Sunday, June 5, 2011

Saf kepimpinan baru PAS mampu sumbat Umno ke Muzium Negara!

WAN NORDIN WAN YAACOB
(Analisis)

Perwakilan pada Muktamar PAS ke-57 telah melunaskan impian untuk membentuk satu pasukan yang baru dalam kepimpinan tertinggi PAS Pusat bagi sessi 2011-2013 yang dikepalai Presiden, Dato' Seri Tuan Guru Abdul HAdi Awang.

Pemilihan aktivis dan golongan profesional serta gandingan mantap ulama dalam saf kepimpinan PAS mencerminkan satu wajah baharu setelah aktivis berjaya mendominasi pucuk kepimpinan tertinggi di peringkat Timbalan dan Naib-naib Presiden.

Malah keputusan pemilihan kali ini memperlihatkan bahawa perwakilan PAS tidak mudah termakan dengan propaganda Umno melalui media mereka seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Perwakilan lantas bangkit untuk menuntut perubahan yang jelas dalam PAS dengan kepimpinan yang sentiasa merasai perjuangan dan denyutan nadi masyarakat Malaysia keseluruhannya.

Walaupun Timbalan Presiden yang baru, Mohammad Sabu (Mat Sabu) akan dilabel dengan pelbagai tuduhan oleh media Umno, namun ia sebenarnya menunjukkan naiknya Mat Sabu akan membuatkan Umno 'pening kepala'.

Semasa muktamar berlangsung, terutamanya apabila ada sidang media, maka ada sahaja wartawan akhbar arus perdana yang datang dengan soalan yang jelas mahu menjerat kepimpinan PAS.

Dakwaan demi dakwaan dilontarkan, kononnya Presiden PAS 'pening kepala' dengan saf baharu yang dipilih perwakilan kononnya akibat tidak sehaluan.

Apa yang pasti, soalan demikian telah dirancang oleh kehendak 'pemilik' akhbar iaitu Umno-BN agar apa yang bakal disiarkan dalam laporan mereka akan berjaya memupuk minda masyarakat kononnya PAS menuju kepada detik mencemaskan.

Tidak kurang komen-komen kepimpinan Umno termasuk Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin; menteri-menteri yang kononnya melihat PAS meninggalkan kepimpinan Ulama.

Walhal seperti kata Presiden PAS, kepimpinan yang ada hari ini adalah saf terbaik dan kabinet yang mantap untuk berdepan Umno pada pilihan raya umum ke-13.

Barangkali telahan Dato' Mahfuz Omar ada benarnya, bahawa Umno cukup bimbang dengan keputusan pemilihan PAS kali ini yang mana bakal menunjukkan jalang penamat kepada parti nasionalis itu daripada terus menerajui pentadbiran negara.

Kebimbangan ini jelas ketara dengan akhbar Utusan Malaysia yang dimiliki Umno setiap hari sebelum, semasa dan selepas pemilihan menyerang Mat Sabu.

Lebih menghairankan, Utusan Malaysia seolah-olah cukup lunak dengan Ulama, sedangkan majikan (Umno) merekalah yang mencaci, menghina golongan Ulama setiap kali pilihan raya berlangsung.

Tuan Guru Nik Aziz sering menjadi bahan hinaan mereka, malah ulama berkecuali seperti Dr Mohd Asri Zainul Abidin pernah menjadi sasaran Umno untuk dihentam.

Umno sebenarnya 'rimas' dengan ulama, namun terpaksa menggunakan jalan berpura-pura memuji ulama bagi memecahbelahkan perpaduan jitu dalam PAS.

Pada pemilihan kali ini, nyata usaha itu gagal kerana bak kata Mahfuz, PAS memiliki dinamisme baru dalam menentukan kepimpinan dengan sikap perwakilan yang jauh lebih terbuka.

Utusan dan Umno barangkali terlupa, Mat Sabu adalah antara pihak yang mengagaskan konsep "kepimpinan ulama" diketengahkan pada zaman 1980-an.

Mat Sabu adalah pemimpin veteran yang sudah 34 tahun melibatkan diri dalam PAS, yang masak dengan ujian perjuangan termasuk dihumban ke tirai besi melalui Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ketika Operasi Lalang bersama Mahfuz yang juga Naib
Presiden PAS.


Mat Sabu dan rakan-rakannya akan menjadi pemimpin yang turun ke bawah kerana latar belakang perjuangannya yang sentiasa bersama 'rakyat marhaen' adalah aset utamanya.

Beliau cukup terkenal untuk mengatur demonstrasi jalanan dan memiliki hubungan yang erat dengan badan bukan kerajaan (NGO).Lebih penting, pasukan yang terbentuk pada muktamar kali ini akan menggegarkan dunia politik tanahair dengan himpunan BERSIH
2.0 9 Julai ini bersama Jawatankuasa BERSIH 2.0 yang dipimpin Dato' Ambiga Sreenevasan.

Kepetahan beliau berceramah, keupayaan beliau mengatur demonstrasi jalanan, malah kebolehannya untuk menterjemahkan perjuangan Islam kepada nilai sejagat, menjelmakan Islam dalam dasar pentadbiran ditaruh harapan tinggi untuk mempercepatkan langkah PAS dalam arus perubahan ini.

Seandainya Mat Sabu berjaya menunjukkan prestasi yang terserlah dalam tempoh jawatannya, maka PAS akan berubah menjadi parti politik yang lebih terbuka dan inklusif untuk seluruh rakyat Malaysia.

Selain itu kemasukan semula Exco Kerajaan Kelantan, Dato' Paduka Husam Musa juga membawa satu senario yang menarik dalam saf baru kepimpinan PAS Pusat kali ini.

Husam yang tewas dalam persaingan tiga penjuru jawatan Timbalan Presiden bersama Mat Sabu dua tahun lalu di Shah Alam kembali mewarnai politik PAS dengan berada di barisan depan kepimpinan.

Dengan watak 'brilliant' yang dimilikinya, serta mempunyai iltizam yang kuat, Husam mampu menjadi tulang belakang kepada Mat Sabu dan rakan-rakan lain termasuk Salahuddin Ayub untuk menelanjangkan Umno pada pilihan raya umum ini.

Kemenangan besar Mazlan Aliman yang terkenal dengan perjuangan NGO Persatuan Anak-anak Peneroka Felda (Anak) memangkin kekuatan PAS, kerana beliau cukup digentari oleh Umno.

Resepi lengkap ditambah dengan kemenangan Siti Zailah Mohd Yusof selaku Ketua Muslimat, kewarakan Ustaz Nasrudin Hassan selaku Ketua Pemuda; dan 'keulamakan' Dato' Harun Taib mampu memandu PAS ke lapang sasar yang menjanjikan agenda PAS menggantikan Umno akan tercapai.

Saf pimpinan yang dibariskan perwakilan kali ini cukup ampuh untuk PAS berdepan dengan Umno dan yang jauh lebih penting ialah untuk mengusung Umno ke Muzium Negara seperti kata Husam.

2 comments:

Gabriel said...

di sana, aku dari Brazil dan saya menggunakan google translator untuk bercakap dengan anda, dan ingin membantu saya mengikuti blog saya atau hanya ada saja memasuki

http://grockclub.blogspot.com/

link tapi jangan lupa, dalam bahasa Bahasa Portugis Saya menyarankan anda untuk menggunakan google translator terlalu
Blog Anda sejuk, atau seperti saya dengan mengatakan Brazil - teu blog tá foda

Gabriel said...

Sulit untuk mencari bahasa anda