Monday, August 18, 2008

Serang jurufoto, Khalid ragui kenyataan penyokong PKR terbabit

(Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh)

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meragui penyokong PKR terlibat dalam dakwaan serangan terhadao dua jurugambar selepas penamaan calon pilihanraya kecil Permatang Pauh kelmarin.

"Saya kurang percaya kalau benar-benarlah mereka ini penyokong Keadilan dan Pakatan Rakyat sudah tentulah mereka tidak melakukan perkara yang tak sebaik ini," kata menteri besar Selangor.

"Kalau berlaku, saya sendiri akan cuba mencari jalan nak mencari mereka yang melakukan perkara ini."

Dalam kejadian itu, jurugambar Kumpulan the New Straits Times Press, Mohd Sairen Nafis dan Halim Berber dari HBL Press News, Perancis mendakwa mereka dipukul oleh para penyokong PKR semasa menjalankan tugas pada hari tersebut.

Abdul Khalid menambah, PKR termasuk penasihatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa sentiasa rapat dengan media kerana menyedari peranannya terutama jurugambar melaporkan kegiatan parti itu.

Menteri besar itu berkata, lapor agensi berita itu, selalunya jurugambar atau paparazzi dipukul kerana mereka mengambil gambar sesuatu kejadian yang ingin disorokkan kepada pengetahuan ramai tetapi dalam keadaan ini tidak ada apa yang hendak disembunyikan.

Mengulas ura-ura Universiti Teknologi Mara (UiTM) ingin mengambil tindakan undang-undang terhadapnya susulan cadangannya agar institusi pengajian itu membenarkan 10 peratus pelajar bukan Bumiputera menyertainya, Abdul Khalid berkata beliau mengalu-alukan tindakan mahkamah.

Beliau menambah, masyarakat Bumiputera, Melayu dan Malaysia sudah matang dalam perkara ini dan mereka sedar jika cadangan ini dilaksanakan, ia dapat membimbing komuniti tersebut ke arah globalisasi.

"Maknanya negara Malaysia akan dapat bersaing secara berkesan dengan masyarakat luar negara dan dunia akan datang memerlukan perkhidmatan yang mahir.

"Oleh sebab itu setiap guna tenaga dalam negara mesti dipertingkatkan kemahiran mereka, saya rasa cadangan untuk keterbukaan daripada segi pendidikan adalah perlu," Abdul Khalid dilaporkan berkata.

Beliau mengulas kenyataan Naib Canselor UiTM, Datuk Seri Prof Dr Ibrahim Abu Shah yang tidak menolak kemungkinan menggunakan saluran undang-undang bagi mendesak Abdul Khalid memohon maaf di atas kenyataannya baru-baru ini.

No comments: