Monday, August 18, 2008

Umno akan hancur jika gejala rasuah berterusan

Wan Nordin Wan Yaacob

KUALA LUMPUR : Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang Dato' Seri
Adnan Yaakob mendakwa jika kemelut rasuah yang membelenggu Umno dalam
pemilihan kini tidak dibendung hanya akan menyebabkan parti itu musnah.

Adnan berkata beliau bimbang jika gejala itu tidak ditangani secara serius,
ia akan meruntuhkan parti dan tidak mustahil Umno boleh musnah pada
pilihan raya umum akan datang.

Adnan dilapor mencadangkan supaya setiap anggota Umno diberikan hak
untuk memilih pucuk pimpinan parti sebagai usaha menangani gejala politik
wang, yang disifatkannya kini semakin bermaharajalela.

Adnan yang juga Menteri Besar Pahang berkata, gejala itu kini bukan sahaja
berlaku di peringkat tertentu, malah mesyuarat peringkat cawangan yang
sedang berlangsung ketika ini pun turut dicemari.

"Politik wang ini dah semakin "bermaharajalela"... saya fikir sudah sampai
masanya Umno perlu fikir cara (lain) untuk pilih pucuk pimpinan, biar semua
ahli Umno (ada hak untuk) pilih..," katanya.

Beliau memberitahu mendapat banyak maklumat berhubung gejala politik
wang yang sedang berlaku di seluruh negara menjelang pemilihan Umno
Disember ini.

Adnan yang kesal dengan gejala itu berkata beliau mengambil pendirian
untuk tidak bertanding apa-apa jawatan pada pemilihan Majlis Tertinggi
Umno nanti.

No comments: