Sunday, October 19, 2008

Khairy calon 'underdog' atau 'under boo'

Wan Nordin Wan Yaacob (Analisa)

Lagak menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin mutakhir ini tidak seperti semasa pilihan raya umum 2008, kononnya nampak menyantuni penyokong dan ahli Umno.

Semasa pilihan raya umum ke-12, Khairy cukup emosi, cukup gah dan kelihatan cukup berani berkempen dengan lagak mudanya membungkam idea-idea yang akhirnya ditolak rakyat.

Walaupun menang di Parlimen Rembau dengan penuh 'kontroversi', namun kemenangan itu dikaitkan dengan pengaruh bapa mertuanya, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beberapa bulan selepas pilihan raya yang menyaksikan BN tumbang di lima negeri, Perak, Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang serta hanya tinggl satu kerusi di Wilayah Persekutuan, Khairy mula dicemuh.

Bapa mertuanya turut terheret dengan 'badi' yang dibawa Khairy semasa pilihan raya umum yang dikatakan antara punca mengapa BN kalah teruk.

Hilang majoriti dan hilang lima negeri menjadikan mimpi buruk kepada Khairy yang kononnya bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri termuda.

Kini laluan Khairy semakin bergelora menjelang pemilihan jawatan Ketua Pemuda Umno Mac 2009.

Khairy dilihat sukar untuk mendapat pencalonan bagi jawatan Ketua Pemuda daripada bahagian-bahagian Pemuda Umno yang telahpun bermesyuarat sejak 9 Oktober lalu.

Sementara musuh ketatnya, Dato' Mukriz Mahathir yang memiliki imej bersih, anak kepada negarawan, Tun Dr Mahathir Mohamad mendapat pencalonan 'luar jangka' termasuk dari negeri yang kononnya 'sayang' kepaad Khairy iaitu Negeri Sembilan.

Pemuda Umno Bahagian Jempol umpananya, memberi mesej jelas kepada Khairy apabila pengundian bagi calon jawatan Ketua Pemuda menyaksikan Khairy hanya menerima empat undi sementara Mukriz lebih 100.

Di jelebu, Pemuda Bahagian turut memberikan sokongan padu kepada Mukriz, hingga menyebabkan Khairy terpaksa menyatakan bahawa dirinya 'calon underdog'.

Ramai pemerhati melihat kenyataan Khairy bahawa dirinya 'calon underdog' hanyalah satu helah untuk memukau semula sokongan pemuda Umno bahagian dengan wataknya yang kononnya sudah 'sopan'.

Paling menyedihkan, calon underdog yang kononnya kini mengatur strategi secara senyap sementara bapa mertua menjadi Presiden Umno dan Perdana Menteri tidak sedar 'gelombang tsunami' dalaman Umno mula meledak.

Mesyuarat pemuda Umno di Setiawangsa sendiri dikhabarkan memberi signal sinis kepada Khairy apabila salah seorang ahli pemuda bahagian yang mencalonkan nama ahli Parlimen Rembau itu akhirnya di 'boo'.

Seorang rakan penulis yang juga Ketua Penerangan Pemuda Umno salah satu bahagian di Perak sendiri sebelum ini pernah mengakui bahawa Khairy akan menerima padah yang besar jika berhajat untuk bertanding bagi jawatan nombor satu Pemuda Umno.

Nah hari ini, Khairy sendiri merasai 'natijah' keegoannya sebelum ini yang tidak pernah mengakui kesilapan atau kelemahan.

Bak kata mantan Perdana Menteri, Khairy sukar untuk menang dalam pemilihan kali ini kerana tidak lagi dapat bergantung kepada bapa mertua.

No comments: