Sunday, October 19, 2008

Zaki Azmi Ketua Hakim Negara, BN Hancurkan Sistem Kehakiman Negara? - AMK

Shamsul Iskandar Mat Akin

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) ingin merujuk kepada berita yang dilaporkan oleh www.malaysianinsider.com dan www.malaysiakini.com bertarikh 16 Oktober 2008 mengenai perlantikan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zaki Tun Azmi sebagai Ketua Hakim Negara yang baru bagi menggantikan Tun Abdul Hamid Mohamed yang akan tamat tempoh perkhidmatannya hari ini.

Walaupun perlantikan tersebut dibuat oleh Majlis Raja-Raja Melayu, tetapi menurut peruntukan Perlembagaan Persekutuan perlantikan seseorang calon Ketua Hakim Negara adalah di atas nasihat Perdana Menteri, yang kini masih dijawat oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.



Agak menyedihkan bagi seorang Perdana Menteri yang akan menghabiskan sisa-sisa perkhidmatannya pada Mac 2009 kerana masih lagi gagal untuk memahami dan memenuhi kehendak rakyat supaya badan penting seperti Badan Kehakiman ini 'dibersihkan' tanpa sebarang keraguan. Umum mengetahui bahawa sebelum Tan Sri Zaki Tun Azmi dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan, beliau merupakan seorang tokoh korporat yang rapat dengan Parti Umno malah mengetuai salahsatu jawatankuasa di bawah parti berkenaan.

Tanpa menafikan 'kebolehan' Tan Sri Zaki Tun Azmi untuk mengisi jawatan Ketua Hakim Negara tersebut, Perdana Menteri, sebagaimana janji-janjinya sejak tahun 2003 sehingga ke hari ini sepatutnya mengambil langkah berani dengan memperbetulkan semula institusi kehakiman dengan tidak mencalonkan Tan Sri Zaki Tun Azmi memandangkan terdapat lebih ramai hakim-hakim Mahkamah Persekutuan yang lebih layak untuk mengisi jawatan nombor satu kehakiman tersebut.



Perlantikan terbaru ini adalah merupakan kegagalan terbaru Perdana Menteri untuk melakukan reformasi menyeluruh sistem kehakiman. Saya yakin ada benarnya telahan rakyat bahawa keazaman dan janji Perdana Menteri untuk menubuhkan 3 suruhanjaya di dalam tempoh 5 bulan pemerintahan beliau adalah merupakan retorik politik semata-mata.



Shamsul Iskandar Mohd Akin

Ketua

Angkatan Muda Keadilan Malaysia

No comments: