WAN NORDIN WAN YAACOB
Analisis
Sudah agak lama PAS tidak memiliki tokoh yang mampu menggegarkan massa dengan gerakan 'agresif' selepas kemasukan tokoh-tokoh akademia yang menggerakkan PAS secara 'ilmuan'.
Sejak tahun 1998 apabila tercetusnya Reformasi sebaik pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim dari medan politik Umno selaku Timbalan Presiden dan Timbalan Perdana Menteri, Anwar menguasai suasana.
Walaupun sebenarnya dukungan perjuangan ketika itu diwarnai oleh kelibat Almarhum Presiden PAS, Dato' Fadzil Mohd Noor, namun umum melihat Anwar menguasai massa dengan isu kezaliman ke atasnya.
Akibatnya, Pilihan Raya Umum 1999 menyaksikan Umno-BN hampir tumbang di kawasan Melayu dan Barisan Alternatif (BA) mula mewajah suasana politik ketika itu.
Selepas isu pemecatan Anwar 'suram' sekitar tahun 2004 dan pembangkang tewas di beberapa Parlimen serta jatuhnya kerajaan PAS di Terengganu, pilihan raya umum 2004 memperlihatkan kononnya kebangkitan semula Umno-BN dibawah Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Begitupun, panas yang dibawa Abdullah tidak lama, hujan meniti di sepanjang tahun 2007 hingga 2008 apabila pentadbirannya diselubungi karenah menantunya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang tidak disenangi kawan dan juga lawan.
Kerajaan Umno-BN pimpinan Abdullah hampir-hampir 'gugur' pada pilihan raya umum 2008, dan hanya diselamatkan dengan kelebihan menang bagi kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak.
Kejayaan pembangkang pada PRU-2008 dikatakan bukan kerana pembangkang terlalu kuat, sebaliknya rakyat cukup marah dengan kepimpinan Abdullah yang lemah.
Cuma ada penganalisis yang melihat, Himpunan Aman Bersih Pertama pada tahun 2007 yang dikendalikan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (ketika itu Naib Presiden PAS) sedikit sebanyak memberi impak kepada kemenangan Pakatan Rakyat pada PRU-2208.
Walaupun ketika itu Anwar turut bersama pimpinan pembangkang yang lain seperti Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang, namun mereka bukanlah faktor besar yang menumbangkan Umno-BN di Perak, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang.
Namun selepas daripada terbentuknya kerajaan Pakatan Rakyat terutamanya di Perak, muncul seorang tokoh dikalangan pimpinan PAS yang amat disenangi oleh pelbagai kaum iaitu, Dato' Seri Mohammed Nizar Jamaluddin yang juga Menteri Besar Perak ketika
itu.
Kemunculannya cuba dibayangi oleh media pro-Umno dengan isu-isu pentadbirannya yang kononnya menjadi kuda tunggangan DAP.Namun populariti Nizar tidak kekal lama, serangan dan perancangan jahat Umno-BN menjatuhkan kerajaan PR di Perak berjaya akhirnya dan kerajaan Nizar ranap dengan rampasan kuasa pada Februari 2009.
Lewat dari isu rampasan kuasa itu, Pakatan Rakyat seterusnya diserang dengan pelbagai isu termasuk yang terdahulu dengan kes fitnah liwat membabitkan Anwar dengan bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan; kemudiannya dengan isu fitnah video seks Anwar seterusnya agak sedikit membantutkan gelombang rakyat untuk bersama Pakatan Rakyat.
Awal tahun 2011, Bersih 2.0 mula diwarnakan kembali oleh aktivis yang kali ini dikatakan bebas pengaruh kepartian.Bersih 2.0 dikepalai Dato' Ambiga Sreenevasan, dan dalam mewarnai sokongan rakyat, Mat Sabu sekali lagi menjadi salah seorang penggempur untuk menarik sokongan rakyat.
Mat Sabu antara watak penting dalam mencari dan menarik sokongan rakyat berhimpun pada 9 Julai 2011.Mat Sabu mendapat tempiasnya kerana beliau antara watak yang
disekat polis dengan kaedah yang sangat tidak bertamadun dengan beliau dilanggar sebelum ditangkap pada hari tersebut.
Kemudiannya, Mat Sabu cuba digambarkan oleh media arus perdana sebagai 'pembohong' kononnya beliaulah yang merempuh pajero polis.
Namun polemik samada Mat Sabu melanggar atau dilanggar hingga kini masih tidak selesai.Begitupun kuat isu yang dihadapkan Mat Sabu dalam kes Bersih 2.0, ianya tidak mengemparkan.
Tanggal 27 Ogos 2011, Nama Mat Sabu meletus bagaikan bom yang jatuh ke Hiroshima dan Nagasaki sewaktu perang dunia ke-dua.
Ucapan Mat Sabu dalam isu Mat Indera menarik minat terhadap sejarah di kalangan rakyat Malaysia.
Hal ini diungkap oleh Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, Profesor Dato' Paduka Mohamad Abu Bakar yang menganggap tafsiran berhubung kemerdekaan dan pejuangnya tidak bersifat mutlak kepada mana-mana pihak.
Dengan menggunakan istilah Sabuisme, Mohamad menyifatkan polemik berhubung isu kemerdekaan adalah ‘kontroversi yang amat sihat’.
Sabuisme melonjakkan minat sejarah di kalangan rakyat Malaysia. Ini tidak akan berlaku tanpa penekanan bertubi-tubi oleh sesetengah pihak.
Penggalian sejarah adalah proses berterusan. Jika Mat Indera dahulunya dianggap sebagai pengkhianat, tetapi tidak pada hari ini.
Sabuisme telah mempopularkan Mat Indera dan juga minat masyarakat dalam menggali semua tafsiran sejarah, yang mana hak atau yang mana 'halftruth' (separa benar).
Kini, gelombang pemikiran Sabuisme meledak dalam arus massa, Sabuisme menjadi topik besar dalam masyarakat dan ia akan terus meledak menggerak arus pilihan raya umum ke-13.
Mat Sabu bukan lagi 'ayam tambatan PAS' yang kecil anak untuk mudah ditewaskan Umno-BN, sebaliknya pemikirannya kini merentasi pencapaian seorang professor Sejarah.
Benar kata, Professor Dato' Mohammed Redzuan Othman, jika bukan kerana Mat Sabu bercakap mengenai Mat Indera, pastinya wacana sejarah tidak akan mendapat sambutan dikalangan masyarakat.
Kini masyarakat berjaya disedarkan kefahaman sejarahnya, dan penilaian sejarah dengan gelombang 'Sabuisme'.
Apakah gelombang Sabuisme ini bakal mendominasi sejarah era 21 ini, dan apakah kepompong badi kekalahan sejak 54 tahun pembangkang akan hapus akhirnya pada PRU-13, gelombang ini boleh menjadi faktornya..
Confidential Document
10 years ago
No comments:
Post a Comment