Tuesday, November 4, 2008

Sekat bahas, Najib tunjuk belang di Dewan Rakyat selepas menang jawatan Presiden Umno



Wan Nordin Wan Yaacob

Selepas melepasi had kelayakan bertanding, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak baru-baru ini pula secara tidak rasmi menang bagi jawatan Presiden Umno.

Walapun persidangan Umno dan pemilihan jawatannya hanya akan berlaku pada Mac 2009, namun Najib dengan mudah mendahului dengan selesa pencabarnya, Tengku Razaleigh Hamzah yang hanya mendapat satu pencalonan.

Najib boleh dikira menang tanpa bertanding setelah mendapat 140 pencalonan sehingga Ku Li boleh lah dianggap berputih mata sahaja.

Bak kata Penganalisis Politik, Amin Iskandar dengan mendapat 140 pencalonan, tiada sesiapa lagi yang mampu untuk melawan Najib.

Daripada 141 bahagian Umno yang telah bermesyaurat, 140 pencalonan telah diberi kepada Najib dan dalam blognya, Najib mengucapkan terima kasih kepada kepercayaan yang diberi oleh Umno kepadanya.

Maknanya Najib akan menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keenam jika mengikut tradisi Umno dan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi akan melepaskan jawatan tersebut pada bulan March 2009.

Malangnya, baru sahaja dikira menang tanpa bertanding jawatan Presiden Umno, beliau telah menunjukkan belangnya di Dewan Rakyat pada 4 November.

Langkah masuknya ke DEwan Rakyat sebagai Presiden Umno dan sebagai Menteri Kewangan yang baru diiringi isterinya, Datin Seri Rosmah mansor yang duduk bertentangan dengan Najib di bahagian pemerhati.

Atau lebih tepat lagi di bahagian belakang Dato' Seri Anwar Ibrahim dan barisan ahli parlimen Pakatan Rakyat.Tepat jam 4.30, Najib diminta Yang diPertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk bangun bagi memggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2009 (Belanjawan 2009) sejurus Menteri Belia dan Sukan, Dato' Ismail Sabri Yaakob selesai menggulung.

Langkah Najib mulanya nampak lemah lembut dengan memberi salam takzim, namun sebaik sahaja mengatur perenggang kedua perbahasan, beliau bingkas menyatakan beliau tidak akan memberi laluan kepada ahli parlimen untuk mencelah sehingga beliau selesai membacakan cadangan dalam penggulungan Belanjawan 2009.


PAS Kecam keras
Seperti kata Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa (PAS-Bachok) yang mengecam sikap 'tidak demokratik' Menteri Kewangan yang baru itu semalam apabila menutup ruang kepada Pakatan Rakyat untuk mencelah dalam penggulungan perbahasan Belanjawan 2009.

"Kita bukan nak mendengar kuliah ekonomi. Kita mahu dia (Najib) beri penjelasan dan jawab perkara yang dibangkitkan. Dalam masa sejam dia berucap, dia mengemuka fakta baru dan bukannya menggulung perbahasan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan ahli Parlimen Pakatan Rakyat keluar dewan selepas Najib menutup ruang bagi mencelah dalam penggulungan perbahasan.

Sepatutnya Menteri Kewangan datang untuk menggulung perbahasan belanjawan yang telah dibentangkan oleh menteri sebelum beliau dan bukannya membentang fakta-faakta baru, katanya.

Namun katanya, Najib membentang fakta baru yang 'unprecendated' dan tidak membuka ruang kepada ahli Parlimen Pakatan Rakyat untuk mencelah bagi bertanyakan soalan.

Akhirnya dengan kedegilan Najib itu, ahli Parlimen Pakatan Rakyat mengambil keputusan untuk keluar dewan.

"Kalau fakta baru yang dia nak bentang dan bukan ini caranya. Dan hari ini, penggulung dengan bajet. Kita buat walkout kerana ianya bercanggah dengan prosedur Parlimen dan dengan belanjawan itu sendiri.

"Bagi kita sudah buang masa bincang selama dua minggu tentang belanjawan dan hari ini kita diberi angka-angka baru yang kita tidak tahu," katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen.

Beliau menyifatkan tindakan Najib menutup ruang kepada Pakatan Rakyat mencelah dalam penggulungan itu amat menyedihkan bagi permulaan untuk sebagai bakal Presiden Umno.

"Ini kerana Najib tidak berani berhadapan dengan fakta dan cabaran yang berada di hadapan beliau. Beliau tidak berani berani bertanggungjawab dan lebih bersedia. Bagi saya tidak bersedia dengan fakta-fakta yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat selama ini," katanya.

Ujar beliau, tindakan Najib itu jelas menunjukkan kebimbangan kerana pembongkaran demi pendedahan yang terlalu banyak oleh Pakatan Rakyat berhubung skandal Najib.

"Sebab itu dia takut nak berdebat dengan fakta. Dia tiada kredibiliti," tegasnya.

Anwar kata Najib berbohong
Sementara itu, Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim pula turut mengecam tindakan Najib yang tidak mahu memberi ruang kepadanya walaupun Pakatan Rakyat apabila menutup ruang kepada Pakatan Rakyat mencelah.

Bercakap dalam sidang media semalam selepas seluruh ahli Parlimen Pakatan Rakyat bertindak keluar dewan berikutan insiden itu, Anwar mendakwa Najib sebagai 'penakut' berhadapan dengan hujah Pakatan Rakyat.

"Kita tunggu satu jam untuk kesempatan mendapat penjelasan dan inilah kali pertama dalam sejarah Parlimen jawapan menteri yang tidak memberi ruang kepada kami untuk berbahas," katanya.

Najib hanya menyatakan bahawa beliau akan memberi ruang setelah selesai mengutarakan cadangan baru sedangkan Najib sendiri turut menimbulkan isu-isu dalam perbahasan belanjawan sebelumnya.

Beliau menyifatkan bahawa Najib gagal dalam menjadi Menteri Kewangan jika ruang untuk rakyat menyatakan suara dan pandangan ditutup dengan cara yang tidak demokratik.

"Apa yang berlaku hari ini percangghan dalam peraturan 66, sepatutnya Menteri Kewangan datang bagi menggulung perbahasan dan bukannya membentangkan Belanjawan yang baru," katanya.

Walaupun Pakatan Rakyat menggunakan beberapa peruntukan mesyuarat termasuk 37 (b) namun, Najib masih tidak membenarkan ruang mencelah, kata Anwar.

"Yang akhirnya kita keluar bila kita tanya kepada Najib apakah dia benarkan kita persoalkan, dia jawab tidak boleh itu kita tak ada faedah untuk duduk mendengar sahaja," katanya.

Bagi Pakatan Rakyat tidak ada masalah untuk mendengar apa yang dinyatakan Najib, tetapi dengan menutup ruang secara keseluruhan tetapi pada masa yang sama berbohong berhubung belanjawan alternatif Pakatan Rakyat adalah satu yang mengecewakan, katanya.

No comments: