Monday, December 1, 2008

Pencabar Anwar di Permatang Pauh berpaling tadah?

Wan Nordin Wan Yaacob

Belumpun genap setahun usia pilihan raya kecil Permatang Pauh, namun cerita panas sebalik kerancakan gelodak politik di kalangan pemimpin Umno di Bahagian Permatang Pauh mula mengintai arus deras politik tanah air.

Bekas calon Umno/BN di Permatang Pauh, Dato' Arif Shah Omar yang sebelum ini menjadi pilihan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadio tonggak BN menentang Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim dikatakan mula berpaling tadah.

Bermula hanya dengan khabar bahawa beliau ke Shah Alam untuk menghadiri Kongres Tahunan ke lima KeADILan di Stadium Malawati Shah ALam pada 29 November lalu, namun menafikan dalam laporan akhbar sehari sebelum kongres bermula.

Akhirnya pada 30 November lalu beliau sendiri mengakui sedang mempertimbangkan untuk menyertai KeADILan berikutan kekalutan yang kononnya berlaku dalam pentadbiran Umno Permatang Pauh.

Arif sendiri mengakui diperingkat kini, jiwanya 30 peratus peluang beliau menyertai parti pimpinan Anwar selepas mendakwa diketepikan dengan serius oleh Ketua Bahagian Umno Permatang Pauh, Dato' Abdul Jalil Abdul Majid.

Namun beliau sendiri secara jujur menyatakan harus berbincang dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dahulu supaya beliau selesa dengan sebarang keputusannya menyertai Pakatan Rakyat.

Ditanya mengenai sambutan jika beliau menyertai KeADILan, Arif dengan bangga menyatakan pemimpin KeADILan Pulau Pinang juga mempelawa beliau dan mereka mengalu-alukan kehadirannya.

"Tetapi ia bukan keputusan yang mudah, banyak perkara perlu difikirkan dan saya harus menyelesaikan satu per satu."

Mengulas sama ada pergeseran beliau dengan Abdul Jalil yang mengekalkan jawatan ketua bahagian Umno pada Oktober lepas dengan kepemimpinan atasan Umno, Arif Shah berkata beliau akan membawa perkara itu jika beliau ingin meninggalkan parti itu.

Diminta mengulas lanjut sebab-sebab yang mendorongnya melompat kepada parti pembangkang itu, Arif Shah berkata penyalahgunaan kuasa yang didakwa dilakukan Abdul Jalil telah menghalangnya menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.

Arif Shah menguasai Dun Seberang Jaya, dalam bahagian Permatang Pauh, selama dua penggal berturut-turut sementara dua lagi Dun bawah parlimen itu masing-masing dikuasai PAS (Permatang Pasir) dan KeADILan (Penanti).

"Banyak perkara yang saya harus melalui beliau (Abdul Jalil) termasuk di kawasan DUN saya sendiri, saya tidak boleh bertemu dengan pemimpin-pemimpin cawangan," katanya.

"Bagi saya, jika orang memerlukan khidmat saya, tanpa mengira sama ada mereka Melayu, Cina atau India, saya mesti menolong mereka."

Ditanya sama ada PKR menawarkan sebarang jawatan, beliau berkata: "Perkara itu tidak penting, saya perlukan wadah untuk menyalurkan khidmat saya."

No comments: