnya lagi, kerajaan Terengganu tidak melantik semula Nordiana yang juga Ketua Puteri Umno negeri itu sebagai ahli Dewan Negara.
Melihat kepada bilangan pengundi di Kuala Terengganu, pengundi wanitanya lebih 555 orang dari kaum lelaki, walaupun BN pernah pertaruhkan Nordiana di DUN Batu Burok dan kalah. tetapi itu bukan ukurannya kerana DUN Batu Burok adalah kubu kuat PAS.
Ada yang menyatakan bahawa jika Umno memilih calon wanita, PAS Terengganu juga perlu melakukan pembaharuan pemikiran dengan meletakkan calon muslimat seperti yang dibuat oleh PAS Kelantan, Kedah dan Selangor.
Paling sukar bagi kedua-dua parti besar yang bakal menyertai pilihan raya kecil Kuala Terengganu ini ialah sebarang perubahan untuk meletakkan calon bukan Melayu Islam.
Ini kerana pastinya faktor dasar kedua-dua parti ini yang sedikit sebanyak mempengaruhi keputusan untuk menamakan calon yang 'cocok'.
Bagi Umno dasar Melayu yang kononnya diperjuang sebelum ini pastinya menjadi 'elemen' utama menetapkan calon ditambah pula faktor kemenangan Kuala Terengganu sebelum ini ditangan pengundi Melayu.
Justeru jika PAS berani meletakkan calon bukan Melayu pastinya kesan sampingan perlu difikirkan dan ini hanya akan menjadikan 'buah tangan' berharga kepada Umno untuk membelasah PAS dalam kempen mereka nanti.
Paling besar perubahan dan kelainan yang boleh berlaku dan bakal disaksikan oleh kedua-dua parti ini adalah sebarang kemungkinan calon wanita yang akan ditampilkan.
Samada relevan dengan perkembangan semasa atau ianya hanya rencah dalam coretan politik negara ianya akan terjawab pada 6 Januari nanti apabila semua parti yang bertanding secara rasmi menghantar borang penamaan calon kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Confidential Document
10 years ago
No comments:
Post a Comment