Monday, September 19, 2011

'Jus Soli Versi Baharu' Umno vs 'Jus Soli versi British'

WAN NORDIN WAN YAACOB

Analisis

Jus Soli diterima sebagai antara syarat yang seharusnya di terima oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan rakan-rakannya sewaktu rundingan mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah British.

Dari segi sejarahnya, Malaysia atau dulunya dikenali sebagai Tanah Melayu merupakan kawasan geografi yang majoriti penduduknya adalah kaum Melayu.

Kehadiran pemastautin bangsa lain bermula pada era penjajahan British ke atas Tanah Melayu pada lewat kurun ke-19 dan awal kurun-20.

Ketika itu British membawa masuk ramai tenaga buruh asing seperti rakyat China dan India kononnya menampung kekurangan pekerja dalam industri perlombongan bijih timah dan perladangan getah.


Sebelum British meninggalkan Tanah Melayu, ramai daripada buruh ini diberi pilihan sama ada untuk terus menetap di Malaya atau kembali ke negara asal mereka. Ramai yang memilih untuk tinggal di sini. Tidak kurang juga yang memilih untuk kembali.

Apabila Tanah Melayu merdeka pada 31 Ogos 1957, buruh imigran ini diterima sebagai warganegara Malaysia melalui konsep jus soli dan dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (Bahagian III-Kewarganegaraan; 3.1 Bab 1-Pemberian Kewarganegaraan; Artikel 14-22).

Pemberian kewarganegaraan ini ditimbalkan dengan penerimaan balas beberapa syarat utama yang meliputi hal ehwal berkaitan perlindungan dan penjagaan status dan hak bangsa Melayu sebagai penduduk asal.


Aturan timbal balas atau quid pro quo penerimaan syarat-syarat ini dikenali sebagai 'kontrak sosial.' Kontrak inilah yang dijadikan asas kepada pembentukan Perlembagaan Malaysia dan penubuhannya sebagai sebuah negara.

Kontrak ini turut dipanjangkan kepada penubuhan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 yang membabitkan status dan hak kaum bumiputera Sabah dan Sarawak.

Namun dalam membincangkan bagaimana Umno mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah, tidak boleh tidak ianya perlu juga meliputi strategi British pada ketika itu untuk terus menjadikan Tanah Melayu sebagai 'jajahan' secara tidak rasmi walaupun kemerdekaan diberikan.

Antara perkara besar yang dituntut British sebagai syarat menyerahkan kemerdekaan kepada Tanah Melayu ialah menerima konsep 'Jus Soli'.

Mengapa Jus Soli menjadi suatu perkara besar yang kini dianggap menjadi beban hari ini dalam melingkari hubungan antara kaum yang diheret Umno dalam tindak-tanduk sentimen perkauman?

British menjadikan jus soli sebagai galang ganti kepada usaha mereka menggali hasil mashul bumi Melayu terutama dalam sektor perladangan dan lombong bijih.

Cuma British menggunakan alasan kononnya tanah Melayu harus menerima dua kaum buruh terbesar yang dibawanya pada kurun ke-19 dan 20 untuk memajukan negara ini setelah mencapai kemerdekaan, walhal ianya suatu helah yang akhirnya Umno terpaksa mengalah.

Namun hari ini Umno menjadikan propaganda ultras-Melayu dengan mencanang perkauman kononnya hak Melayu tergadai kerana PAS berlembut dengan Cina dan India.

Kemenangan DAP (yang dikuasai kaum Cina) dan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang dimomokkan oleh Umno dan NGO sekutunya kononnya negeri tersebut kini sudah tergadai kepada bangsa Cina hanya kerana Lim Guan Eng menjadi Ketua Menteri.

Bukankah Tan Sri Koh Tsu Koon yang sebelum ini menjadi Ketua Menteri itu juga adalah kaum Cina?Mengapa harus mempertikaikan kedudukan Guan Eng selaku Ketua Menteri, dan terus mencanang Pulau Pinang kini tergadai kepada Cina.

Berbalik kepada Jus Soli, ketika orang-orang Melayu mempertahankan hak ketuanan Melayu di negara ini sebelum merdeka dahulu, siapakah yang mendesak hak sama rata diberikan kepada orang bukan Melayu?

Bukankah Umno dahulu bermati-matian mahu orang bukan Melayu diterima kerakyatan mereka secara jus soli?

Dato’ Onn Jaafar pernah meletakkan jawatan dalam Umno apabila ada ahli Umno menolak dasar jus soli ini dan akhirnya beliau keluar Umno apabila cadangannya untuk membuka keahlian Umno kepada orang bukan Melayu ditolak.

Kemudian, dalam 'National Convention' yang dipimpin oleh Umno pada 1954, cadangan PAS tentang kerakyatan dan hak mengundi untuk orang bukan Melayu telah ditolak kerana Umno mahu orang-orang bukan Melayu diterima sebagai rakyat negara ini.

Suasana politik pada masa itu dalam semangat kebangsaan telah membentuk kesedaran orang Melayu ke atas hak ketuanan mereka.

Parti-parti kiri berjuang terus supaya hak ini dibela, tetapi dinodai oleh Umno. Raja-raja Melayu sendiri tidak berpuas hati dengan pendekatan Umno ketika itu sehingga Umno bermasalah dengan beberapa istana.

Tetapi segalanya telah selesai apabila kita menerima orang bukan Melayu sebagai rakyat negara ini secara sah melalui Perlembagaan 1957.

Ini adalah kontrak sosial yang memberikan kedudukan sama taraf antara orang Melayu dan bukan Melayu, walaupun dalam hal tertentu orang Melayu diberikan hak keistimewaan.

Namun lebih dibimbangi hari ini, 'Jus Soli' versi baharu sedang mula diaplikasi Umno-BN untuk merakyatkan pendatang asing hanya untuk mempertahankan kuasa mereka pada pilihan raya umum akan datang.

Kad Pengenalan dam taraf kerakyatan ' mee segera' diberikan kepada pendatang dari Indonesia, Myammar dan Bangladesh serta Filiphina menjadi strategi 'jus soli versi baharu' untuk Umno terus berkuasa.

No comments: