Monday, October 31, 2011

Belanjawan tenggelam dengan pendedahan Laporan Audit!

WAN NORDIN WAN YAACOB

KUALA LUMPUR : Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menyifatkan Belanjawan 2012 yang dibentang Perdana Menteri sebelum ini 'tenggelam' dengan laporan Ketua Audit Negara yang mendedahkan betapa teruknya pentadbiran dan pengurusan negara.

Ketika ditemui di Petaling Jaya baru-baru ini Mat Sabu berkata, laporan terbaharu Ketua Audit Negara 2010 menunjukkan bertapa pincangnya pengurusan kementerian dan agensi kerajaan.

Ia menandakan gagalnya kerajaan melaksanakan apa yang telah dirancang dalam belanjawan terdahulu bagi tahun 2010, katanya merujuk Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang dibentang Ketua Audit negara 24 Oktober lalu.

Ujar Mat Sabu, setiap tahun kerajaan akan membentangkan belanjawan yang baginya seharusnya memberi kebaikan kepada rakyat.

"Belanjawan memang baik, tetapi pelaksanaannya yang menjadi tidak baik.Harga sesebuah barangan dibeli pada kadar harga yang sangat melampau dalam kontrak pembelian, ini semua menunjukkan pelaksanaan yang sangat teruk,

"Begitu juga dengan laporan kontrak projek membina kemudahan atau bangunan tertentu, harga kontrak dinyatakan berjuta ringgit, tetapi bila pelaksanaan akhirnya kontraktor yang terakhir menjalankannya hanya menerima ribuan ringgit sahaja," katanya.

Ia menunjukkan tiada pengurusan dan pentadbiran yang amanah dan berdisiplin dalam pelaksanaannya, kata beliau lagi.

Bercakap mengenai cadangan menyiasat dan mengenakan tindakan ke atas pihak-pihak yang melakukan penyelewengan dalam Laporan Ketua Audit Negara, beliau melihat ianya sekadar suatu sandiwara sahaja.

Setiap tahun ada saranan oleh Ketua Audit Negara, namun teguran hanya sekadar teguran tiada pembaikpulian akhirnya, kata beliau.

Apa yang penting hari ini rakyat dapat melihat kepada maklumat mengenai kepincangan pentadbiran negara, dan rakyat akan menghukum kerajaan yang tidak berintegriti dengan kuasa mereka sendiri, katanya.

Beliau yakin, pada pilihan raya umum akan datang ini rakyat akan melakukan perubahan besar-besaran.

No comments: