Friday, August 15, 2008

Anwar Hormati Pandangan PAS Berhubung Bakal PM Jika Pakatan Rakyat Memerintah

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau menghormati pendirian Dewan Ulama PAS berhubung bakal Perdana Menteri sekiranya Pakatan Rakyat membentuk kerajaan pusat pada 16 Sept ini seperti yang didakwa beliau akan berlaku.

Bagaimanapun, katanya, keputusan pemimpin mana dan dari parti dalam Pakatan Rakyat bakal dilantik Perdana Menteri, hanya akan dibuat oleh pemimpin parti dalam pakatan itu.

"Biasalah bagi penyokong PAS mahu pemimpin mereka dipilih. Tapi kita akan mencapai kata sepakat mengenai perkara itu dengan pemimpin-pemimpin parti terlibat.

"Bagi saya, apa sebenarnya yang mereka inginkan ialah sesiapa sahaja yang jadi Perdana Menteri tidak akan meminggirkan agama Islam sebagai agama rasmi," katanya ketika mengulas pendirian Dewan Ulama PAS bahawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang merupakan calon yang sesuai dilantik sebagai Perdana Menteri jika pakatan terdiri daripada PAS, PKR dan DAP itu berjaya memerintah negara selepas 16 Sept.

Anwar juga berkata Dewan Ulama PAS mendoakan agar beliau menang dalam pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos ini.

No comments: