Monday, August 25, 2008

Halang Anwar, pengundian di Permatang Pauh mungkin ditangguhkan?

Wan Nordin Wan Yaacob

KUALA LUMPUR :Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar mendakwa terdapat kecenderungan Barisan Nasional (BN) untuk menangguhkan pengundian dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh dalam masa beberapa jam lagi.

Ini kerana melihat kepada corak kempen yang dilakukan jentera BN dan kecenderungan media untuk membuat laporan seolah-olah berlaku tindakan ganas di sana, kata Mahfuz hari ini.

Ujarnya, BN melihat bahawa pengundi di Permatang Pauh akan memberi sokongan penuh kepada calon Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim yang cukup terkenal di sana sejak 1982 lagi.

Justeru melihat kepada perkembangan kempen yang rata-ratanya menyebelahi Anwar, beliau merasakan BN mungkin akan berbuat sesuatu bagi mengagalkan Ketua Umum KeADILan itu masuk menang dan masuk ke Parlimen pada 28 Ogos ini.

"Saya melihat kepada kecenderungan provokasi yang dilakukan dengan laporan adanya bom dan sebagainya seolah-olah melihat berlakunya keganasan, walaupun sebenarnya tidak berlaku sedemikian," ujarnya.

BN sudah pasti mengetahui kekuatan Anwar di Permatang Pauh sebagai kawasan tradisinya, dan untuk menghalang Anwar dari memenangi pilihan raya kecil ini, BN akan menggunakan segala macam strategi, dakwanya.

Justeru beliau mengharapkan agar kerajaan terutamanya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menersukan proses pembuangan undi yang akan berjalan esok, Selasa 26 Ogos.

Permatang Pauh merupakan kerusi tradisi Anwar selama 17 tahun sejak memenanginya pada 1982 atas tiket BN. Kali ini Anwar akan menentang calon BN, Dato' Arif Shah Omar Shah dan calon Akim, Hanafi Mamat.

Namun sejak 1998, kerusi itu disandang oleh Presiden KeADILan, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menguasainya selama tiga penggal sewaktu Anwar dipenjarakan pada 1999 dan 2004.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman menyatakan seramai 58,459 pemilih termasuk 490 melalui pos layak membuang undi.

Daftar pemilih yang digunakan dalam pilihan raya tersebut dikemaskinikan sehingga 31 Julai, katanya.

Permatang Pauh merupakan satu daripada 13 kersui Parlimen di Pulau Pinang, memang 'panas' sejak 1999.

Majoriti pengundi kawasan ini terdiri daripada orang Melayu yang merupakan 68.5 peratus atau 40,039 daripada 58,449 pengundi kawasan itu, diikuti oleh kaum Cina seramai 14,489 orang atau 24.79 peratus dan India 3,581 orang (6.3 peratus) serta lain-lain 240 orang (0.41 peratus).

Kerusi Parlimen Permatang pauh meliputi tiga kawasan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

Kerusi Dun Seberang Jaya, yang diwakili oleh Dato' Arif Shah Omar Shah
daripada BN, mempunyai 22,678 pengundi iaitu Melayu 14,163 orang (62.36 peratus), Cina 5,436 (23.97 peratus), India 2,978 (13.13 peratus) dan lain-lain 122 (0.54 peratus).

Kerusi Dun Permatang Pasir yang diwakili Hamdan Abd Rahman dari PAS mempunyai 20,350 pengundi iaitu Melayu 14,715 orang (72.31 peratus), Cina 5,278 (25.94 peratus), India 328 (1.61 peratus) dan lain-lain 29 (0.14 peratus).

Kerusi Dun Penanti, yang diwakili oleh Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Mohammad Fairus Khairuddin dari KeADILan mempunyai 15,421 pengundi iaitu Melayu 11,181 orang (72.51 peratus), Cina 3,776 (24.49 peratus), India 375 (2.43 peratus) dan lain-lain 89 (0.57 peratus).

Pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, Wan Azizah mengalahkan calon BN Dato' Pirdaus Ismail dalam pertandingan satu lawan satu dengan majoriti 13,388 undi.

Namun, 31 Julai lalu beliau mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli Parlimen Permatang Pauh yang membolehkan pilihan raya kecil diadakan.

No comments: