Sunday, August 17, 2008

Pelik harga minyak global turun, harga minyak Malaysia masih mahal

Wan Nordin Wan Yaacob (analisis)

Akhbar harian pada 18 Ogos melaporkan bahawa harga minyak mentah global mencatatkan trend penurunan hampir sebulan diramalkan terus susut sebanyak 10 peratus untuk berada pada harga antara AS$90 (RM300) hingga AS$100 (RM334) setong dalam tempoh terdekat ini.

Menyorot kenyataan Ketua Penyelidikan Jupiter Securities Sdn. Bhd., Pong Teng Siew bahawa punca utama penurunan harga minyak global itu disebabkan oleh kelembapan ekonomi di Eropah, Amerika Syarikat (AS) dan China.

Malah menurut beliau, permintaan bagi bahan api itu di China telah turun sebanyak tujuh peratus.

Namun, kenayataan ini hanya sekadar kenyataan yang langsung tidak dihiraukan oleh pemimpin negara tatkala mereka sudah berjanji untuk menurunkan harga minyak pada 1 September.

Penulis mendapat maklumat, penurunan yang bakal berlaku tidakpun pada tahap yang membuatkan rakyat terutamanya golongan rendah berlapang dada, sebaliknya hanya kira-kira 10 peratus atau kurang RM 0.30 sen sahaja yang bakal diturunkan.

Tidak seperti semasa kenaikan harga minyak dunia pada tahap tertinggi, pemimpin negara setiap hari memberi kenyataan bahawa kenaikan harga minyak dunia pada tahap tinggi memaksa negara turut menaikkan harga minyak.

Malah pemimpin negara termasuk Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mensanatkan di dada-dada akhbar bahawa kenaikan ini tidak dapat dielakkan.

Berlakulah forum-forum terbuka yang membincangkan isu kenaikan harga minyak, dan pemimpin pertengahan seperti Dato' Ahmad Shaberru Cheek dan Dato' Shahrir Samad digunakan Abdullah untuk menerangkan kepada rakyat rasionalnya kerajaan menaikkan harga minyak secara mengejut.

Namun kini, apabila harga minyak turun pada kadar yang menghampiri sebelum kenaikan tertinggi yang diumumkan PM Jun lalu, pemimpin negara terus membisu seribu bahasa.

Malah mereka kini asyik melayan sandiwara di Permatang Pauh, malah dihangatkan lagi dengan akuan sumpah laknat Saiful Azlan Bukhari atas dakwaan diliwat oleh Anwar Ibrahim.

Isu penurunan harga minyak langsung tidak disentuh walaupun rakyat kebanyakan menanti dan mengharapkan agar satu pengumuman penurunan harga minyak dapat dibuat pada kadar segera.

Rata-rata rakyat kini terus menerus terbeban, ada yang sudah beberapa bulan mengikat perut, mencatu bekalan, memotong perbelanjaan tertentu, mengehadkan perjalanan, mengurangkan belanja sekolah anak, bekerja lebih masa dan membuat peniagaan kecil-kecilan.

Semuanya kerana pengumuman mengejut kenaikan harga minyak yang disusuli dengan kenaikan harga barangan serta perkhidmatan lain yang cukup mencengkam.

Tetapi dua bulan selepas kenaikan harga minyak, kini harga minyak global telah mula turun, namun kerajaan Umno-BN masih tidak menggunakan kesempatan 'turunnya harga minyak' global ini untuk turunkan harga minyak.

Seperti kata Anwar dalam forum isu minyak bersama Shabery bahawa kerajaan yang dipimpin Abdullah ini hanya memikirkan sola keuntungan kepada sanak saudara, tatkala rakyat tertekan, pemimpin Umno-BN terus mengecap nikmat kekayaan dari khazanah negara.

No comments: