Tuesday, November 4, 2008

Politik wang punca Ku Li dapat hanya satu pencalonan?

Wan Nordin Wan Yaacob

KUALA LUMPUR, 5 Nov - Pembantu Khas bekas Menteri Kewangan (Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li), Dato' Kamal Amir Kamal Hijaz mendakwa politik wang adalah antara sebab
mengapa Ku Li hanya mendapat satu pencalonan.

Ku Li yang hanya mendapat satu pencalonan daripada Bahagiannya di Gua Musang sah tidak boleh bertanding bagi jawatan nombor satu parti apabila tidak melepasi had
kelayakan yang ditetapkan Umno.

Menurut beliau, permainan politik wang menyempitkan lagi ruang Ku Li lantas gagal mendapat pencalonan yang mencukupi.

Ujarnya, Ku Li sebenarnya kalah kerana tidak mahu mengeluarkan wang kepada para perwakilan bagi mencalonkan beliau.

Sementara itu Kamal Amir dalam satu laporan akhbar internet turut menyatakan wakil dari lebih 50 bahagian Umno yang hendak mengadakan mesyuarat perwakilan, datang menemuinya (Kamal) untuk mendapatkan wang sebelum mesyuarat dijalankan.

Beliau mendakwa ada yang datang meminta RM500 dan ada juga yang mahu bayaran sehingga RM1,500 seorang.

"(Tetapi) saya memberitahu mereka bahawa kami tidak ada wang. Tengku (Razaleigh) tidak mahu mengeluarkan wang untuk mendapatkan pencalonan.

"Tengku hanya menawarkan diri supaya dinilai dan dipilih oleh para perwakilan dan bukannya memberi wang untuk mendapatkan pencalonan," katanya.

Sehingga ini, Dato' Seri Mohd Najib Razak memperolehi 141 pencalonan untuk jawatan Presiden Umno daripada 142 bahagian yang telah mengadakan mesyuarat.

Manakala Razaleigh hanya mendapat satu pencalonan iaitu dari bahagiannya sendiri iaitu Gua Musang yang mengadakan mesyuarat hari Sabtu lalu.


Berikutan itu, Najib yang kini timbalan presiden Umno menang tanpa bertanding jawatan presiden itu dalam perhimpunan yang akan diadakan pada 24 hingga 28 Mac tahun depan.

Sebanyak 50 bahagian Umno lagi akan mengadakan mesyuarat pada hari Sabtu dan Ahad ini.

Kamal Amir berkata, sebanyak 67 bahagian mencalonkan Tengku Razaleigh untuk jawatan Presiden Umno.

Daripada jumlah tersebut, katanya, 66 daripada bahagian tersebut menjalankan pengundian secara angkat tangan.

"Bahagian-bahagian tersebut termasuk di Kelantan. Hanya mesyuarat bahagian Muar (yang turut mencalon Ku Li) Ahad lalu, dijalankan secara undi sulit.

"Jika mesyuarat dibuat secara undi sulit, saya yakin keadaan pencalonan untuk Tengku (Razaleigh) boleh berubah," katanya.

Kamal Amir berkata, kebanyakan mesyuarat bahagian tidak membincangkan usul, sebaliknya perwakilan meninggalkan mesyuarat selepas selesai mengundi.

Ini katanya, seolah-olah perwakilan hanya mahu mengundi dan tidak berminat untuk membahaskan usul seperti dalam mesyuarat perwakilan sebelum ini.

No comments: