Wednesday, November 26, 2008

Ahli PAS mahu Tok Guru berkhidmat selagi mampu

Wan Nordin Wan Yaacob

Sekonyong, stesen televisyen dan beberapa akhbar arus perdana menyiarkan laporan berhubung kononnya ada desakan dari kalangan akar umbi supaya Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat bersara.

Laporan turut disusuli dengan isu pertentangan 'puak Erdogan' dan 'puak Muqabalah' yang kononnya membentuk 'puak' dalam PAS yang mengheret parti itu kepada kancah pergolakan dalaman.

Tidak cukup dengan laporan itu, akhbar arus perdana mula melaga-lagakan pimpinan peringkat pertengahan dan muda PAS dalam isu kononnya ada unsur mahu Nik Aziz berundur.

Walhal suara yang kononnya datang dari Adun PAS di Kelantan yang mahu Tok Guru berundur sama sekali tidak kedengaran, malah ia disahkan oleh Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan, Zulkifli Mamat.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Negeri Kelantan, Zulkifli Mamat menafikan wujudnya desakan dari kalangan Adun PAS supaya Menteri Besar itu berundur dari jawatannya.

Malahan, beliau yang juga Adun Pulai Chondong, berkata pihaknya mahukan Mursyidul Am PAS itu agar dipanjangkan umur supaya boleh mentadbir kerajaan negeri lebih lama lagi.

"Sepatutnya Tok Guru (Nik Abdul Aziz) memerintah lebih lama lagi. Tiada pakatan untuk gesa tok guru berundur sama ada secara sulit atau tidak," katanya.

Sependapat dengan Zulkifli, Adun PAS Bukit Tuku, Abdul Fatah Haron meminta pihak yang membuat dakwaan itu agar tampil ke hadapan.

"Tidak ada sebab kami mahukan tok guru berhenti. Tok Guru memang dikenali sebagai bapa perpaduan. Kami tidak mahu dia berhenti," katanya.

Adun Tawang, Hassan Mohamood berkata isu gesaan itu tidak pernah dibangkitkan di kalangan Adun PAS kerana mereka akan menyokong Tuan Guru Nik Abdul Aziz sehingga akhir hayatnya.

"Kita sokong Tok Guru sampai mati. Semua terus sokong," katanya sambil menyifatkan gesaan itu datang daripada pihak luar dan bukan di kalangan Adun PAS.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kubang kerian Salahuddin Ayub pula berkata, parti itu sudah mempunyai barisan pelapis bagi menggantikan Menteri Besar Kelantan.

Namun ujar Salahuddin, buat masa ini perkara itu tidak timbul kerana tidak ada sebab atau desakan untuk Tuan Guru Nik Aziz berundur.

Malah beliau memberitahu, pada pemukiman (Retreat) PAS di Langkawi baru-baru ini, perkara berkenaan tidak disentuh.

Beliau diminta mengulas laporan sebuah akhbar mingguan bahawa ada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS di Kelantan meminta Nik Aziz melepaskan jawatan itu kerana faktor usia dan kesihatan.

Salahuddin berkata, PAS sudah menyediakan pelapis bagi tujuan itu sama ada ianya perlu disegerakan ataupun tidak.

Antara nama-nama yang disebut oleh beliau Dato' Ahmad Yaacob, Dato' Paduk Husam Musa dan Nik Mohd Amar Nik Abdullah.

"Secara peribadi saya lihat tiada isu (NIk Aziz letak jawatan) dan kita tak pernah membincangkannya," ujar beliau.

Katanya, ketika pemukiman atau retreat PAS di Langkawi baru-baru ini bagi membincang hala tuju parti itu, perkara ini juga tidak dibincangkan.

Seorang ahli PAS di Kelantan yang dihubungi menyatakan, rakyat Kelantan khususnya ahli PAS mahu kerajaan negeri terus ditadbir oleh Tuan Guru.

Sejak tahun 1990 lagi, pemerintahan Tuan Guru terus membawa sinar baru dalam kerajaan negeri yang punah ketika diperintah Umno/BN sebelum ini, kata Wan Shuhairi Wan Abdullah.

Malah segala dugaan dan propaganda yang cuba dibawa oleh media pro-BN yang mendakwa kerajaan negeri pimpinan Tuan Guru goyah pada tahun 2004 juga gagal menjatuhkan kerajaan yang mendapat rahmat dan keberkatan ini, katanya.

"Bagi saya, kalau boleh biarlah Tok Guru mentadbir negeri ini selama dia mampu, jika sampai hujung usianya pun saya nak beliau yang mentadbir, ada barakah, kami rakyat Kelantan merasainya," ujar beliau yang juga seorang bekas Graduan IPTA .

No comments: