Monday, December 19, 2011

SPR harus 'demonstrasi' penggunaan dakwat kekal - Salahuddin

WAN NORDIN WAN YAACOB

KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) harus menguji dan mengadakan 'demonstrasi' penggunaan dakwat kekal sebelum iaya digunakan dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Demikian kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub kepada Harakah ketika diminta mengulas kenyataan terbaharu SPR pada 20 Disember lalu mengenai penggunaan dakwat kekal dalam PRU-13.

"PAS dan Pakatan Rakyat secara prinsipnya bersetuju dengan penggunaan dakwat kekal.Namun SPR harus memanggil kesemua parti politik untuk menunjukkan kaedah penggunaan dakwat kekal, selain memberi peluang kepada parti-parti politik melakukan ujian secara kimia terhadap dakwat yang digunakan," ujarnya yang kini berada di Sabah dalam rangka lawatan kerja parti.

Mengulas lanjut, beliau berkata, SPR juga harus mempastikan agar dakwat yang sama digunakan semasa ujian akan digunakan semasa pilihan raya.

Ujar Salahuddin, Pakatan Rakyat juga harus menggunakan khidmat pakar-pakar kimia yang ada untuk menguji ketahanan dakwat yang digunakan.

Sementara itu, Salahuddin yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian mahu, SPR bukan sekadar tertumpu kepada persoalan dakwat kekal, sebaliknya tujuh lagi tuntutan Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) dilaksanakan.

Dalam masa yang sama PAS menuntut janji Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak dalam melaksanakan reformasi pilihan raya melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC).

"Najib tidak harus membubarkan Parlimen sebelum semua reformasi ini dilaksanakan, jika tidak rakyat akan lihat ianya suatu pembohongan sahaja," katanya.

Sementara itu, Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) mengingatkan SPR tidak mengubah keputusannya untuk melaksanakan dakwat kekal sepertimana berlaku pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.

Setiausaha Agungnya, Saifuddin Nasution berkata, pada ketika itu, SPR mencadangkan dakwat kekal, tetapi menarik semula keputusan berkenaan tiga hari sebelum PRU.

Menyambut baik keputusan terbaru itu, ahli Parlimen Machang itu berkata, Majlis Fatwa Kebangsaan pada Ogos 2007 turut mendapati dakwat itu tidak mengandungi bahan yang diharamkan syarak.

“SPR sebenarnya tidak lagi berdepan dengan halangan kerana Jawatankuasa Pilihan Raya (PSC) sendiri telah menyokong, malah Majlis Fatwa telah pun memberikan kenyataan. Kita harap tiada lagi perubahan terhadap keputusan SPR kali ini,” kata Saifuddin.

Hari ini Bernama melaporkan SPR memutuskan menggunakan dakwat kekal ‘silver nitrate’ iaitu dakwat yang berlainan daripada dakwat kekal yang disyorkan sebelum ini, pada PRU-13.

Pengerusi SPR turut mengumumkan undi pos masih dikekalkan namun pengundi terbabit perlu memohon kepada pegawai pengurus pilihan raya.

Menurut Tan Sri Abdul Aziz Yusof, kesemua perkara berkenaan adalah antara cadangan yang dikemukakan PSC berhubung dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya.

No comments: