Thursday, August 28, 2008

Kemenangan Anwar cemaskan pelan peralihan kuasa Najib-Abdullah 2010

Wan Nordin Wan Yaacob
(analisis)

Pastinya tiada siapa yang menyangka, pilihan raya kecil Permatang Pauh akan berakhir dengan satu lagi kemenangan besar kepada Pakatan Rakyat melalui Dato' Seri Anwar Ibrahim dan ia umpama perulangan 'tsunami politik' 8 Mac 2008.

Namun kini paling lemas dengan kemenangan itu pastinya Pengarah Kempen Pilihan Raya Kecil BN di Permatang Pauh, Dato' Seri Najib Tun Razak yang terkena dengan permainan halus Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Siapa menyangka atau menduga, kempen di Permatang Pauh sebenarnya 'lubuk malang' yang disiapkan Abdullah untuk 'sparring partnernya' Najib yang setia menanti pelan tersebut.

Imej buruk mula bergelandangan disekitar Najib tatkala beliau telah diheret dengan dakwaan terbabit dalam skandal Altantuya Shaariibuu, dan sumpah laknah Saiful Bukhari Azlan sekali lagi menambah beban kepada Najib.

Najib sedetikpun tidak tahu perancangan 'halus' Abdullah ini (memangsakan Najib dengan kempen liwat) yang akhirnya akan menjahanamkan periuk nasi Najib.

Bak kata pepatah, 'sudah jatuh ditimpa tangga' begitulah nasib yang mengiringi perjalanan politik Najib tanpa beliau sedar musuh utama beliau berada dalam partinya sendiri.

Khairy Jamaluddin pastinya orang yang gembira dengan kegagalan Bn di Permatang Pauh dan beliau sendiri adalah penyumbang kepada kegagalan itu dengan siri provokasi kempen melampaunya yang membunuh keyakinan rakyat kepada BN.

Anwar adalah musuh utama yang berada diluar BN yang boleh dilihat secara jelas, namun musuh yang berada kelompok 'tingkat 4' Putrajaya sebenarnya adalah pihak yang boleh menghancurkan Najib dalam sekelip mata.

Seperti kata ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution bahawa pelan parlihan kuasa antara Najib dan Abdullah lebih samar dan bakal tidak menjadi kenyataan dengan duduknya Anwar sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Kini mungkin Najib perlu memikirkan sejauh mana Abdullah sebenarnya kasih kepada beliau tatkala kasih Abdullah sebenarnya hanya kepada anak menantunya sahaja selain isteri barunya, Datin Seri Jeanne Abdullah.

Najib sendiri perlu merangka strategi baru bagi menentang Abdullah dalam pemilihan Umno Disember ini sebagai jalan selamat beliau menuju Putrajaya sebelum Anwar menjamah sedap kerusi empuk Abdullah dalam masa terdekat.

No comments: