Sunday, February 5, 2012

PAS dalam landasan terbaik capai kemenangan di Negeri Sembilan!




Gendang pilihan raya umum ke-13 semakin hampir.Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak sendiri tidak senang duduk dengan hampur setiap minggu turun padang bertemu dengan jentera BN di setiap negeri.Begitu juga persediaan di peringkat Pakatan Rakyat, pelbagai program gempur pilihan raya telah diadakan sebagai suatu persediaan untuk menghadapi saat-saat genting pilihan raya.Di Negeri Sembilan, PAS dan Pakatan Rakyat negeri ini juga telah memulakan gerak kerja pilihan rayanya, dan terbaharu, mereka telah melancarkan Manifesto Pakatan Rakyat pada 15 Januari lalu.Ia dilihat sebagai mendahului dan mungkin ada strateginya.Bagi membicarakan soal persiapan pilihan raya dan beberapa isu mengenai manifesto, Wartawan Kanan Harakah, WAN NORDIN WAN YAACOB bersama Wartawan Negeri, FAIZ ABDULLAH menemui Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Mohd Taufek Abdul Ghani yang juga merupakan Adun Paroi di Pusat Khidmat Dun Paroi dekat Taman Tasek Jaya pada 4 Februari lalu.Ikuti butiran wawancara berikut.

HARAKAH : Assalamualaikum Yang Berhormat Mohd Taufek, boleh YB ceritakan serba lengkap bagaimana perkembangan gerak kerja pilihan raya PAS Negeri Sembilan dan kerjasama dengan parti dalam Pakatan Rakyat di sini terutamanya selepas Manifesto Tonggak Nan Sembilan dilancarkan 15 Januari lalu?

MOHD TAUFEK : Saya kira persiapan PAS dan PR Negeri Sembilan bagi berdepan dengan pilihan raya umum ke-13 ini dan dikhabarkan dalam masa terdekat ini, bagi saya persiapan ini sepanjang penglibatan saya dalam PRU sejak menjadi Ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan dahulu lagi, saya kira kali ini adalah antara yang terbaik termasuk dalam soal kerjasama dengan parti dalam PR itu sendiri. Jentera PAS di peringkat negeri ini sendiri saya telah gerakkan terutamanya Jabatan Pilihan Raya Negeri (JPN) sebaik sahaja saya diamanahkan menjadi Pesuruhjaya PAS Negeri selepas Muktamar, Jun tahun 2011 yang lalu.Menggerakan JPN ini menjadi agenda pertama saya kerana saya mengambil perhatian struktur JPN negeri ini sangat penting untuk kita berdepan dengan situasi pilihan raya.saya telah merombak struktur JPN itu sendiri dan melantik Pengarah dan timbalan yang baharu yang tidak akan terbabit menjadi calon atau bakal calon supaya nanti semasa sebelum dan selepas pilihan raya, mereka ini boleh mengawasi dan menjalankan tugasan mereka dengan baik tanpa gangguan.Kita tidak mahu lagi, mereka ini menjadi calon dan menyebabkan banyak kerja terganggu sewaktu pilihan raya. pengalaman kita yang lalu membuatkan saya bertindak demikian, kita tidak mahu pengarah dan timbalan hilang semasa pilihan raya kerana mereka menjadi calon yang bertanding.Saya juga memilih mereka ini (JPN) dikalangan orang muda dan mampu menjalankan tugas mereka sebelum, semasa dan selepas pilihan raya.Kita mahu mereka ini menumpukan sepenuhnya perhatian kepada kerja-kerja pilihan raya untuk kita mencapai kemenangan.Bagi saya JPN kita ini berada pada landasan tepat dan betuliaitu landasan ke arah kemenangan.Saya boleh berkongsi maklumat ini dengan Harakah bahawa JPN Negeri Sembilan ini telah membuat lawatan ke setiap Dun tumpuan yang kita sasarkan akan menang.Kita sekarang ini bukan sekadar turun ke Majlis Tindakan Dun (MTD) sebaliknya telah mengkerahkan hingga Unit Peti Undi (UPU) untuk bergerak dan mempastikan operasi berjalan dengan lancar.Saya yakin dengan maklumat yang kita ada bahawa banyak UPU yang telah memulakan operasi mereka sejak kebelakangan ini.Inilah usaha yang kita buat, dan motto yang kita pegang ialah jika gerak kerja kita mantap, tersusun dan berada pada tahao terbaik, tidak sama seperti gerak kerja semasa PRU-12, saya yakin kita akan dapat keputusan yang jauh lebih baik (PRU-13) berbanding PRU-12, sebaliknya jika gerak kerja kita setakat sama seperti PRU-12, saya kira samada keputusannya sama atau semakin teruk.Sehubungan itu, saya menekankan soal pentingnya menggerakkan jentera dengan lebih awal dan mempastikan JPN ini benar-benar mampu melakukan tugasan mereka sejak daripada sebelum hingga tamat pilihan raya.Kita sekarang ini sedang dalam pecutan terakhir, kita dah buat persiapan yang mantap.Calon-calon juga saya dah buat pemeriksaan, mereka ini telah turun ke padang seperti hari ini (4 Februari), Dr Rosli Yaakob telah turun padang ke kawasannya bagi bertemu dengan pengundi, mengintai armalah dan turun ke pasar sehari.Ini telah dilakukan sejak beberapa bulan lalu dengan mereka memperuntukkan hari Jumaat, Sabtu dan Ahad untuk turun padang.Bakal calon bertemu dengan pengundi, ini kita gerakkan awal, di Senaling dan beberapa tempat lain.Saya sendiri akan turun walaupun saya tidak terlibat dengan JPN, sebab ini arahan kita agar jumpa rakyat, edar risalah dan program memperkenalkan calon kepada rakyat.

Bagaimana gerak kerja bersama di peringkat Pakatan Rakyat?

MOHD TAUFEK : Di peringkat PR pula kita ada Majlis Pimpinan PR Negeri Sembilan sejak zaman Pesuruhjaya yang sebelum ini iaitu saudara Zulkefly Mohammed Omar lagi, cuma saya teruskan kelangsungannya.PR Negeri Sembilan yang menariknya kita menjadi negeri paling awal memperkenalkan manifesto pilihan raya untuk pilihan raya umum ke-13.Kita telah melancarkannya pada 15 Januari lalu di Dataran Gemas dan disambut baik oleh rakyat Negeri Sembilan.Kita juga telah mencetak dan mengedarkan manifesto ini untuk dihadamkan oleh rakyat lebih awal lagi.Untuk manifesto kita telah bersiap sejak bulan Ogos tahun lalu dengan memanggil semua pihak termasuk tokoh akademik pakar ekonomi, tokoh adat dan sebagainya untuk menghasilkan manifesto sedemikian rupa.Menariknya impak kepada rakyat mereka yakini manifesto ini lebih praktikal kerana mereka boleh bandingkan dengan neheri yang telah kita menang,Ini bukti jelas manifesto ini bukan sekadar tarik undi tetapi benda yang lebih berjaya kita lakukan di negeri PR.Kita buat dalam pelbagai bahasa Inggeris, Melayu, India dan Cina.Kita ada program turun padang terangkan kepada rakyat mengenai manifesto ini secara terus kepada rakyat.

Mengapa umum awal?

MOHD TAUFEK : Diantara perkara yang kita pelajari dalam beberapa pilihan raya umum yang lalu ialah masalah menerangkan manifesto jika ianya dilancarkan semasa pilihan raya kerana biasanya rakyat sukar untuk menghadam dan memahami apa yang kita persembahkan, ditambah lagi dengan provokasi dan propaganda media massa yang memihak kepada Umno-BN, kita tidak sempat untuk memberikan rakyat masa yang cukup untuk mempertimbangkan manifesto kita.Sebab itulah, kami di Negeri Sembilan mengambil keputusan untuk melancarkannya lebih awal berbanding negeri-negeri lain.Kajian yang kita dapat ada baiknya manifesto ini dikeluar awal dan kesannya kepada kerajaan memerintah, termasuk apa yang kita gariskan dalam manifesto kita iaitu gaji Guru Kafa yang sekarang ini kerajaan Negeri Sembilan bayar sekitar RM800 sebulan, dan jika ditolak KWSP guru hanya memperolehi sekitar RM750 sahaja, jadi kita tawarkan RM1000, dan kita dengar kerajaan negeri akan naikkan semasa pilihan raya ini, jadi ini menguntungkan rakyat, kita mendesak dengan cara membentang manifesto, dan kemudiannya kerajaan negeri yang ada hari ini terpaksa bertindak dengan mengekori apa yang kita bentangkan.Yang penting rakyat dapat hak mereka, guru Kafa mendapat pembelaan.Bila rakyat baca dan nilai manifesto ini lebih awal, mereka akan dapat mengetahui apa yang mahu kita lalukan sekiranya kita menerajui kerajaan Negeri Sembilan.Kita juga boleh sebar luaskan manifesto ini sebelum pilihan raya, manifesto ini adalah senjata utama tawan hati rakyat disamping isu-isu kepincangan kerajaan Umno-BN yang kita dedahkan melalui media kita.

Bagaimana dengan gerak kerja turun padang bersama dengan komponen PR yang lain?

MOHD TAUFEK : Sebenarnya apa yang kita telah buktikan dalam pelancaran manifesto ini program PR secara bersama tiga parti (PAS, DAP dan KeADILan),Kita lihat pertamanya ia disusun rapi hingga berjaya tarik perhatian semua lapisan masyarakat.Keduanya kosnya kita dapat tanggung bersama dan berlaku apa sahaja kita dapat atasi bersama.saya kira itu langkah pertama, dalam program turun padang pula nanti wakil ketiga-tiga parti akan bersama dalam turun padang, ceramah dalam tiga bahasa Melayu, Cina dan India, target kita adalah untuk semua rakyat.Dalam tangani isu semasa yang dibangkit rakyat, seperti isu Dato' Dr Ng Yen Yen yang membangkitkan isu sokongan kaum Cina kepada pas bersifat sementara, tetapi yang jawab dalam Sinar Harian hari ini (4 Februari) ialah YB Loke Siew Fook (Pengerusi DAP Negeri Sembilan), maknanya ini suatu kerjasama dalam menjawab isu, sedangkan isu itu dihadapkan kepada PAS.Kaedah kita menangani isu dengan cara ini, begitu juga dalam isu manfiesto ini, Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato' Seri Utama Mohammad Hassan menuduh bahawa Pakatan Rakyat menceduk idea BN, tetapiu kita arahkan Pemuda PR ajak Mohammad Hassan berdebat, dan hari ini nampaknya Mohammad Hassan tidak berani untuk berdebat.Ini kaedah kita menangani serangan musuh secara bersama. Kita tangani bersama semua isu, dan dalam bebeapa program kita semua bersama dengan masyarakat agar pengundi nampak kita benar-benar bersedia jadi kerajaan.

Apa faktor besar yang meyakinkan YB bahawa PR boleh menjadi kerajaan dalam PRU-13 ini di Negeri Sembilan?

MOHD TAUFEK : kelenbihan negeri ini ialah kedudukan komposisi kaum yang agak kepelbagaian, banyak kawasan pengundi campuran yang agak besar seperti di Dun Paroi, di Klawang, Gemencheh dan Chembong yang mana majoriti Melayunya sekitar 60 ke 70 peratus dan bukan Melau antara 30 ke 40 peratus.Kelebiuhan kerusi ini diketahui masyarakat bahawa kaum Cina banyak menyokong PAS dan Pakatan Rakyat, dan kita yakin sokongan yang mereka berikan pakad pilihan raya umum yang lalu akan meningkat dan membawa kelebihan kepada kita.Namun dalam masa yang sama, kita terus menumpukan undi Melayu dengan menekankan beberapa aspek penting membabitkan masyarakat Melayu termasuklah dalam kita merencanan Manifesto Tonggak Nan Sembilan.Dalam manifesto itu, kita telah tekankan soal orang Melayu, soal adat dan juga masalah tanah adat yang membelenggu rakyat di Negeri Sembilan ini dimana kerajaan membuat pembangunan tanpa memikirkan soal hak tanah adat.Semuanya kita sebutkan dalam manifesto. Selain itu, kita juga nampak peluang sokongan yang besar di kawasan Felda dengan peranan yang dimainkan Persatuan Anak-anak Peneroka Kebangsaan (ANAK) pimpinan Mazlan Aliman.Anak sendiri telah mengambil dua Dun angkat iaitu Dun Serting dan Gemencheh untuk menjana kemenangan dengan isu-isu Felda.Saya nampak peluang menang sebenarnya cerah kerana kita hanya dipisahkan dengan empat kerusi sahaja dalam pilihan raya umum yang lalu untuk menerajui Negeri Sembilan, justeru dengan gerak kerja yang jauh lebih terarur, saya yakin kita berada dilandasan yang sangat baik untuk menerajui negeri ini.


Berapa banyak kerusi yang menjadi sasaran PAS untuk menang dalam PRU-13?

MOHD TAUFEK : Sejak selepas PRU-12, PAS Negeri Sembilan telah mengadakan post mortem membedah kegagalan kita menang dalam pilihan raya tersebut, dan kita telah berjaya mengenal pasti beberapa kawasan yang kita sebenarnya mampu mencapai kemenangan dengan usaha yang lebih.Justeru saya merasakan ada 8 kerusi yang kita tumpukan untuk kita menang disamping menggerakkan jugga kerusi-kerusi lain agar ianya menjadi kemenangan luar jangkaan.Setakat ini, semua kawasan sasaran kita ini telah digerakkan jenteranya semaksima mungkin dan kita yakin, jika semuanya lancar, kemenangan akan menyebelahi kita.

Macam mana pula dengan calon yang bakal ditampilkan, trend hari ini, rakyat mahukan orang muda, dan Umno sendiri katanya akan membariskan calon muda?

MOHD TAUFEK : Saya boleh sebutkan majoriti calon kita bukan sahaja calon yang baharu tetapi juga yang muda, umurnya antara 40-an untuk kita kemukakan kepada rakyat Negeri Sembilan untuk kita tarik sokongan pengundi muda.Saya kira faktior calon ini juga agak penting dalam menjana kemenangan, disamping gerak kerja.Kita ada calon yang sangat dikenali masyarakat, bekas imam, bekas pegawai kerajaan, pengurus bank dan sebagainya, kita sangat kritikal dalam memilih calon.

Pesanan YB kepada petugas kita disetiap UPU, MTD dan Parlimen?

MOHD TAUFEK : Saya menyeru agar semua petugas PAS Negeri Sembilan, saya rayu supaya sudah sampai masanya setiap kita melaporkan diri ke markas dan MTD atau UPU untuk turut serta membantu dalam gerak kerja.Jangan tunggu saat selepas pembubaran Dun atau Parlimen untuk bertindak.Saya juga merayu sumbangan kewangan dan logistik yang boleh diberikan, untuk gerakkan jentera kita,.Saya yakin semua pihak banyak turun padang untuk bertemu rakyat, sampaikan mesej kita kerana kita tiada medium media massa yang luas seperti Umno-BN.Ingat juga pesanan Tok Guru Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat agar kita semua membanyakkan doa dan munajat sebab itulah senjata orang beriman.Kita perlu ingat bahawa musuh tidak akan duduk diam untuk mereka kekalkan kuasa lebih-lebih lagi mungkin ada strategi mereka yang di luar kotak pemikiran kita, sebab itulah kita kena berdoa, sebab saya yakin kita merancang, mereka merancang, tetapi perancangan Allah itu maha hebat.

1 comment:

tungkaran hati.blogspot said...

penyokong/pengundi PAS tidak akan memberikan kemenangan selagi PAS bekerjasama dengan DAP/PKR. Kembalikanlah perjuangan asal PAS!