Monday, September 8, 2008

Tumbangkah 'kerajaan tiga beranak' 16 September ini?

(Analisis)

Wan Nordin Wan Yaacob

Walaupun mungkin '16 September' bukanlah tarikh yang bakal menjadi tarikh keramat perubahan kerajaan yang dihasratkan Pakatan Rakyat dan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato'Seri Anwar Ibrahim, namun umum tidak lepas dari
membincangkan pro dan kontra peralihan kerajaan.

Pelbagai pandangan disuarakan pelbagai peringkat pemimpin, dari kerajaan hingga pembangkang yang rata-ratanya dilihat begitu teruja untuk mengulas isu '16 September' dan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi paling 'tegas'
menyatakan ia tidak akan terjadi.

Begitupun, Anwar bersama Naib Presiden PAS, Dato' Paduka Husam Musa dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang tegas dengan pendirian bahawa perubahan perlu berlaku, dan proses ke arah pembentukan kerajaan baru itu bagi mereka mengikut landasan
yang telah ditetapkan.

Seperti kata Husam, bahawa perubahan kerajaan kepada kerajaan baru ini adalah amat penting kerana ia adalah berdasarkan kepada 'mood' rakyat yang tercerna ketika ini yang rata-ratanya bosan dengan kelemahan pemerintahan Abdullah.

Abdullah paling jelek di pandangan mata rakyat apabila kerap kali dikaitkan dengan isu pentadbiran berasaskan 'tingkat 4' seperti kata Tun Mahathir Mohamad bahawa Abdullah berpaksikan menantunya, Khairy Jamaluddin.

Namun pandangan Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Mustafa Ali yang kurang yakin dengan tarikh '16 September' tidak perlu dipinggirkan memandangkan Mustafa berpengalaman bersama-sama Perikatan membentuk kerajaan tanpa pilihan raya
(dengan penggabungan) pada tahun 1973.

Namun secara umumnya, PAS sendiri seperti kata Mursidul Amnya, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa parti itu tidak terikat dengan tarikh-tarikh tertentu tetapi komited ke arah perubahan kerajaan menggantikan kerajaan yang ada hari ini.

Menarik jika diselami kenyataan Husam yang menyimpulkan semua ramalan dan rumusan berhubung 16 September dengan sebaris ayat 'Pakatan Rakyat adalah manifestasi rakyat untuk melihat kerajaan yang lebih adil bersih dan baik'.

Pastinya, seluruh mata akan tertumpu kepada tanggal 16 September ini yang jatuh pada hari Selasa bersamaan 15 Ramadan, samada sejarah akan tercipta dengan Anwar akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri atau sebaliknya.

Namun terdengar di telinga penulis, rakyat pastinya mahukan perubahan kerana perubahan sahajalah yang boleh membawa sedikit sinar baru dalam perjalanan hidup mereka yang 'rebah' kerana kepintaran pengurusan ekonomi 'kerajaan tiga
beranak'.

No comments: