Monday, August 18, 2008

Undi pos kekal dalam pilihan raya ke-13

KUALA LUMPUR : Pengundian pos masih relevan dan terus diguna pakai dalam pilihan raya akan datang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz memberitahu persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata mereka yang bertugas di luar negara, petugas pilihanraya, anggota tentera, Pasukan Gerakan Am (PGA), polis dan pasangan serta pelajar dan pasangan yang sedang menuntut sepenuh masa di luar negara dibenarkan membuat pengundian pos.

Sekiranya dihapuskan, ia boleh memudaratkan sistem keselamatan dan ketenteraman awam yang merupakan tanggungjawab pasukan keselamatan negara dan menghalang hak asasi kakitangan serta pelajar di luar negara, katanya dalam satu laporan Bernama hari ini.

"Saya tak rasa ia boleh dimansuhkan tetapi mungkin kaedahnya boleh dimantapkan lagi tetapi untuk dihapuskan tidak boleh kerana ini merupakan hak asasi setiap orang (rakyat) untuk mengundi pada pilihan raya," katanya ketika menjawab soalan Gwo-Burne Loh (PKR-Kelana Jaya) mengenai keperluan pemansuhan undi pos dalam pilihan raya akan datang.

Berhubung jawapan lisan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 7 Mei lepas mengenai undi pos yang tidak dikembalikan tepat jam 5 petang, Nazri berkata ia adalah di luar kawalan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana pengundi yang layak mengundi bertanggungjawab mengembalikan undi pos sebelum jam 5 petang.

"Selepas 5 petang kertas undi pos tidak akan dikira dan akan dianggap kertas undi pos tidak dikembalikan," katanya.

Mengenai petisyen yang banyak difailkan, Nazri berkata ia bukan bermakna bahawa sistem pilihan raya itu pincang, sebaliknya membuktikan proses demokrasi berlaku dengan subur dan sihat serta proses undang-undang akan menentukan kebenarannya.

No comments: